Latihan Contoh 1:
Tuliskan beberapa amalan baik yang kamu dapati daripada petikan di bawah.
Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Hamdan
bangun lewat pada pagi itu kerana dia menonton televisyen hingga
larut malam. Dia tidak sempat bersarapan. Dia terus mencapai
basikal untuk pergi ke sekolah tanpa bersalam dengan ibu dan
bapanya. Tiba di persimpangan jalan, dia tidak menghiraukan lampu
merah lalu terus memecut ke sekolah. Mujurlah tiada kenderaan
ketika itu. Sesampainya di hadapan sekolah, murid-murid telah
berada di tapak perhimpunan. Dia terus berlari ke tapak
perhimpunan tanpa mengunci basikalnya. Sedang semua murid menyanyi
lagu “Negaraku” , dia masih lagi berlari untuk masuk ke dalam
barisan. Ketika hendak pulang ke rumah, dia mendapati bahawa
basikalnya telah hilang. Dia telah diberi peluang tumpang oleh
rakan untuk pulang ke rumah.
Isi-isi cadangan:
- Bangun lewat – Bangun awal supaya tidak tergesa-gesa ke sekolah.
- Menonton hingga lewat malam – Tidak digalakkan kerana menjejaskan
kesihatan. Tidak cukup tidur.
- Tidak sempat bersarapan - Bersarapan terlebih dahulu mendapatkan tenaga
untuk belajar.
- Tidak bersalaman – Bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa untuk mendapat
restu.
- Melanggar lampu isyarat – Mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan.
- Berjalan semasa lagu “Negaraku” – Berdiri tegak untuk menghormati lagu
kebangsaan.
- Memberi pertolongan kepada yang memerlukan.
Jawapan Contoh 1:
Berdasarkan
petikan di atas, kita sepatutnya bangun awal supaya tidak tergesa-gesa
untuk ke sekolah seperti yang berlaku kepada Hamdan. Kita tidak
sepatutnya menonton hingga lewat malam kerana boleh menjejaskan
kesihatan kita. Sebelum kita ke sekolah kita hendaklah bersarapan
terlebih dahulu bagi mengalas perut supaya senang belajar. Kita mestilah
bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa kita bagi mendapatkan restu
daripada mereka. Kita hendaklah mematuhi peraturan demi menjaga
keselamatan diri kita. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah
menghormati lagu kebangsaan negara kita dengan berdiri tegak bukannya
seperti yang dilakukan oleh Hamdan yang masih berlari. Apabila
rakan-rakan kita memerlukan bantuan, kita semestinya menghulurkan
bantuan kepada mereka. Kesimpulannya kita hendaklah mengamalkan
amalan-amalan yang baik dalam kehidupan harian kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment