Showing posts with label BAHASA KITA. Show all posts
Showing posts with label BAHASA KITA. Show all posts

PERUMPAMAAN

Perumpamaan ialah susunan kata-kata yang indah, ringkas, dan
kemas serta  mempunyai maksud yang tersirat.

Biasanya, perumpamaan dimulai dengan kata bagai, ibarat, laksana,
seperti, dan umpama.

Senarai perumpamaan dan maksudnya adalah seperti yang berikut:
Perumpamaan
Maksud
Bagai aur dengan tebing
tolong-menolong antara satu dengan yang lain
Bagai bunyi cempedak jatuh
bunyi jatuh yang kuat
Bagai bulan dipagari bintang
kecantikan gadis yang tiada bandingannya
Bagai diiris dengan sembilu
perasaan yang sangat pedih
Bagai duri dalam daging
sesuatu hal yang tidak menyenangkan
Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
hanya mementingkan diri sendiri
Bagai itik pulang petang
berjalan lambat sekali
Bagai isi dengan kuku
persahabatan yang sangat erat
Bagai kacang melupakan kulit
orang yang tidak tahu mengenang budi
Bagai kumbang putus tali
amat cepat; terlepas daripada sengsara
Bagai melepaskan batuk di tangga
membuat sesuatu kerja sambil lewa saja
Bagai menatang minyak yang penuh
mendidik anak dengan penuh belaian kasih sayang
Bagai mencencang air
membuat pekerjaan yang sia-sia
Bagai mural tercabut ekor
seseorang yang becok mulutnya
Bagai si kudung mendapat cincin
orang yang tidak dapat merasai nikmat atau menggunakan kemudahan yang diperoleh
Bagai pinang dibelah dua/ Seperti cincin dengan permata
pasangan yang sama padan dan sama cantik
Bagai tikus membaiki labu
merosakkan lagi barang yang dibaikinya
Seperti abu di atas tunggul / Seperti telur di hujung tanduk
kedudukan tidak tetap atau tidak terjamin
Seperd anak ayam kehilangan ibu
berpecah dan hilang tempat bergantung
Seperti anjing dengan kucing
adik-beradik yang suka bergaduh
Seperti anjing dengan bayang-bayang
orang yang tamak, tidak cukup dengan apa-apa yang ada
Seperti api dalam sekam
dendam; perbuatan jahat yang tersembunyi
Seperti ayam berak kapur
muka pucat dan tidak bermaya
Seperti bertih digoreng
bunyi bising atau percakapan yang tidak berhenti-henti
Seperti cacing kepanasan
tidak diam atau tenang; selalu gelisah
Seperti embun di hujung rumput
kasih sayang yang tidak berkekalan
Seperti gergaji dua mata/ Seperti talam dua muka
seseorang yang mengambil kesempatan daripada pertelingkahan antara dua pihak
Seperti harimau menyembunyikan kukunya
menyembunyikan kelebihan yang ada pada dirinya
Seperti hujan jatuh ke pasir/ Seperti mencurahkan air ke daun keladi
memberi nasihat kepada orang tetapi tidak berkesan
Seperti katak di bawah tempurung
orang yang cetek pengetahuannya mengenai hal dunia luar
Seperti kera kena belacan
tidak suka duduk diam
Seperti kera mendapat bunga
seseorang yang tidak tahu menghargai pemberian orang lain
Seperti kerbau dicucuk hidung
seseorang yang lurus; menurut segala perintah orang lain tanpa usul periksa
Seperti langit dengan bumi
perbezaan yang amat ketara
Seperti mengajar itik berenang
mengajar seseorang yang arif atau pandai daripada kita
Seperti pahat dengan penukul
orang yang hanya bekerja apabila diperintah
Seperti pungguk rindu akan bulan
mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin diperoleh
Seperti rusa masuk ke kampung
berasa hairan dan tercengang-cenggang apabila berada di tempat yang baru
Seperti tikus jatuh di beras
memperoleh kekayaan yang tidak disangka-sangka
Seperti ular kena palu
jalan atau barisan yang bengkang-bengkok

SIMPULAN BAHASA

Simpulan
Bahasa
Maksudnya
ada angin
berkelakuan luar biasa pada sesuatu ketika
ada hati
mempunyai keinginan yang melebihi kemampuan
untuk melakukan atau memiliki sesuatu
air muka
rupa atau wajah seseorang
ajak-ajak ayam
tidak bersungguh-sungguh semasa mempelawa seseorang
ada bakat
mempunyai tokoh atau perwatakan
alas perut
makanan yang dimakan untuk sementara waktu
 sebelum memakan makanan yang mengenyangkan
anak angkat
anak orang lain yang dipelihara sebagai anak sendiri
anak bapa
anak yang disayangi oleh bapa
anak buah
orang yang di bawah jagaan seorang ketua atau
 anak saudara
anak emas
anak yang disayangi oleh ibu bapa atau ketuanya
angkat kaki
meninggalkan sesuatu tempat kerana sesuatu sebab
atas angin
negara-negara di sebelah barat
atas pagar
tidak menyebelahi mana-mana pihak
ayam tambatan
orang yang menjadi harapan dalam sesuatu
pertandingan
bahasa pasar
bahasa Malaysia yang tidak betul tatabahasanya
banyak mulut
orang yang banyak bercakap
batu api
orang yang suka menghasut
batu loncatan
sesuatu yang dijadikan alat untuk mendapatkan
 sesuatu yang dihajati
bau-bau bacang
tali persaudaraan yang jauh
bawah angin
negara-negara di sebelah timur
bekas tangan
hasil kerja tangan seseorang
beralih akal
berubah fikiran atau pendapat
beralih angin
pergi ke sesuatu tempat untuk berehat
berat hati
enggan; malas
berat mulut
pendiam atau tidak suka bercakap banyak
berat tulang
orang yang malas bekerja
berat sebelah
tidak berlaku adil
berbelah bagi
sukar untuk membuat keputusan
berhati batu
degil dan sukar menerima nasihat
berhutang budi
patut membalas kebaikan seseorang
dengan kebaikan juga
bermuka dua
tidak jujur
bertikam lidah
bertengkar; berdebat
besar hati
bergembira atau berbangga akan sesuatu
besar kepala
degil; sukar menerima pandangan orang lain
buah hati
orang yang dikasihi atau dipuja
buah mulut
sesuatu yang menjadi perbualan orang ramai
bush tangan
hadiah yang dibawa ketika melawat seseorang
bulat hati
bersungguh-sungguh ketika membuat sesuatu;
sudah nekad
buruk siku
mengambil balik sesuatu yang telah diberikan
kepada orang lain
buta hati
tidak dapat menerima pengajaran; zalim; kejam
cahaya mata
anak
cakar ayam
tulisan yang buruk
campur tangan
turut serta atau mencampuri urusan orang lain
cari jalan
berusaha atau berikhtiar melakukan sesuatu
epat tangan
suka mencuri
dalam tangan
sudah pasti akan diperoleh
darah daging
anak kandung
durian runtuh
keuntungan yang diperoleh dengan
tidak disangka-sangka
gaji buta
mendapat gaji tanpa perlu bersusah payah
atau bekerja bersungguh-sungguh
gelap mata
hilang pertimbangan kerana terpengaruh
oleh wang atau harta
harga diri
maruah atau kehormatan seseorang
harga mati
harga tetap yang tidak dapat ditawar lagi
hati batu
degil atau keras hati
hidung tinggi
sombong atau tinggi diri
hilang akal
tidak tahu apa-apa yang perlu dibuat;
hilang pertimbangan diri
ikat perut
menahan lapar kerana berjimat
iri hati
menyimpan perasaan dengki atau cemburu
isi hati
perasaan dalam hati
jalan buntu
tidak ada jalan penyelesaian
kacang hantu
orang yang jahat dan suka mengganggu orang lain
kaki ayam
tidak berkasut atau berselipar
kaki bangku
tidak berkebolehan bermain bola
kaki botol
suka minum minuman keras
kecil hati
berasa tersinggung atau merajuk
kepala angin
perangai yang tidak menentu
kepala batu
degil dan tidak mendengar nasihat
kera sumbang
orang yang tidak suka bergaul dengan orang lain
khabar angin
berita yang belum tentu benarnya
langkah kanan
bernasib baik
langkah seribu
cepat-cepat lari kerana ketakutan
lidah bercabang
kata-kata yang tidak dapat dipercayai
lipas kudung
cepat membuat kerja
lintah darat
mengambil keuntungan berlebihan
atas pinjaman yang diberikan
makan angin
bersiar-siar untuk berehat
makan suap
menerima rasuah
malu-malu kucing
berpura-Aura malu di hadapan orang
mandi peluh
bekerja kuat
mati katak
mati dengan sia-sia
membabi buta
melakukan sesuatu tanpa berfikir
membawa diri
tahu menjaga diri
membuka jalan
memberi laluan kepada orang lain
membuka tembelang
menceritakan keburukan seseorang
 kepada orang lain
memeras otak
terlalu kuat berfikir atau belajar
menarik diri
tidak turut serta; meletak jawatan
mencari jalan
berusaha untuk melakukan sesuatu
mencuci mata
gembira memperhatikan sesuatu yang indah
mencuit hati
lucu; menggelikan hati
mengabui mata
cuba memperdaya; menipu
mengadu domba
memperlagakan seseorang untuk
memecahbelahkan persahabatan dan sebagainya
mengambil angin
bersiar-siar untuk berehat
mengambil berat
memberi sepenuh perhatian
mengambil hati
dapat memikat atau mempengaruhi
mengasah bakat
latihan untuk mengembangkan bakat
muka tembok
tidak berasa malu
mulut murai
kuat bercakap atau berbuat bising
mulut tempayan
tidak dapat menyimpan rahsia
murah hati
suka bederma; tidak kedekut
naik angin
terlalu marah
nyawa-nyawa ikan
hampir-hampir mati
orang atasan
orang yang berpangkat tinggi
otak cair
pintar atau bijak
otak kering
kurang siuman
otak udang
bebal atau bodoh
paku belanda
barangan yang tetap harganya
panas hati
meradang atau marah
panjang tangan
suka mencuri
pasang telinga
mendengar dengan teliti
pekak badak
kurang jelas pendengarannya; tidak dapat
mendengar bunyi yang kuat
pembasuh mulut
makanan atau minuman yang dihidangkan
 selepas makan nasi
perang mulut
pertengkaran
pilih kasih
memberi layanan yang lebih kepada
 orang yang disukai
pisau cukur
perempuan yang suka menghabiskan
 harta benda lelaki
puteri lilin
tidak tahan terkena panas matahari
putih hati
ikhlas; jujur
putih mata
mengalami kekecewaan
rabun ayam
penglihatan yang kurang jelas
rambang mata
sukar membuat pilihan
ringan tangan
suka membuat kerja: menolong orang
sampai hati
tergamak melakukan sesuatu kerja
serkap jarang
membuat tuduhan secara agak-agak atau
 tanpa usul periksa
tangan terbuka
menyambut sesuatu dengan senang hati
tangkai jering
orang yang kedekut
tawar hati
tidak mempunyai minat lagi
tebal muka
tidak tahu malu
telinga kuali
tahan hati menerima kemarahan
telinga lintah
tajam pendengaran
telinga nipis
cepat marah atau meradang
terang hati
mudah memahami sesuatu
tidur-tidur ayam
tidur yang tidak nyenyak
tin kosong
bercakap besar tanpa ilmu
titik peluh
hasil usaha yang bersungguh-sungguh

Kata Penguat

Klik gambar untuk membaca


Kata Nafi

Klik gambar untuk membaca


Penjodoh Bilangan

Klik gambar untuk membaca



Bahasa Istana

Klik gambar untuk membaca


Peribahasa Melayu Lama


Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah

Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi

Tulisan Jawi (توليسن جاوي) ialah satu seni penulisan yang telah wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. Tulisan Jawi berasal daripada tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan Jawi ialah tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M,  manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu.

Papan iklan di Jalan Tok Hakim, KB
Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. 


Selain itu, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.



Nama-nama hari dalam tulisan Jawi
Isnin اثنين
Selasa ثلاث
Rabu رابو
Khamis خميس
Jumaat جمعة
Sabtu سبتو
Ahad احد


Tulisan jawi kini semakin terpinggir di bumi sendiri semenjak huruf roman diperkenalkan untuk menggantikannya selaras dengan perkembangan teknologi dan juga pengaruh Inggeris terhadap orang Melayu-Islam. 

Kini amnya, tulisan jawi terhad penggunaannya dalam kalangan mereka yang berada dalam institusi agama Islam, seperti para ulamak, guru-guru agama dan pegawai tadbir jabatan agama Islam. Malahan, penerbitan Utusan Zaman seminggu sekali dan hanya menjadi sisipan Utusan Malaysia menandakan merudumnya penggunaan tulisan jawi.

Lentuk atau Lentok?

Lentuk bermaksud mudah dilenturkan agar melengkung (seperti rotan dan lain-lain). 

Sementara lentok pula berhubung dengan kepala yang menghala ke sisi seolah-olah terkulai atau terkelepai ke bawah dan memiring. 

Lentok juga dipakai sebagai kata ganda bagi lentang (lentang-lentok) yang bermaksud terkulai lemah, tidak tegak, atau melentok.

Ayat contoh yang diberi seharusnya menggunakan perkataan lentok (bukan lentuk):
 
Apa yang menarik ialah pad lekapan pada bahagian belakang helmet memastikan kepala anda tidak terlentuk (seharusnya terlentok) ke kanan atau ke kiri ketika anda tidur.

Meranduk

Sering kita dengar atau jumpa perkataan meranduk tetapi tidak tahu maksudnya.

Meranduk bermaksud:
berjalan dalam air (semak dll); mengharung; menempuh.
mengharungi (air, rumput, dll), menempuh, merandai: 

Contoh ayat 



1. Mereka meranduk air itu menuju ke tempat yang selamat 


2. Mereka meranduk  rumput tebal di tepi jalan.

Kekisi ,kekuda, tetupai dan sesiku L


Kekisi bermaksud batang-batang daripada kayu atau logam (besi dan lain-lain) yang dipasang berdiri pada tingkap dan lain-lain,  atau jeruji. 


Kekuda bermaksud kayu penyangga tulang bumbung rumah atau kayu palang untuk menyangga (kayu yang akan ditarah dan lain-lain.





Tetupai bermaksud keratan kayu yang dilekapkan (dipakukan) pada tiang dan lain-lain untuk menyangga sesuatu. 






Sesiku bermaksud sejenis alat berbentuk `L' atau `T' (untuk melukis atau mengukur sesuatu sudut tepat); atau sejenis alat segi tiga daripada kayu dan lain-lain (dan bersudut 90°, 60°, dan 30° atau 90°, 45°, dan 45°).

cincang atau cencang

Satu lagi kesilapan yang sering berlaku di media setempat terutamanya dalam ruangan masakan ialah penggunaan perkataan cencang. 

Banyak pengguna merujuk perkataan yang bermaksud daging yang ditetak kecil-kecil sehingga menjadi halus dengan perkataan ‘cincang’. Cincang sebenarnya sejenis tumbuhan yang nama lainnya ialah cungkil, kabau, dan semincang.

Sebenarnya ejaan yang tepat ialah cencang:
 
+ Tukang masak itu sedang mencencang daging.
+ Daging cencang yang dibeli ibu itu hendak dibuat belotok atau sosej.
 
Cencang-cencang buah mangga,
Cecah kicap bercampur gula;
Duduk bincang dengan keluarga,
Jangan bercakap berjela-jela

Kita akan tertanya-tanya ketika membaca tajuk berita akhbar di slaid ini; 

Adakah nenek yang malang itu ditetak kecil-kecil sehingga halus? 

Sebenarnya ayat tersebut mengandungi unsur hiperbola; ungkapan kiasan yang diturunkan secara berlebih-lebihan untuk meninggalkan kesan tertentu. Namun ejaannya perlulah baku, iaitu cencang, bukan cincang dan digunakan sebagai unsur kreatif, bukan berita.

Cakna Bahasa :Kesalahan Bahasa pada Bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri

Banyak sekali kesalahan bahasa yang dapat kita temukan sepanjang bulan Ramadan (yang tinggal beberapa hari lagi) dan ketika kita menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sebagai contoh:

SALAH - BETUL
a. Ramadhan – Ramadan
b. di bulan puasa – pada bulan puasa
c. murtabak – martabak
d. hadiah percuma – hadiah
e. bazaar – bazar
f. satey/satay – sate
g. nasi baryani – nasi beriani
h. nasi campor – nasi campur
i. di hari raya – pada hari raya
j. balik kampung – balik ke kampung
k. Aidil Fitri – Aidilfitri
l. saling bermaaf-maafan – saling bermaafan/bermaaf-maafan
m. saling bersalam-salaman – saling bersalaman/bersalam-salaman
n. saling berkunjung-kunjungan – saling berkunjungan/berkunjung-kunjungan
o. buffet – bufet
p. bubur lambok – bubur lambuk
q. selamat hariraya – selamat hari raya
r. bahulu – baulu


Sumber : http://witra.blogspot.com

Soal Jawab Topik Tatabahasa

Soalan:
1. Cikgu, perkataan "klik" perlu dibubuh imbuhan "menge-" menjadi "mengeklik"? atau "menklik" ? atau "mengklik"?

Jawapan:

Klik ialah kata pinjaman daripada bahasa Inggeris. Oleh itu, kata ini dikecualikan daripada rumus PTKS. Dalam hal ini, apabila awalan me(N)- diimbuhkan kepada kata pinjaman, ejaan untuk kata pinjaman tersebut kekal. Sebagai contohnya, kata kritik apabila menerima awalan meng- akan menjadi mengkritik. Begitu jugalah halnya dengan kata klik. Apabila kata klik menerima awalan meng-, kata itu akan menjadi mengklik, bukan mengeklik. Selain itu, rumus bahasa Melayu juga menetapkan bahawa kata yang bermula dengan huruf "k" seperti katalog, kategori, dan sebagainya akan menerima awalan meng-, bukan men-. Oleh itu, ejaan menklik tidak tepat.


2. Apakah perbezaan penggunaan "marabahaya" dan "berbahaya" mengikut pendapat Cikgu?

Jawapan:
Marabahaya bermaksud bermacam-macam-macam bahaya atau bencana, manakala berbahaya bermaksud ada bahaya atau boleh mendatangkan bahaya. Merbahaya pula ialah variasi berbahaya yang tidak baku.



3.Ayat "Kanak-kanak yang comel-comel itu duduk di tempat masing-masing" betul tak? Bolehkah dalam satu ayat wujudnya 2 atau 3 kata ganda?

Jawapan:
Ayat "Kanak-kanak yang comel-comel itu duduk di tempat masing-masing" betul. Hal ini demikian kerana dalam bahasa Melayu perkataan "kanak" dan "masing" tidak boleh berdiri dengan sendiri.


4. Cikgu, huraikan perbezaan antara "patriotik", "patriotisme" "nasionalis", "nasionalisme". Terima kasih.

Jawapan:
Patriot bermaksud orang yang mencintai atau mempertahankan kedaulatan negaranya. Patriotik bermaksud orang yang mempunyai sifat cinta akan negaranya.
Patriotisme pula ialah semangat cinta yang kuat akan negaranya.

Nasionalis ialah pencinta bahasa atau orang yang mencintai nusa dan bangsanya. Nasionalisme pula ialah perasaan cinta akan bangsa dan negara sendiri yang mendalam. Selain itu, nasionalisme bermaksud pergerakan untuk mencapai kebebasan dari segi ekonomi dan politik daripada kuasa asing.

Kesimpulannya, patriot, patriotik dan patriotisme lebih menjurus kepada negara. Nasionalis dan nasionalisme pula lebih menjurus kepada bahasa, bangsa dan negara.



5. Cikgu, "jawapan" ialah variasi kata kepada "jawaban", maka adakah "biadap" merupakan variasi kepada "biadab"?

Jawapan:
Biadab bermaksud tidak ada budi bahasa, tidak beradab. Biadab juga bermaksud tidak bertamadun atau belum maju. Dari segi variasi, biadap bukan variasai biadab. Dalam bahasa Melayu tiada perkataan biadap.


6. Manakah yang betul? "murtabak" atau "martabak"? Kenapa banyak pengguna bahasa masih menggunakan "MURTABAK"?

Jawapan:
Perkataan yang tepat ialah martabak, iaitu sejenis makanan seperti roti canai tetapi berlapis, dibubuh daging cencang, telur, rempah, bawang, dan sebagainya. Banyak pengguna yang masih menggunakan perkataan “murtabak” tidaklah saya ketahui sebab-sebabnya.


7. JUSTERU ITU banyak digunakan oleh pengguna bahasa pada pangkal ayat, mengapakah kesalahan ini seperti virus bahasa yang sukar dirawat?

Jawaban:
Pengguna bahasa masih menggunakan rangkai kata “Justeru itu” kerana menganggap bentuk itu sebagai betul. Bukan itu sahaja, masih banyak pengguna yang menggunakan perkataan “Justeru” sebagai penanda wacana, sedangkan perkataan itu ialah kata hubung.


8. Apakah perbezaan antara "Oleh yang demikian" , "Oleh hal yang demikian" , "Oleh hal demikian"? Kenapa lain penulis lain penanda wacana? Yang mana BETUL?

Jawapan:
Demikian bermaksud begitu, begini, seperti itu atau seperti ini. Demikianlah halnya bermaksud beginilah halnya atau begitulah halnya. "Oleh hal yang demikian" pula bermaksud oleh hal yang begitu. "Dalam demikian itu" bermaksud ketika itu, dan tak demikian mahal bermaksud tidak begitu mahal;

Berdasarkan trasformasi pengguguran dalam ayat, “Oleh hal yang demikian” akan menjadi “ Oleh yang demikian”. Dengan berdasarkan transformasi ini, ungkapan “Oleh hal demikian” merupakan bentuk yang tidak baku atau tidak standard.


9. Kamus Dewan Edisi Keempat (KDE4) cenderung menggunakan bentuk "jawaban" dan "kewajiban" dalam ayat contohnya berbanding bentuk "jawapan" dan "kewajipan". Apakah komen pihak tuan tentang hal ini.?

Jawapan:
Bentuk standard sesuatu perkataan dengan ejaannya yang diiktiraf sebagai betul dan rasmi ialah sebagaimana yang terdapat pada perkataan yang ditakrifkan. Perkataan yang diturunkan di akhir takrif bentuk standard ini, atau sebagai muatan rujuk silang, merupakan variasi kepada bentuk standard dan terdiri daripada variasi kata, dan dalam hal-hal tertentu sahaja variasi ejaan. Variasi kata diperturunkan, terutamanya untuk kepentingan kajian bahasa. Di samping itu, ada juga kemungkinannya seseorang pengguna bahasa Melayu yang menemukan sesuatu variasi kata dan tidak dapat mengenal pasti atau mengesani bentuk standardnya akan mendapat manfaat daripada rujuk silang yang diberikan dalam kamus ini. Oleh itu, bentuk standardnya ialah jawaban dan kewajiban. Variasi kata pula ialah jawapan dan kewajipan.
Sekian, terima kasih.

Sumber: Munsyi Dewan, Cikgu Ghalib, http://agy7500.blogspot.com/