Showing posts with label KARANGAN JENIS PENGALAMAN. Show all posts
Showing posts with label KARANGAN JENIS PENGALAMAN. Show all posts

Pengalaman Menyaksikan Kebakaran



Anda telah menyaksikan satu kebakaran. Ceritakan pengalaman anda menangani situasi tersebut.

Aku masih tidak dapat melupakan peristiwa kebakaran yang berlaku pada bulan lepas. Setiap kali membaca akhbar tentang kejadian kebakaran fikiran ini terus teringat akan kejadian itu. Masalah ini berterusan kerana aku terlibat secara langsung dalam peristiwa tersebut.

Peristiwa kebakaran itu berlaku pada waktu petang hari Ahad minggu terakhir pada bulan lepas itu. Ketika itu, aku berada di satu simpang jalan menuju ke arah rumahku. Tiba-tiba sahaja, aku terdengar jeritan orang ramai meminta pertolongan kemudian perkataan api berulang kali pula berkumandang. Rupa-rupanya, jeritan itu datangnya dari sebuah rumah di deret rumah yang berada di tepi jalan itu.Tanpa membuang masa, aku segera menelefon pihak bomba dengan menggunakan telefon bimbit yang diberikan oleh ibu tadi. Kemudian, aku menuju ke rumah yangsedang terbakar itu.

Ketika aku sampai, sudah ada beberapa jiran yang sibuk mengangkat keluar beberapa peralatan elektrik dari rumah tersebut. Aku membantu mereka. Ada juga beberapa orang yang hanya duduk melihat sahaja.Kemudian kedengaran bunyi siren bomba. Pasukan bomba begitu pantas bertindak kerana dalam masa tidak sampai 10 minit sahaja api yang sedang marak dibahagian atas rumah itu sudah berjaya dipadamkan oleh mereka. Menurut jiran- jiran, kebakaran itu berlaku akibat litar pintas.

Aku bersyukur kerana dapat membantu mangsa kebakaran dengan segera membuat panggilan kepada pihak bomba. Semua penghuni rumah itu dalam keadaan selamat. Hanya bahagian atas rumah itu sahaja yang terbakar teruk. Aku difahamkan jiran-jiran kawasan itu telah memberi bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran itu

Berkelah Di Tepi Pantai

Pada hujung minggu yang lalu, saya sekeluarga telah berkelah di Pulau Tioman. Saya mengikut bapa, ibu, adik dan abang ke sana. Kami berasa sungguh gembira ketika terdengar cadangan bapa itu. Sebelum bertolak, kami sekeluarga menyediakan barang-barang yang digunakan seperti pakaian renang, makanan, pelampung, bola dan sebagainya.

Kira-kira pukul 9.00 pagi, kami sekeluarga pun tiba di destinasi. Apabila kami tiba di sana, kamiternampak banyak pelancong. Suasana di sana sungguh meriah. Saya berasa seronok keranadapat berkelah di tepi pantai.

Bapa dan ibu sedang memerhati kami sambil berehat di bawah sebatang pokok yang rendang. Abang dan adik membina istana pasir di tepi pantai. Saya pula makan sebiji epal dan sebiji pisang sebagai alas perut. Saya terlalu gembira kerana dapat mandi-manda di pantai.

Saya terjun ke dalam air laut untuk mandi-manda. Say amandi menggunakan pelampung supaya tidak tenggelam. Saya dapat melihat banyak ikan di dalam air laut kerana air di sana bersih dan jernih. Cuaca pada hari itu juga baik.

Selepas mandi, kami pun makan bekalan yang dibawa. Ketika menjamu selera, tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa itu menyegarkan kami. Makanan yang disediakan oleh ibu sungguh enak dan sedap.

Pada pukul 1.30 petang, kami pun mengemaskan barang-barang lalu pulang ke rumah. Oleh sebab saya terlalu letih, saya pun terlena dalam perjalanan pulang ke rumah. Saya berharap agar dapat berkunjung ke sini lagi pada masa cuti sekolah yang akan datang .

