Showing posts with label UCAPAN/SYARAHAN. Show all posts
Showing posts with label UCAPAN/SYARAHAN. Show all posts

Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid



SOALAN : Kamu akan menyertai pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang diberi ialah "Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid". Tulis syarahan itu selengkapnya.
........................................................................................................

           Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk, "Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid".
      
Hadirin Sekalian,
           Sekolah yang bersih menjadi impian para guru dan murid-murid. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh semua pihak untuk memastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan bersih.Antara aktiviti yang sering dijalankan ialah pertandingan kelas terbersih. Selain dapat mewujudkan suasana kelas yang ceria, usaha ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan murid-murid.

           Meskipun ada pekerja yang ditugaskan membersihkan kawasan sekolah murid-murid tidak wajar meletakkan tanggungjawab ini kepada mereka semata-mata. Sebagai murid, kita perlu sedar bahawa kawasan yang perlu dibersihkan oleh pekerja itu terlalu luas. Oleh itu, tidak salah jika kita turut sama membantu mereka.

           Segala kemudahan seperti penyapu dan tong sampah yang mencukupi telah disediakan di dalam setiap kelas. Sebagai murid yang bertanggungjawab, segala kotoran dan sampah-sampah perlu disapu dan dimasukkan ke dalam tong sampah yang disediakan.

           Sekolah dan kelas yang bersih juga memberi impak kepada pembelajaran murid-murid. Sekiranya persekitaran kotor, keadaan ini akan menzahirkan pemandangan yang kurang enak. Hal ini menyebabkan kita gagal menumpukan perhatian kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Tidakkah itu merugikan diri kita sendiri ?
     
Hadirin sekalian,
           Akhir sekali saya ingin menyeru kepada rakan-rakan, marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan sekolah. Sesungguhnay menjaga kebersihan merupakan ibadah yang mulia dan harus dimanfaatkan oleh setiap insan.

         Sekian, terima kasih.

Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri

Sekolah kamu telah mengadakan kempen menjaga kebersihan diri. Kamu sebagai ketua murid diminta menyampaikan ucapan tentang cara-cara menjaga kebersihan diri.


***   ***   ***   ***   ***

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Tajuk ucapan saya pada pagi ini ialah  "Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri".

Hadirin sekalian,

Menjaga kebersihan diri amat penting untuk kebahagiaan hidup kita. Kita mesti memastikan telinga sentiasa bersih kerana telinga juga boleh mengalami pelbagai penyakit jika tidak dibersihkan dengan sebaiknya. Kita perlu membersihkan telinga sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan menggunakan putik kapas yang lembut.

Selain itu, kita mesti mandi pada setiap hari supaya badan kita bersih serta mengelakkan daripada terkena penyakit kulit dan berbau. Badan yang bersih akan menjadi kita sihat dan selesa.

Kita perlu menggosok gigi sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Kebersihan gigi amat penting untuk mengelakkan daripada kerosakan gigi serta menjadikan kita lebih berkeyakinan semasa bergaul dengan orang ramai.

Kita hendaklah memotong kuku kerana kuku yang panjang boleh menyimpan kekotoran. Kotoran yang melekat pada kuku yang panjang itu mengandungi kuman yang boleh tersebar ke dalam badan kita semasa kita makan. Ini akan menyebabkan kita terkena penyakit seperti cirit-birit dan sebagainya.

Hadirin sekalian,

Kita perlu menjaga kebersihan rambut dengan menggunakan syampu untuk membersihkan rambut kita. Rambut yang bersih tidak mudah dihinggapi kelemumur, kutu dan penyakit kulit kepala.

Kesimpulannya, menjaga kebersihan diri amat penting kepada manusia. Oleh itu, kita mestilah mengambil berat tentang kebersihan diri untuk keselesaan dan kebahagiaan hidup kita.

Sekian, terima kasih.

Tanggungjawab Anak-anak Terhadap Ibu Bapa

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru, serta rakan-rakan sekalian. Tajuk Ucapan saya pada pagi ini ialah  "Tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa".

