| Khairul Azhar Bin Idris Fellow 13/07/2012 | Berita Harian |
Pada hari
ini, internet telah mewujudkan satu bentuk kehidupan baru kepada
manusia. Ia merupakan satu bentuk kehidupan yang tersendiri dan amat
unik serta berbeza dari kehidupan secara fizikal yang berlaku dalam alam
realiti ini. Ia adalah satu bentuk kehidupan yang baru dan dikenali
sebagai kehidupan dunia siber atau kehidupan alam maya, tetapi bukan
kehidupan di alam fantasi, kerana ia juga bersumber dari kehidupan di
alam realiti. Dunia internet telah banyak mengubah cara manusia hidup
dan berfikir serta berinteraksi dan berhubung. Ia lebih memudahkan
kehidupan dalam banyak perkara meliputi urusan perbankan dan jual beli,
perhubungan dan komunikasi, pengajian dan pembelajaran, keselamatan,
hiburan dan lain-lain.
Namun perlu diterima
hakikat bahawa dunia internet juga memiliki kemudharatan yang
tersendiri. Wujud pelbagai perkara negatif akibat dari penggunaan
internet ini yang meliputi pelbagai gejala seperti penipuan, penyamaran,
penggodaman dan serangan virus dan sebagainya. Wujud juga aktiviti
pembulian dalam dunia siber. Malah ada yang lebih teruk lagi apabila
penggunaan internet itu menyebabkan gejala ketagihan. Apakah sebenarnya
ketagihan internet? Ketagihan internet boleh berlaku kepada seseorang
apabila ia telah mengalami hilang upaya untuk mengawal tingkahlaku
penggunaan internet dalam kehidupan hariannya. Akibat dari
ketidakupayaan itu, ia akhirnya mengalami kesukaran dan kepayahan untuk
menjalani hidup. Gangguan yang berlaku amat menjejaskan kestabilan
fungsi emosi dan mental, perhubungan sosial dan pergaulan serta
tanggungjawabnya terhadap organisasi dan institusi dalam hidupnya.
Ketagihan
merupakan topik yang paling asas dan penting dalam bidang sains
kesihatan mental dan ia merupakan keadaan yang mendatangkan kepayahan
dan amat menjejaskan fungsi dan kehidupan individu serta memerlukan
rawatan yang khusus. Ia menjejaskan kehidupan yang harmoni bagi individu
dan keluarga mereka, organisasi, masyarakat dan negara. Ketagihan telah
dikategorikan kepada dua iaitu sebagai ketagihan terhadap bahan dan
juga ketagihan terhadap bukan bahan yang juga dikenali sebagai
‘ketagihan amalan' atau behavioral addiction.
Ketagihan
terhadap bahan lebih ketara dan lebih dikenali dalam masyarakat dan ia
meliputi ketagihan terhadap bahan terlarang seperti dadah, arak dan juga
rokok. Ia mendatangkan kesan keseronokan yang diperolehi setelah
diambil melalui proses penghadaman. Manakala ketagihan amalan pula amat
jarang dikenali masyarakat, namun ia tetap wujud dan semakin berleluasa
dalam masyarakat. Kesan keseronokan dan ketagihan yang diperolehi bukan
melalui proses penghadaman, tetapi dengan cara yang lain seperti
menerusi penglihatan atau penghiduan. Oleh itu, tidak hairanlah kerana
terdapat sesetengah individu yang mendapat keseronokan yang
mengakibatkannya menjadi ketagih untuk menghidu gam, menghidu bau
pakaian, ketagih kepada bau buku dan benda-benda pelik lain serta
sebagainya.
Amat perlu juga untuk difahami adakah
ketagihan internet itu berbeza dari jenis-jenis ketagihan yang lain
seperti ketagihan terhadap bahan-bahan terlarang seperti dadah, arak dan
alkohol? Amat menarik juga untuk mengetahui mengapa internet itu boleh
menyebabkan ketagihan kepada sesetengah orang dan tidak kepada semua
orang walaupun mereka turut sama-sama menggunakan internet? Adakah
perbezaan ini disebabkan oleh faktor genetik dan personaliti, atau
persekitaran, didikan dan asuhan keluarga atau pun pengaruh dan tekanan
dari rakan sebaya dan masyarakat?
Mengapa
ketagihan ini muncul selepas wujudnya era internet, dan adakah ia tidak
akan berlaku jika tiada internet seperti apa yang kita lihat sekarang?
Atau adakah benar wujud ketagihan terhadap internet sebagai satu jenis
penyakit ketagihan, atau sekadar omokan semata-mata? Banyak kajian yang
telah dilakukan dalam bidang ini bagi menjawab semua persoalan tersebut.
Pertamanya ialah ketagihan terhadap bukan bahan atau non-substance
addiction yang juga dikenali sebagai behavioral addiction ini sebenarnya
memiliki ciri-ciri dan simptom yang sama seperti yang berlaku pada
ketagihan akibat dari penyalahgunaan bahan (substance use disorder).
Dalam
kes ketagihan internet umpamanya, ia akan turut mendatangkan kesan
tolerance seperti yang dialami akibat dari penyalahgunaan bahan, iaitu
di mana seseorang itu berasa perlu untuk kekal secara dalam talian bagi
tempoh waktu yang tertentu bagi memenuhi keseronokan hanya untuk berada
dalam talian dan bagi mengelakkan rasa kekosongan dan kebosanan jika
mereka tidak berada dalam talian bagi tempoh tersebut. Mereka juga turut
mengalami desakan jiwa, mental dan emosi untuk mengekalkan keseronokan
dalam berinternet. Untuk mengekalkan keseronokan berinternet, mereka
akhirnya menjadi terdesak untuk memanjangkan tempoh waktu dalam talian,
yang akhirnya menambah kesukaran bagi mereka untuk berpaling dari
internet dan faktor keseronokannya. Di samping itu, mereka juga akan
mengalami sindrom waithdrawal iaitu akan berasa tidak selesa, cemas,
bimbang dan juga kemurungan jika tidak dapat berdampingan dengan
internet untuk sesuatu tempoh. Selain dari itu, keadaan ini amat sukar
untuk mereka kawal, dan akhirnya mendatangkan kesukaran dalam kehidupan
mereka akibat dari penggunaan dan kebergantungan secara berlebih-lebihan
terhadap internet.
Kajian juga menunjukkan bahawa
individu yang mengalami ketagihan internet terdiri daripada pelbagai
latarbelakang usia, baik golongan remaja, mahupun yang telah berusia.
Namun hakikatnya, golongan remaja masih mendominasi masalah ketagihan
ini. Manakala majoriti penduduk dari negara-nagara asia merupakan
penagih internet yang tegar, berbanding para penduduk di negara Eropah
dan Amerika, dengan negara China dan Taiwan merupakan negara yang paling
tegar. Muncul pelbagai andaian mengapa situasi ini berlaku begitu
ketara di negara sebelah Asia.
Antaranya ialah kejutan budaya yang berlaku akibat dari kesan teknologi internet, dan ramai daripada mereka yang terdedah kepada kemudahan internet adalah golongan muda-mudi yang masih membesar dan belum mempunyai pemikiran yang matang dalam kehidupan. Sebab lain pula seperti perhubungan dan ikatan kekeluargaan yang amat longgar sesama ahli keluarga, memiliki kemahiran perhubungan sosial yang lemah, pengaruh negatif dan tekanan oleh rakan sebaya yang mempunyai kecenderungan internet yang sama, dan sebagainya. Terdapat juga satu lagi kajian dalam Jurnal Asia-Pasific Psychiatry keluaran April 2012, yang menunjukkan bahawa faktor personaliti telah mendedahkan seseorang itu untuk berisiko tinggi menjadi ketagih apabila berhadapan dengan internet. Faktor personaliti itu ialah neurotisisma, psikotisisma dan penggunaan melampau mekanisma bela diri yang tidak matang. Bukan internet yang sebenarnya menyebabkan ketagihan, tetapi terdapat ciri-ciri yang menjurus kepada gangguan mental yang mendorong seseorang itu untuk terpengaruh dan akhirnya menjadi ketagih kepada internet. |
Ketagihan Internet dan Kesihatan Mental
Sains dan Teknologi: Suatu kelebihan atau kemudaratan?
Norkumala bt. Awang
Pegawai Penyelidik
|
Dalam
era dunia tanpa sempadan, semua maklumat hanyalah dihujung jari. Sains
dan teknologi membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan. Kemajuannya
tidak boleh dinafikan. Namun, dalam pada itu, ada juga yang menafikan
tentang kesan sains dan teknologi. Pelbagai kesimpulan yang dibuat oleh
individu berdasarkan pengamatan tentang kesan sains dan teknologi sama
ada membawa kepada kemajuan mahupun kemusnahan alam sejagat.
Tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi mempunyai peri pentingnya dalam pembangunan masyarakat sejagat. Namun ia juga tidak dapat disangkal mempunyai kesan buruk dalam pembangunan negara termasuk alam sekitar mahupun sosial. Semua ini tidak dapat dielakkan kerana kadang- kadang manusia sibuk mengejar kemajuan dan kecanggihan sehinggakan alpa dengan kesan buruk yang bakal menimpa. Segala penemuan dan ciptaan sains dan teknologi yang lahir dari akal manusia kadang tersasar dengan tujuan sebenar kerana tidak mengikut lunas-lunas yang telah digariskan oleh Islam. Tidak hairanlah jika kini banyak pengamalan sains dan teknologi juga mengundang kepada kemudaratan jika batas- batas penerokaan ilmu sains tidak menepati apa yang telah Islam utarakan. Kini, ciptaan yang cukup canggih hasil penemuan manusia dalam teknologi pertahanan mampu melindungi negara daripada diserang musuh. Pelbagai bentuk alat pertahanan daripada senjata sehinggalah alat kelengkapan perang turut mengiringi kemajuan sains dan teknologi. Dari satu sudut, ia mungkin membawa kebaikan kepada negara tapi jika difikirkan mungkin banyak lagi kesan yang timbul akibat penggunaan alat canggih hasil kemajuan sains dan teknologi. Pernahkah terfikir, bahawa kecanggihan alatan perang boleh membawa kemusnahan dunia termasuklah alam sekitar dan juga banyaknya jiwa yang terkorban dek kerakusan manusia sendiri. Contohnya, kesan penggunaan bom atau senjata api boleh memusnahkan alam sekitar. Walaupun sekadar untuk menguji keupayaan sesuatu ciptaan, kadang- kadang ia mengundangkan kepada kemusnahan alam sekitar seperti membawa kepada pencemaran alam. Sementara itu, tahap kepakaran yang tinggi dan peralatan canggih diperlukan untuk membina sendiri sebuah bom nuklear. Kini kawalan terhadap bahan radioaktif sebenarnya amat longgar memandangkan amalannya kian meluas. Kesan daripada letupan bom kotor mungkin tidak sedahsyat bom nuklear tetapi boleh menyebarkan bahan radioaktif dan menyebabkan radiasi ke kawasan yang lebih luas. Sudah tentu ia memberi kesan psikologi terhadap masyarakat yang kurang pengetahuan mengenai keselamatan sinaran. Mungkin ia juga menimbul kekalutan dan ketakutan yang akan menjejaskan kegiatan sesebuah masyarakat. Usaha pembersihan kawasan yang dicemari radiasi juga menelan belanja yang tinggi dan membabitkan tenaga kerja yang ramai dan peralatan yang canggih. Bukankah ia akan memberi kesan kepada ketenteraman awam, menyebabkan kegawatan ekonomi negara malah ia turut tersebar melalui tiupan angin dan tekanan udara ke negara yang bersempadan. Kesan inilah yang turut dibimbangi oleh banyak pihak kerana penyalahgunaan kemajuan teknologi yang sedia ada. Teknologi maklumat yang berkembang pesat sehingga ke hari ini memungkinkan semua lapisan masyarakat mendapat maklumat dengan begitu mudah. Pelbagai penerokaan maklumat boleh diperolehi tanpa ada batasan. Dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi, jalan dakwah terbuka luas untuk menyampaikan sesuatu yang berguna kepada masyarakat. Namun di sebalik kecanggihan dan kelebihan teknologi tersebut kini, terselit suatu keburukan yang jarang sekali difikirkan kerana ia timbul tanpa disedari. Ramai muda mudi kita terpengaruh dengan kelebihan teknologi maklumat. Kesannya kepada pembangunan sosial generasi kita terlalu besar di mana mereka leka dengan teknologi tersebut sehingga mengabaikan nilai murni. Contohnya, internet yang merupakan gedung ilmu, tetapi kadangkala muda mudi kita menyalahgunakan kelebihannya dengan melayari laman- laman web yang berunsur lucah dan tidak berakhlak. Ini akan mempengaruhi fikiran golongan tersebut dan akan merosakkan pembangunan nafs mereka.
Kemajuan
teknologi maklumat juga mendatangkan kesan buruk apabila kini berlaku
pula pencerobohan maklumat yang disebut sebagai "penggodam" di mana
maklumat sulit sesebuah negara boleh diceroboh dengan mudah. Melalui
teknologi terkini juga, pengubahsuaian ke atas sesuatu gambar boleh
dibuat. Kadangkala ia memberi kesan buruk kerana boleh menyebabkan
fitnah.
Kini bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang kejuruteraan makanan menerusi teknologi terkini mampu menghasilkan makanan ubahsuaian genetik (Genetically Modified Food) yang mempunyai ciri- ciri terbaik seperti tahan lama, sedap dan bermutu, mudah, murah serta meningkatkan pengeluaran tanaman contohnya beras perang, tomato dan cili. Makanan yang dihasilkan adalah sama tetapi mempunyai sifat- sifat yang berbeza yang dimasukkan dengan pelbagai gabungan gen organisma lain. Apa yang menjadi persoalan ialah sumber genetik yang digunakan untuk menghasilkan makanan ubahsuaian tersebut dikhuatiri daripada benda-benda yang dilarang oleh syarak. GMF juga memberi kesan terhadap kesihatan manusia kerana mengandungi bendasing (allergen) yang tidak diketahui kesan buruknya. Isu pengklonan juga mendapat perhatian hangat dari semua pihak. Hasil kemajuan teknologi mampu memindahkan genetik dari satu organisma ke organisma lain. Ini akan menghasilkan satu organisma yang sama dengan yang induk. Isu ini agak dibimbangi kerana takut disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan pengklonan manusia. Hal ini terlalu menyimpang dari landasan agama yang sebenar. Begitu juga dengan teknologi "stem cell" yang banyak kelebihannya dalam membantu mengatasi pelbagai penyakit. Namun apa yang dikhuatiri jika penggunaan "embryonic stem cell" bakal disalahgunakan juga untuk pengklonan manusia. Natijah daripada kemajuan sains dan teknologi kini sememangnya banyak membawa kepada kebaikan disamping terselit juga keburukan. Pokok pangkalnya, apa jua kemajuan yang dicapai perlulah berlandaskan nilai- nilai Islam dan mengikut batas- batas penerokaan ilmu yang telah ditetapkan. Barulah kemajuan dan pembangunan yang kita capai tidak terpesong dan tidak mendatangkan keburukan kepada ummah kerana kadangkala keburukan itu sebenarnya kita juga yang menciptakannya. |
Tips UPSR : Bahagian C
Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini.
Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu.
Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang dari dalam bilik itu. Pengajaran bagi ayat ini ialah "menghargai", manakala perbuatan yang menunjukkan adanya pengajaran ialah "Abang mengucapkan terima kasih".
Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas pengajaran yang sepatutnya. Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan iaitu:
Langkah pertama
Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Perkataan yang menunjukkan ada pengajaran ialah "mengulang kaji". Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.
Langkah kedua
Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:
a) Pengajaran - Rajin
b) Perbuatan - mengulang kaji pelajaran
c) Mengapa - lulus periksa
Langkah ketiga
Membina ulasan lengkap, contohnya: Kita mestilah rajin dengan mengulang kaji pelajaran agar lulus dalam peperiksaan. Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.
Langkah keempat
Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul.
Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Masa yang dicadangkan untuk Bahagian A ialah tiga minit untuk memahami gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak. Untuk Bahagian B (10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan lengkap dan lima minit lagi untuk semakan).
Untuk Bahagian C (lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan lengkap dan lima minit lagi menyemak). Lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan Bahagian A, B dan C.
Tips UPSR : Penulisan Bahagian B
Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan yang baik.
Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit. Petua untuk Bahagian B, calon mesti menggunakan FMK (Formula Menulis Karangan), iaitu kaedah menulis karangan berdasarkan perenggan 233332.
Setiap karangan mempunyai enam perenggan. 233332 bermaksud perenggan pertama dan keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat.
Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan dihasilkan kelihatan lebih kemas.
Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.
Langkah pertama - Pilih soalan
Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak dijawab. Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar mencari isinya.
Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya: Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda terdengar jeritan orang meminta tolong.
Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu. Kunci soalan ini ialah "Ceritakan tindakan". Kehendak soalan ialah "menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan", manakala format dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat. Langkah dicadangkan ini boleh membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.
Langkah kedua - Merangka karangan
Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada "Peta Minda", "Melakar Isi" atau "Teknik Penyoalan".
Langkah ketiga - Menulis karangan
Pastikan ada enam perenggan. Pastikan juga tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pengenalan itu. Contohnya:
1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh melancong di dalam atau luar negara.
Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2. Untuk karangan fakta, calon boleh menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC (isi, kesan dan contoh).
Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti dalam bentuk rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.
Langkah keempat - Semak karangan
Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih untuk menjawab Bahagian C.
Tip UPSR: Penulisan Bahagian A
BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. Persediaan awal penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.
Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.
BAHAGIAN A
Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan empat langkah, iaitu:
Langkah pertama
Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat". Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak).
Langkah kedua
Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Cikgu cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang berkaitan.
Langkah ketiga
Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak). Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana dan mengapa).
Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa) Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.
Langkah keempat
Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.
Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan "membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat.
Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.
Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas.
Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat.
Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan. Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur.
Karangan Jenis Autobiografi
terperinci.
2. Ada yang mengisahkan riwayat hidup penulis sendiri dari awal hingga akhir.
3. boleh ditulis dalam bentuk cerita atau penerangan / rencana
4. Aturan membina karangan
· tempat asal - nama - dilahirkan dimana - proses pembuatan - dibungkus
· perjalanan dari kilang hingga ke tempat pameran - di mana dipamerkan - bertukar milik
· proses penggunaan dengan tuan baru - akhir hayat
· perasaan - sedih atau gembira
5. boleh gunakan dialog untuk bercakap sesama rakan , bukan dengan manusia.
6. paparkan nilai-nilai murni
Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk ’Aku Sebuah Basikal“.
Pengenalan berasal dari Jepun dibuat di sebuah kilang besi waja
terdiri daripada besi waja, getah dan plastik
Perenggan ke-2 disebut basikal
dipamerkan
berasa sungguh gembira
Perenggan ke-3 menaiki sebuah kapal dagang
berasa sungguh bangga
Perenggan ke-4 nasib malang
kapal karam
dijumpai oleh penyelam
dijual sebagai besi buruk
Penutup menjadi bahan terbuang
kesal kerana tidak dapat berbakti
Aku berasal dari ’Negara Matahari Terbit“. Aku dibuat di sebuah kilang besi waja yang tidak besar. Badanku terdiri daripada besi waja, getah asli, kaca dan pleastik.
Apabila badanku telah siap dibuat, aku disebut basikal. Aku dan kawan -kawanku yang lain
dipamerkan di sebuah bilik pameran. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai orang memuji kecantikanku.
Tidak lama kemudian aku dan kawan-kawanku menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan dua orang kelasi kapal itu, aku mendapati ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memilikiku. Aku semakin bangga.
Nasib kami sungguh malang . Kapal kami karam. Aku dan kawan-kawanku lemas. Setahun
kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku ke kedai yang membeli besi buruk. Aku dijual di situ.
Aku berasa sungguh kesal kerana aku telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia.
Tips UPSR kertas 2 ( Bahagian C )

Pengenalan
Calon diminta untuk membuat rumusan berdasarkan bahan yang diberikan dalam bahagian ini. Calon ada diberikan rangsangan atau situasi dalam bentuk petikan, puisi, rencana dan sebagainya. Calon diminta untuk membuat rumusan dalam lingkungan 50 perkataan.
Perkara yang perlu dicari daripada petikan ialah seperti Nilai Murni, Amalan Baik, Faedah dan juga Pengajaran daripada rangsangan atau situasi yang diberikan tadi.
Langkah-langkah yang dicadangkan ialah:
1. Baca dan fahami kehendak atau arahan soalan
- Baca soalan dengan teliti dan fahami arahannya.
- Arahan meminta anda menulis beberapa nilai atau pengajaran
berdasarkan petikan yang diberi.
- Jawapan itu hendaklah ditulis dalam satu perenggan.
2. Mencatat nilai murni atau pengajaran
- Baca dan fahami kandungan petikan.
- Catat seberapa banyak nilai murni / pengajaran yang terdapat dalam
petikan.
- Dicadangkan anda mencari dan mencatat sekurang-kurangnya lima nilai
murni / pengajaran.
- Masa yang dicadangkan untuk mencari dan mencatat nilai murni ini
sekitar lima minit.
3. Menulis ayat lengkap
- Berdasarkan nilai murni / pengajaran, tulis dan nyatakan keterangan lanjut
tentang nilai murni / pengajaran dengan menggunakan ayat sendiri.
- Sebaiknya setiap nilai murni / pengajaran itu disertakan contoh.
- Hendaklah ditulis dalam satu perenggan.
- Masa yang dicadangkan untuk mengarang ialah 10 minit.
4. Menyemak
- Setelah siap, baca dan pastikan ayat yang digunakan lengkap dan mengikut strukturnya.
- Semak juga aspek tatabahasanya.
- Masa yang dicadangkan untuk menyemak ialah 5 minit.Untuk Rajin, Jadi Berdisiplin
Untuk merajinkan diri, Anda perlukan dispilinkan diri, sedisiplin yang mungkin. Maksudnya, berlaku tegas dengan diri sendiri.
Jangan biarkan malas ‘menggoda’ Anda. Tiap kali rasa malas menyelubungi diri Anda, fikir tentang matlamat Anda dan bayangkan apa yang menjadi impian Anda. Sejurus selepas itu, rasa malas tadi akan hilang perlahan-lahan.
Kalau masih rasa malas juga, cuba buat senaman ringan. Senaman paling ringan adalah dengan latihan menarik nafas atau “breathing exercise”.
Untuk melakukannya, tarik nafas dalam kiraan tujuh saat, tahan dalam kiraan tujuh saat dan kemudian hembus perlahan-lahan juga dalam kiraan tujuh saat. Buat sebanyak 2 atau 5 kali.
Selepas tu, akan rasa pening sedikit, tapi sekejap saja. Bila dah ok, lama-kelamaan, rasa malas, mengantuk, berat tadi tu hilang.
Malas ni terjadi disebabkan kurangnya bekalan oksigen ke otak lalu menimbulkan rasa mengantuk, kesanya Anda jadi malas, mengantuk dan rasa ‘berat’.
Anda takkan dapat melawan rasa malas untuk cuba mendisiplinkan diri. Cara paling baik adalah tegas pada diri sendiri dan mengikut apa yang telah menjadi senarai tugas (to do list).
Jika Anda rasa malas nak belajar, tegaskan diri untuk mengulangkaji pada hari itu. Jangan terlalu paksa, relaks, biar kemahuan nak belajar tu timbul dengan sendirinya.
Untuk menimbulkan kemahuan belajar, baca matlamat Anda dan impian-impian Anda yang telah Anda tulis sebelum ini paling kurang 5 kali. Ia akan menaikkan semangat Anda.
Jika Anda rasa malas dan pergi kerja mahupun rasa berat nak urus bisnes part time selepas waktu kerja, fikirkan tentang matlamat Anda dan faedah yang Anda dapat bila dah mencapai matlamat Anda.
Bayangkan bagaimana rasanya bila mendapat apa yang Anda idamkan. Selepas itu, Anda akan rasa bagai ada ‘booster’ yang menyuntik semangat Anda dan kerajinan Anda.
Selitkan beberapa emosi sepeti gembira, ceria mahupun girang. Cara lain, niat Anda lakukan ia untuk mereka yang Anda sayangi, keluarga Anda, adik beradik Anda atau si dia.
Kesan dari mainan emosi amat hebat. Disiplinkan diri Anda, kerana itu sikap orang-orang yang berjaya dan mereka yang cemerlang.
Tiru sikap ni dan Anda boleh jadi cemerlang seperti mereka juga!
By Shukri Abdullah- Pakar Motivasi