Pengalaman : Bercuti Ke Pulau Pangkor

Hatiku melonjak-lonjak riang, tidak sabar rasanya menunggu harinya. Begitulah perasaanku apabila diberitahu oleh ayah bahawa kami akan bercuti di sebuah pulau peranginan. Di mana ya? Ayah masih berahsia kepada kami.

Lamunanku tersentak apabila mendengar suara ayah, “Turun!...kita dah sampai ke jeti.” Lumut, perkataan yang tertulis di pintu masuk ke jeti. Sahlah sekarang, bahawa ayah akan membawa kami ke Pulau Pangkor. Aku menjerit. “Yahoo!…” Ayah dan ibu tersenyum melihat gelagat kami tiga beradik.

Selepas setengah jam, kami pun sampai ke calet tempat kami menginap. Ayah menyewa sebuah kereta lalu membawa kami bersiar-siar mengelilingi pulau. Kami dapat melihat pantai yang putih bersih dan laut yang membiru. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pokok-pokok kelapa melambai-lambai, seolah-olah menyambut kedatangan kami.

Pada sebelah malam, ayah membawa kami ke sebuah restoran di tepi laut untuk menikmati makanan laut yang sungguh segar dan enak. Kami makan dengan sepuas-puasnya. Gulai ketam, udang, sotong dan ikan bakar menjadi hidangan yang cukup istimewa sehingga menjilat jari.

Esoknya, pagi-pagi lagi kami sudah melangkah ke gigi air tidak jauh dari calet penginapan kami. Kami bermandi-manda di air yang jernih dan sejuk. Saya dan adik membina istana pasir. Abang pula mengutip kulit-kulit siput. Ayah telah merakamkan segala pergerakan kami dengan kamera digitalnya untuk dijadikan kenangan.

Selepas bercuti di situ selama empat hari, kami pun berkemas untuk pulang. Sebelum bertolak, kami singgah di gerai untuk membeli sedikit cenderahati. Akhirnya, kami pulang dengan membawa seribu kenangan manis yang tidak mudah kami lupakan.

Peristiwa yang tidak dapat dilupakan

 Hari ini sekali lagi aku berdiri di hadapnn kelas . Aku masih lagi gagal menghafal sifir tujuh dan sifir lapan sepertimana rakan-rakanku yang lain. Cikgu Rahman memandangku dengan dengan muka yang merah padam tanda marah.

          Tiba-tiba Cikgu Rahman menyuruh aku menadah tangan. Cikgu Rahman merotan tapak tanganku sebanyak dua kali. Merah mukaku menahan kesakitan. Bertambah sedih hatiku apabila ada beberapa orang rakan kelasku bertepuk tangan. Mereka mengejek aku.

          Sebelum aku pulang ke tempat dudukku, sekali lagi aku diingatkan supaya menghafal kedua-dua sifir tersebut. Jika aku masih gagal menghafalnya, aku akan dirotan lagi. Pada hari itu, sebaik sahaja pulang dari dari sekolan aku terus masuk ke bilikku sambil menangis. Ibu yang melihat aku  menangis terus mendekati dan bertanya  mengapa aku menangis.

          Aku menceritakan kepada ibu tentang peristiwa yang berlaku di sekolah tadi. Aku menunjukkan kesan tapak tanganku yang masih berbekas merah akibat dirotan. Ibu tidak menyalahkan Cikgu Rahman sebaliknya menyuruh aku mengubah sikapku dan berusaha menghafal sifir tersebut. Pada petang itu, ibu membantu aku menghafal kedua-dua sifir tersebut.

          Aku menghafal dengan bersungguh sungguh. Akhirnya aku berjaya. Dua hari kemudian, sekali lagi aku dipanggil oleh Cikgu Rahman ke hadapan kelas untuk menghafal sifir tujuh dan lapan. Aku telah berjaya menghafal dengan lancar. Cikgu Rahman memuji dan menghadiahkan aku RM5.00.

          Hari itu adalah yang paling menggembirakan aku. Walaupun peristiwa itu telah lama berlaku, namun masih segar dalam ingatanku sehingga ke hari ini. Dengan menghafal sifir tersebut, pencapain aku dalam mata pelajaran Matematik semakin baik dan sentiasa dipuji oleh Cikgu Rahman.