Hadiran sekalian,

Anak-anak mestilah bertanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa yang telah membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang. Antara tanggungjawab tersebut ialah menghormati ibu bapa dengan sepenuh hati.

Kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada ibu bapa seperti bersalaman dengan mencium tangan apabila berjumpa atau semasa ingin berpisah dengan mereka. Bertuturlah dengan sopan apabila berbual dengan ibu bapa sebagai tanda menghormati mereka.

Sebagai anak, kita mestilah menjaga nama baik ibu bapa dengan menjaga tingkah laku atau moral. Elakkan daripada memalukan ibu bapa seperti melanggar disiplin sekolah dan sebagainya.

Rakan-rakan sekalian,

Ibu bapa terlalu banyak tugas dalam mengurus keluarga setiap hari. Oleh itu, kita mesti membantu ibu bapa seperti membasuh pinggan, mengemas rumah, dan sebagainya lagi. Dengan ini, beban kerja yang ditanggung oleh mereka akan menjadi lebih ringan, di samping dapat menambahkan kasih sayang antara setiap ahli keluarga.

Anak-anak juga perlulah berusaha mengembirakan hati ibu bapa. Antara caranya ialah dengan belajar bersungguh-sungguh kerana ibu bapa sudah pasti ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Janganlah mengecewakan harapan mereka dengan bermain-main semasa belajar dan sebagainya.

Di samping itu, anak-anak mestilah senantiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa. Sesungguhnya jasa mereka tidak akan terbalas dengan apa cara sekalipun. Oleh hal yang demikian, amat wajarlah kita mendoakan kesejahteraan mereka terutamanya setiap kali selepas sembahyang.

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyeru rakan-rakan agar hormatilah dan sayangilah ibu bapa kita. Janganlah kita lupa akan jasa mereka apabila besar atau berjaya dalam kehidupan nanti. Ingatlah, pemergian ibu bapa kita tidak akan ada gantinya.

Sekian, terima kasih.

Majlis Perpisahan Tahun Enam

Anda selaku ketua darjah diminta menyampaikan ucapan dalam majlis perpisahan untuk murid-murid Tahun Enam.
____________________________________________________________________________

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini.

Hadirin sekalian,

Sudah hampir 6 tahun kami berada di sekolah ini. Jika menghitung hari persekolahan, bermakna tinggal 6 hari lagi kami menjadi warga sekolah ini. Justeru, kami terpaksa mengucapkan  selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi walaupun kami masih terlalu sayang untuk meninggalkan sekolah ini.

Kami amat menghargai akan jasa guru-guru di sekolah ini yang mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan megira. Kami akan sentiasa mengingati pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara.

Hadirin sekalian .

Budi yang guru-guru taburkan tidak mampu kami membalasnya. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru itu. Kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti.

Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Kami berasa sangat sedih kerana terpaksa meniggalkan sekolah ini. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat kami.

Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap pantun daripada saya;

Ramai orang menanam padi,
Padi ditanam hingga ke seberang,
Banyak budi perkara budi,
Budimu guru dikenang orang.

Sekian, terima kasih.

Kepentingan Sains dan Teknologi Kepada Kehidupan Manusia



Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pegawai Pendidikan Daerah KotaBharu, para guru besar, barisan hakim yang arif lagi bijak sana, guru-guru dan para hadirin sekalian.Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan syarahanyang bertajuk “Kepentingan Sains dan Teknologi Kepada Kehidupan Manusia.”

Hadirin yang dihormati sekalian,
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Sains dan Teknologi sangat penting pada zaman ini. Negarakita sedang menuju ke arah negara maju. Ini disebabkan semakin maju Sains dan Teknologi negaratersebut maka semakin majulah negara itu.

Di antara contoh kemajuan Sains dan Teknologi ialah terciptanya televisyen, telefon, komputer dan peralatan perubatan yang canggih. Peralatan ini memberi banyak kemudahan kepada manusia.

Pada zaman dahulu kehidupan manusia mundur kerana tiada Sains dan Teknologi. Manusiaketika itu ketinggalan dalam aspek pendidikan, perubatan, perindustrian kerana tiada alat yang berteknologi tinggi.

Hadirin sekalian,
Dengan perkembangan Sains, kerja kita menjadi semakin mudah dan cepat. Semua kerja hariankita dapat dibuat dengan pantas dan betul. Kecanggihan teknologi menjadikan manusia semakin pintar.

Berdasarkan keterangan itu tadi, saya menyarankan agar saudara-saudari menggunakan rekaanSains dengan bijak. Akhir kata, sampai di sinilah syarahan dan saya sudahi dengan ucapan sekian,terima kasih.

Ucapan : Jamuan perpisahan

Yang mulia Tuan Pengurusi Majlis. Tuan Guru Besar, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis ini.

Seperti yang kita sedia maklum, hari ini merupakan hari terakhir bagi kami di sekolah ini. Tidak dapat digambarkan betapa pilunya hati kami untuk meninggalkan sekolah ini. Maklumlah sudah enam tahun kami belajar di sekolah ini.

Hadirin sekalian,

Sepanjang tempoh tersebut, tentulah banyak ilmu dan pengalaman serta kejayaan yang kami perolehi. Semua ini adalah hasil kerja keras guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik kami menjadi insan yang cemerlang dalam semua bidang.

Saya bagi pihak rakan-rakan mengambil peluang ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua guru yang telah banyak membimbing kami. Kami tidak mampu membalas jasa cikgu. Semoga Allah akan membalasnya.

Hadirin sekalian,

Pada kesempatan ini juga , kami meminta maaf atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah kami lakukan sepanjang kami belajar di sekolah ini.Segala yang baik itu akan kami jadikan teladan dan yang buruk itu kami jadikan sempadan.

Saya bagi pihak rakan-rakan mengucapkan selamat berpisah kepada guru-guru dan rakan-rakan sekalian.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kita bertemu kembali.

Sekian, terima kasih.

Syarahan : Sayangilah Alam Sekitar

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Sayangilah Alam Sekitar .’

Alam sekitar yang bersih dan indah perlu dipelihara untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan setiap insan menyayanginya?

Hadirin sekalian.

Aktiviti yang boleh menjejaskan flora dan fauna hendaklah dikawal. Hal ini demikian kerana jika tidak dikawal, akan mengakibatkan berlakunya bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

Selain itu, kita juga hendaklah memastikan kebersihan alam sekita tidak dicemari oleh unsur-unsur yang boleh membawa kemusnahan seperti sisa-sisa toksik, sampah sarap, dan tumpahan minyak.

Penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan dengan lebih keras. Denda dan hukuman yang berat perlu dikenakan kepada individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti yang boleh mencemarkan dan memusnahkan keindahan alam.

Hadirin sekalian,

Marilah kita bersama-sama memikul tanggungjawab bagi menentukan dunia yang kita diami ini terus terpelihara, bersih, dan indah. Jika anda sayang diri anda, ‘sayangilah alam sekitar!’.

Syarahan : Pentingnya Menjaga Kebersihan

Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Pentingnya Menjaga Kebersihan.”

Hadirin yang dihormati sekalian,
Kebersihan bermaksud keadaan yang bersih dari segi badan kerana badan yang sihat dapat menjamin kesihatan yang sempurna. Selain daripada kesihatan badan, tempat kediaman juga perlu kita bersihkan kerana ini dapat memberikan ketenangan kepada diri dan anggota keluarga kita.

Sebagai masyarakat yang cintakan negara, kebersihan alam sekitar juga perlu dititikberatkan. Kita tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat. Tabiat ini bukan sahaja mengotorkan kawasan sekeliling tetapi juga menggalakkan pembiakan agen pembawa kuman yang menyebarkan pelbagai penyakit.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Alam sekitar yang bersih dan berkualiti bukan sahaja merujuk kepada kawasan sekeliling yang bebas daripada sampah sarap, tetapi juga udara dan air yang bebas daripada bahan pencemar. Justru, dalam merancang pembangunan, perkara-perkara yang boleh menjejaskan alam sekitar hendaklah difikirkan. Jika tidak nescaya keadaan alam sekitar yang akan tercemar.

Oleh itu, untuk memelihara dan menjamin sebuah masyarakat yang harmoni dan bahagia, kita perlu memastikan alam sekitar tidak dirosakkan akibat pencemaran. Alam sekitar yang bersih dan indah pastinya dapat menarik minat pelancong. Ini secara tidak langsung dapat menaikkan imej negara di mata dunia.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya akhiri syarahan saya ini dengan menekankan bahawa kebersihan perlu ada pada diri setiap individu. Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab semua. Bak kata pepatah , “Negara Bersih, Rakyat Sihat.”

Sekian, terima kasih.

Syarahan: Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar.


Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah "Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar".

Hadirin sekalian,

Antara langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ialah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan alam sekitar yang telah diperuntukkan. Pihak berkuasa mestilah mengenakan tindakan yang tegas dan berat terhadap pencemar alam sekitar supaya mereka serik untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Selain itu, kempen penjagaan alam sekitar haruslah dipergiatkan. Kempen ini boleh disiarkan melalui media massa seperti surat khabar, televisyen dan radio. Kempen-kempen ini akan menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Hadirin sekalian,

Masyarakat mestilah diberikan kesedaran secara berterusan akan tanggungjawab menjaga alam sekitar. Aktiviti seperti ceramah dan gotong-royong dapat membantu orang ramai menjadi lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

Di samping itu, masyarakat juga perlulah bersikap perihatin dan bertanggungjawab. Jika mendapati ada pihak yang mencemarkan alam sekitar, mereka perlulah melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil.

Hadirin sekalian,

Tanggunjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama. Alam sekitar yang terpelihara atau dijaga dengan baik akan menjadikan hidup kita lebih selesa dan sihat.

Sekian, terima kasih.

Karangan Jenis Ucapan : Majlis Perpisahan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, yang diraikan Tuan Guru Besar SK Taman Semarak, guru-guru dan rakan-rakan sekalian, selamat pagi dan salam sejahtera. 

Tujuan kita berkumpul di sini adalah untuk meraikan majlis perpisahan guru besar, Puan Sabariah Binti Kassim yang akan bersara pada 10 Julai 2012. 

Beliau ialah seorang guru besar yang bertanggungjawab dan tegas tetapi disayangi oleh semua warga sekolah ini. Saya berasa amat sedih kerana persaraan beliau merupakan satu kerugian besar bagi sekolah kita. 

Sepanjang empat tahun beliau berkhidmat di sini, beliau menyumbang banyak jasa dan pengorbanan. Dari segi akademik, beliau merancang beberapa program untuk memajukan pretasi murid-murid. Dalam usaha beliau, keputusan UPSR telah meningkat dari setahun ke setahun. 

Selain itu, guru besar juga berjaya meningkatkan pretasi kokurikulum pihak sekolah. Pasukan kawad kaki telah berjaya menjuarai pertandingan kawad kaki di peringkat negeri dan kebangsaan. 

Para hadirin sekalian,
Bagi mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya selaku ketua murid mewakili rakan-rakan lain mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru besar kita. Semoga beliau hidup dengan sihat sejahtera selalu. 

Sekian, terima kasih.

Karangan Jenis Syarahan : Faedah Mempunyai Hobi

Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Guru Besar, Penolong Kanan, panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. "Kepentingan Mempunyai Hobi yang Menguntungkan" adalah tajuk syarahan yang akan saya sampaikan buat hadirin semua. 

Hadirin dan Hadirat sekalian,
Hobi merupakan sesuatu aktiviti yang dilakukan pada waktu senggang. Hobi boleh dilakukan tidak kira di mana jua, sama ada di dalam mahupun di luar rumah. Banyak kepentingan dan faedah yang boleh kita peroleh daripada hobi yang kita lakukan setiap hari. Kita boleh memanfaatkan kepentingan dan faedah itu pada masa hadapan. 

Contohnya, hobi yang menguntungkan ialah melayari internet, membaca buku dan juga membaca surat khabar. Kita boleh memanfaatkan hobi ini dengan menambahkan ilmu dari segi pengetahuan am dan juga tentang isu-isu semasa. 

Kawan-kawan sekalian, 
Hobi boleh dilakukan oleh semua golongan masyarakat tidak kira yang tua mahupun yang muda. Ini kerana terdapat banyak hobi yang boleh dilakukan oleh semua golongan masyarakat. Contohnya, bersukan atau bersenam. Ini juga adalah hobi yang menguntungkan kerana ia dapat menyihatkan badan bukan sahaja setakat kesihatan fizikal malah kesihatan mental juga. 

Selain itu, bercucuk tanam juga adalah salah satu hobi yang sangat menguntungkan. Bak kata pepatah, "berbudi kepada tanah, pasti akan mendapat hasilnya". Dengan hasil tanaman tersebut, kita boleh menjualnya untuk menambahkan pendapatan. Di samping itu, kita juga dapat mengurangkan suhu cuaca yang kini menjadi semakin panas. 

Kesimpulannya, jelaslah bahawa mempunyai hobi yang mnguntungkan amatlah berguna kepada kita semua. Seperti yang saya nyatakan tadi, selain daripada mngisi masa lapang, kita juga mendapat banyak faedah yang mana kita boleh memanfaatkanyya sebaik yang mungkin. Sebelum saya mengakhiri syarahan saya, ingin saya sampaikan serangkap pantun yang telah di reka khas; 

Banyak burung berterbangan,
Burung bayan, burung merpati,
Kepentingan hobi amat menguntungkan,
Faedah dan kebaikan kita manfaati. 

Sekian terima kasih.

Syarahan : Rakyat Sihat Negara Makmur

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Rakyat Sihat Negara Makmur.’

Hadirin sekalian,

Biarlah saya huraikan apa yang dimaksudkan dengan rakyat yang sihat. Rakyat yang sihat ialah mereka yang sihat fizikal dan mental. Untuk melahirkan rakyat yang sihat, kita memerlukan makanan yang seimbang dan berzat. Selain itu, kita juga memerlukan persekitaran yang tenteram.

Kerajaan kita telah menyediakan pelbagai kemudahan perubatan untuk memastikan rakyat negara ini mendapat rawatan yang terbaik. Dengan hal yang demikian, rakyat akan sentiasa berada dalam keadaan sihat. Rakyat yang sihat akan dapat meningkatkan produktiviti dalam apa juga bidang yang diceburi. Bukankah ini akan memberi pulangan yang besar kepada negara?

Hadirin sekalian,

Rakyat yang mempunyai mental atau emosi yang sihat pula akan berfikiran lebih rasional. Kita tidak mungkin melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh merosakkan diri sendiri, masyarakat, dan negara. Di dalam sebuah negara yang berbilang kaum. Kita tentunya akan berusaha untuk mewujudkan perpaduan antara kaum.

Selain itu, jika sesebuah negara memiliki rakyat yang berkualiti, negara tersebut akan disegani oleh negara-negara lain. Inilah sebenarnya yang sedang berlaku sekarang. Negara kita yang berupaya mengekalkan kemakmuran dan keharmonian, telah menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Hadirin sekalian,

Bagi mengakhiri syarahan ini, saya menyeru kepada para hadirin, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memastikan negara kita ini akan terus menikmati kemakmuran kerana rakyatnya sentiasa sihat.

Sekian, terima kasih.

Syarahan : Disiplin Penentu Kejayaan

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Disiplin Penentu Kejayaan.’

Hadirin sekalian,

Tahap disiplin kebanyakan pelajar pada masa kini dikatakan berada pada tahap yang agak membimbingkan. Pelbagai pengaruh negatif telah menggugat disiplin dan ketahanan diri pelajar yang sepatutnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

Hadirin sekalian,

Untuk mencapai kejayaan, para pelajar mestilah memiliki disiplin yang tinggi. Hal ini, membolehkan para pelajar membina sahsiah yang baik dan sentiasa patuh peraturan-peraturan yang ditetapkan. Justeru itu, para pelajar mampu mengawal diri mereka daripada ancaman pengaruh negatif yang merosakkan.

Selain itu, para pelajar akan terdorong untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Malahan, para pelajar juga tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan masyarakat seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, dan lepak. Dengan itu, para pelajar akan dapat membina tingkah laku yang lebih baik dan dihormati oleh masyarakat.

Hadirin sekalian,

Pemupukan aspek disiplin perlu disertai dengan keyakinan dan kekuatan diri pelajar. Oleh itu, para pelajar sepatutnya memperkasakan diri mereka dengan ajaran agama, dan menghindari sebarang bentuk aktiviti yang boleh mendorong mereka melakukan perlanggaran disiplin. Jika para pelajar bersedia dengan sepenuh hati, kejayaan pasti menanti mereka.

Hadirin sekalian,

Daripada hujah-hujah yang telah saya sampaikan, jelaslah bahawa para pelajar yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi akan lebih mudah menjulang kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan mereka kelak.

Sekian, terima kasih.

Ucapan : Mesyuarat Agong

Yang berusaha Tuan Guru Besar, Encik Rahim bin Omar, yang dihormati guru penasihat Kelab Bahasa Melayu, serta rakan-rakan sekalian. Terlebih dahulu saya selaku pengerusi kelab ini merakamkan ucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran hadirin sekalian dalam Mesyuarat Agong kelab ini.

Hadirin sekalian,

Sepanjang tahun ini pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh persatuan. Selaras dengan matlamat penubuhannya, untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu di kalangan ahli dan murid-murid di sekolah ini.

Pada semester pertama, persatuan ini telah menganjurkan Minggu Bahasa Melayu. Pelbagai aktiviti dijalanakan untuk memilih peserta ke pertandingan di peringkat daerah. Antara aktiviti tersebut ialah pertandingan bercerita, mendeklamasi sajak, bersyair, dan syarahan.

Hadirin sekalian,

Pada semester kedua pula, persatuan telah menganjurkan pertandingan menulis karangan, kuiz antara rumah-rumah sukan, dan pertandingan drama sebabak antara kelas bagi murid-murid tahap 2.

Selain itu, persatuan juga telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Dewan Bahasa dan Perpustakaan Negara. Sebanyak 40 orang murid dan 4 orang guru terlibat dalam lawatan itu.

Sebelum saya mengundur diri, terlebih dahulu saya mewakili ahli jawatankuasa kelab ini memohon kemaafan jika terdapat kelemahan sepanjang kami menerajui kelab ini.

Sekian, terima kasih.

Ucapan: Majlis Perpisahan Guru

Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Guru Besar, yang diraikan Cikgu Ishak Ibrahim, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan.

Seperti yang kita sedia maklum, Cikgu Ishak telah dilantik sebagai Guru Cemerlang. Saya mewakili rakan-rakan mengucapkan tahniah dan sangat-sangat berbangga atas perlantikan cikgu. Kejayaan cikgu adalah kejayaan kami semua.

Hadirin sekalian,

Sepanjang tempoh sepuluh tahun beliau di sekolah ini, banyak ilmu dan pengalaman dicurahkan kepada kami, lebih-lebih lagi Cikgu Ishak merupakan seorang guru yang serba boleh. Dengan usahanya yang tidak mengenal jemu telah membuahkan kecemerlangan dalam UPSR pada setiap tahun.

Saya bagi pihak rakan-rakan mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas pengorbanan cikgu membantu kami meningkatakan kecemerlangan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Atas usaha-usaha beliau, tidak memeranjatkan kami apabila pihak Kementerian Pendidikan melantik cikgu sebagai guru cemerlang.

Hadirin sekalian,

Pada kesempatan ini juga, kami berharap cikgu akan terus kekal mengajar di sekolah ini. Kami masih memerlukan kepakaran dan kecemerlangan cikgu untuk terus membimbing kami lebih-lebih lagi UPSR hanya tinggal dua bulan lagi.

Akhir kata, saya bagi pihak rakan-rakan mengucapkan tahniah dan selamat berjaya kepada Cikgu Ishak Ibrahim. Doa kami semoga cikgu akan terus cemerlang dalam kerjaya cikgu dan bahagia selalau di samping keluarga tersayang.

Sekian, terima kasih.