Bahasa Melayu Penulisan
BAGI
mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan,
calon dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan.
Persediaan awal penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu
Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan
mendapat idea bernas ketika menulis karangan.
Sebagai ulang
kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan
pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala
Bahagian C berkaitan membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti
dijawab.
BAHAGIAN A
Untuk bahagian
ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan
10 markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana
calon perlu melakukan empat langkah, iaitu:
Langkah pertama
Calon
perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan
dalam Bahagian A ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi".
Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR
2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat". Ayat
tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci
soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan
agar memulakan ayat dengan subjek (watak).
Langkah kedua
Calon
hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar.
Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan
kata kerja yang berkaitan. Cikgu cadangkan calon membuat lima bulatan
sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa banyak kata kerja
yang berkaitan.
Langkah ketiga
Calon membina
ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon
membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling
penting, mulakan ayat dengan subjek (watak). Selepas subjek, tulis kata
kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana
dan mengapa).
Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang
melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan sekolah (di mana) kerana
menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa)
Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan
di dalam ketika menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.
Langkah keempat
Semak
ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan
elakkan daripada membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang
salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.
Kesalahan
ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau
perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara
"memangkas" dengan "mencantas" dan "membelah" dengan "mengerat".
Penggunaannya mengikut konteks ayat.
Jaga-jaga dengan imbuhan
yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza.
Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua
ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.
Akhir
sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang
dibina bermula dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah
mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan
awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas.
Gabungkan
beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat
di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna.
Selain itu, calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang
yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat.
Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika
ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan
tambahan daripada pengawas peperiksaan. Jika tulisan kecil, calon
dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih
kemas dan teratur.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment