Antara kebaikan menabung ialah
kita dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Oleh sebab itu, kita perlu
merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa bekalan
air dan makanan ke sekolah. Justeru, baki duit yang diberi ibubapa dapat
disimpan ke dalam tabung.
Apabila kita menabung, kita
mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini boleh digunakan untuk
menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke
universiti. Selain itu, wang simpanan juga membantu kita membeli
barang-barang keperluan diri kita sendiri. Ibu bapa pasti akan berasa
bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat cermat dan berdikari itu.
Menabung juga dapat
membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit wang itu
juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, wang ini
juga boleh digunakan jika ahli keluarga kita sakit atau ditimpa
kemalangan. Justeru kita tidak perlu meminta-minta kepada orang lain.
Menabung juga boleh
menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di dalam bank,
kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini
boleh digunakan untuk menampung kehidupan masa hadapan. Justeru kita
dapat hidup dengan selesa dan tidak menyusahkan orang lain.
Sesungguhnya menabung adalah
amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata pepatah, 'ingat sebelum
kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah menabung dari
sekarang kerana 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
0 comments:
Post a Comment