Norkumala bt. Awang
Pegawai Penyelidik
|
Dalam
era dunia tanpa sempadan, semua maklumat hanyalah dihujung jari. Sains
dan teknologi membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan. Kemajuannya
tidak boleh dinafikan. Namun, dalam pada itu, ada juga yang menafikan
tentang kesan sains dan teknologi. Pelbagai kesimpulan yang dibuat oleh
individu berdasarkan pengamatan tentang kesan sains dan teknologi sama
ada membawa kepada kemajuan mahupun kemusnahan alam sejagat.
Tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi mempunyai peri pentingnya dalam pembangunan masyarakat sejagat. Namun ia juga tidak dapat disangkal mempunyai kesan buruk dalam pembangunan negara termasuk alam sekitar mahupun sosial. Semua ini tidak dapat dielakkan kerana kadang- kadang manusia sibuk mengejar kemajuan dan kecanggihan sehinggakan alpa dengan kesan buruk yang bakal menimpa. Segala penemuan dan ciptaan sains dan teknologi yang lahir dari akal manusia kadang tersasar dengan tujuan sebenar kerana tidak mengikut lunas-lunas yang telah digariskan oleh Islam. Tidak hairanlah jika kini banyak pengamalan sains dan teknologi juga mengundang kepada kemudaratan jika batas- batas penerokaan ilmu sains tidak menepati apa yang telah Islam utarakan. Kini, ciptaan yang cukup canggih hasil penemuan manusia dalam teknologi pertahanan mampu melindungi negara daripada diserang musuh. Pelbagai bentuk alat pertahanan daripada senjata sehinggalah alat kelengkapan perang turut mengiringi kemajuan sains dan teknologi. Dari satu sudut, ia mungkin membawa kebaikan kepada negara tapi jika difikirkan mungkin banyak lagi kesan yang timbul akibat penggunaan alat canggih hasil kemajuan sains dan teknologi. Pernahkah terfikir, bahawa kecanggihan alatan perang boleh membawa kemusnahan dunia termasuklah alam sekitar dan juga banyaknya jiwa yang terkorban dek kerakusan manusia sendiri. Contohnya, kesan penggunaan bom atau senjata api boleh memusnahkan alam sekitar. Walaupun sekadar untuk menguji keupayaan sesuatu ciptaan, kadang- kadang ia mengundangkan kepada kemusnahan alam sekitar seperti membawa kepada pencemaran alam. Sementara itu, tahap kepakaran yang tinggi dan peralatan canggih diperlukan untuk membina sendiri sebuah bom nuklear. Kini kawalan terhadap bahan radioaktif sebenarnya amat longgar memandangkan amalannya kian meluas. Kesan daripada letupan bom kotor mungkin tidak sedahsyat bom nuklear tetapi boleh menyebarkan bahan radioaktif dan menyebabkan radiasi ke kawasan yang lebih luas. Sudah tentu ia memberi kesan psikologi terhadap masyarakat yang kurang pengetahuan mengenai keselamatan sinaran. Mungkin ia juga menimbul kekalutan dan ketakutan yang akan menjejaskan kegiatan sesebuah masyarakat. Usaha pembersihan kawasan yang dicemari radiasi juga menelan belanja yang tinggi dan membabitkan tenaga kerja yang ramai dan peralatan yang canggih. Bukankah ia akan memberi kesan kepada ketenteraman awam, menyebabkan kegawatan ekonomi negara malah ia turut tersebar melalui tiupan angin dan tekanan udara ke negara yang bersempadan. Kesan inilah yang turut dibimbangi oleh banyak pihak kerana penyalahgunaan kemajuan teknologi yang sedia ada. Teknologi maklumat yang berkembang pesat sehingga ke hari ini memungkinkan semua lapisan masyarakat mendapat maklumat dengan begitu mudah. Pelbagai penerokaan maklumat boleh diperolehi tanpa ada batasan. Dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi, jalan dakwah terbuka luas untuk menyampaikan sesuatu yang berguna kepada masyarakat. Namun di sebalik kecanggihan dan kelebihan teknologi tersebut kini, terselit suatu keburukan yang jarang sekali difikirkan kerana ia timbul tanpa disedari. Ramai muda mudi kita terpengaruh dengan kelebihan teknologi maklumat. Kesannya kepada pembangunan sosial generasi kita terlalu besar di mana mereka leka dengan teknologi tersebut sehingga mengabaikan nilai murni. Contohnya, internet yang merupakan gedung ilmu, tetapi kadangkala muda mudi kita menyalahgunakan kelebihannya dengan melayari laman- laman web yang berunsur lucah dan tidak berakhlak. Ini akan mempengaruhi fikiran golongan tersebut dan akan merosakkan pembangunan nafs mereka.
Kemajuan
teknologi maklumat juga mendatangkan kesan buruk apabila kini berlaku
pula pencerobohan maklumat yang disebut sebagai "penggodam" di mana
maklumat sulit sesebuah negara boleh diceroboh dengan mudah. Melalui
teknologi terkini juga, pengubahsuaian ke atas sesuatu gambar boleh
dibuat. Kadangkala ia memberi kesan buruk kerana boleh menyebabkan
fitnah.
Kini bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang kejuruteraan makanan menerusi teknologi terkini mampu menghasilkan makanan ubahsuaian genetik (Genetically Modified Food) yang mempunyai ciri- ciri terbaik seperti tahan lama, sedap dan bermutu, mudah, murah serta meningkatkan pengeluaran tanaman contohnya beras perang, tomato dan cili. Makanan yang dihasilkan adalah sama tetapi mempunyai sifat- sifat yang berbeza yang dimasukkan dengan pelbagai gabungan gen organisma lain. Apa yang menjadi persoalan ialah sumber genetik yang digunakan untuk menghasilkan makanan ubahsuaian tersebut dikhuatiri daripada benda-benda yang dilarang oleh syarak. GMF juga memberi kesan terhadap kesihatan manusia kerana mengandungi bendasing (allergen) yang tidak diketahui kesan buruknya. Isu pengklonan juga mendapat perhatian hangat dari semua pihak. Hasil kemajuan teknologi mampu memindahkan genetik dari satu organisma ke organisma lain. Ini akan menghasilkan satu organisma yang sama dengan yang induk. Isu ini agak dibimbangi kerana takut disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan pengklonan manusia. Hal ini terlalu menyimpang dari landasan agama yang sebenar. Begitu juga dengan teknologi "stem cell" yang banyak kelebihannya dalam membantu mengatasi pelbagai penyakit. Namun apa yang dikhuatiri jika penggunaan "embryonic stem cell" bakal disalahgunakan juga untuk pengklonan manusia. Natijah daripada kemajuan sains dan teknologi kini sememangnya banyak membawa kepada kebaikan disamping terselit juga keburukan. Pokok pangkalnya, apa jua kemajuan yang dicapai perlulah berlandaskan nilai- nilai Islam dan mengikut batas- batas penerokaan ilmu yang telah ditetapkan. Barulah kemajuan dan pembangunan yang kita capai tidak terpesong dan tidak mendatangkan keburukan kepada ummah kerana kadangkala keburukan itu sebenarnya kita juga yang menciptakannya. |
Sains dan Teknologi: Suatu kelebihan atau kemudaratan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment