Ketagihan Internet dan Kesihatan Mental

Khairul Azhar Bin Idris
 Fellow
13/07/2012 | Berita Harian
Pada hari ini, internet telah mewujudkan satu bentuk kehidupan baru kepada manusia. Ia merupakan satu bentuk kehidupan yang tersendiri dan amat unik serta berbeza dari kehidupan secara fizikal yang berlaku dalam alam realiti ini. Ia adalah satu bentuk kehidupan yang baru dan dikenali sebagai kehidupan dunia siber atau kehidupan alam maya, tetapi bukan kehidupan di alam fantasi, kerana ia juga bersumber dari kehidupan di alam realiti. Dunia internet telah banyak mengubah cara manusia hidup dan berfikir serta berinteraksi dan berhubung. Ia lebih memudahkan kehidupan dalam banyak perkara meliputi urusan perbankan dan jual beli, perhubungan dan komunikasi, pengajian dan pembelajaran, keselamatan, hiburan dan lain-lain.

Namun perlu diterima hakikat bahawa dunia internet juga memiliki kemudharatan yang tersendiri. Wujud pelbagai perkara negatif akibat dari penggunaan internet ini yang meliputi pelbagai gejala seperti penipuan, penyamaran, penggodaman dan serangan virus dan sebagainya. Wujud juga aktiviti pembulian dalam dunia siber. Malah ada yang lebih teruk lagi apabila penggunaan internet itu menyebabkan gejala ketagihan. Apakah sebenarnya ketagihan internet? Ketagihan internet boleh berlaku kepada seseorang apabila ia telah mengalami hilang upaya untuk mengawal tingkahlaku penggunaan internet dalam kehidupan hariannya. Akibat dari ketidakupayaan itu, ia akhirnya mengalami kesukaran dan kepayahan untuk menjalani hidup. Gangguan yang berlaku amat menjejaskan kestabilan fungsi emosi dan mental, perhubungan sosial dan pergaulan serta tanggungjawabnya terhadap organisasi dan institusi dalam hidupnya.

Ketagihan merupakan topik yang paling asas dan penting dalam bidang sains kesihatan mental dan ia merupakan keadaan yang mendatangkan kepayahan dan amat menjejaskan fungsi dan kehidupan individu serta memerlukan rawatan yang khusus. Ia menjejaskan kehidupan yang harmoni bagi individu dan keluarga mereka, organisasi, masyarakat dan negara. Ketagihan telah dikategorikan kepada dua iaitu sebagai ketagihan terhadap bahan dan juga ketagihan terhadap bukan bahan yang juga dikenali sebagai ‘ketagihan amalan' atau behavioral addiction.

Ketagihan terhadap bahan lebih ketara dan lebih dikenali dalam masyarakat dan ia meliputi ketagihan terhadap bahan terlarang seperti dadah, arak dan juga rokok. Ia mendatangkan kesan keseronokan yang diperolehi setelah diambil melalui proses penghadaman. Manakala ketagihan amalan pula amat jarang dikenali masyarakat, namun ia tetap wujud dan semakin berleluasa dalam masyarakat. Kesan keseronokan dan ketagihan yang diperolehi bukan melalui proses penghadaman, tetapi dengan cara yang lain seperti menerusi penglihatan atau penghiduan. Oleh itu, tidak hairanlah kerana terdapat sesetengah individu yang mendapat keseronokan yang mengakibatkannya menjadi ketagih untuk menghidu gam, menghidu bau pakaian, ketagih kepada bau buku dan benda-benda pelik lain serta sebagainya.

Amat perlu juga untuk difahami adakah ketagihan internet itu berbeza dari jenis-jenis ketagihan yang lain seperti ketagihan terhadap bahan-bahan terlarang seperti dadah, arak dan alkohol? Amat menarik juga untuk mengetahui mengapa internet itu boleh menyebabkan ketagihan kepada sesetengah orang dan tidak kepada semua orang walaupun mereka turut sama-sama menggunakan internet? Adakah perbezaan ini disebabkan oleh faktor genetik dan personaliti, atau persekitaran, didikan dan asuhan keluarga atau pun pengaruh dan tekanan dari rakan sebaya dan masyarakat?

Mengapa ketagihan ini muncul selepas wujudnya era internet, dan adakah ia tidak akan berlaku jika tiada internet seperti apa yang kita lihat sekarang? Atau adakah benar wujud ketagihan terhadap internet sebagai satu jenis penyakit ketagihan, atau sekadar omokan semata-mata? Banyak kajian yang telah dilakukan dalam bidang ini bagi menjawab semua persoalan tersebut. Pertamanya ialah ketagihan terhadap bukan bahan atau non-substance addiction yang juga dikenali sebagai behavioral addiction ini sebenarnya memiliki ciri-ciri dan simptom yang sama seperti yang berlaku pada ketagihan akibat dari penyalahgunaan bahan (substance use disorder).

Dalam kes ketagihan internet umpamanya, ia akan turut mendatangkan kesan tolerance seperti yang dialami akibat dari penyalahgunaan bahan, iaitu di mana seseorang itu berasa perlu untuk kekal secara dalam talian bagi tempoh waktu yang tertentu bagi memenuhi keseronokan hanya untuk berada dalam talian dan bagi mengelakkan rasa kekosongan dan kebosanan jika mereka tidak berada dalam talian bagi tempoh tersebut. Mereka juga turut mengalami desakan jiwa, mental dan emosi untuk mengekalkan keseronokan dalam berinternet. Untuk mengekalkan keseronokan berinternet, mereka akhirnya menjadi terdesak untuk memanjangkan tempoh waktu dalam talian, yang akhirnya menambah kesukaran bagi mereka untuk berpaling dari internet dan faktor keseronokannya. Di samping itu, mereka juga akan mengalami sindrom waithdrawal iaitu akan berasa tidak selesa, cemas, bimbang dan juga kemurungan jika tidak dapat berdampingan dengan internet untuk sesuatu tempoh. Selain dari itu, keadaan ini amat sukar untuk mereka kawal, dan akhirnya mendatangkan kesukaran dalam kehidupan mereka akibat dari penggunaan dan kebergantungan secara berlebih-lebihan terhadap internet.
 
Kajian juga menunjukkan bahawa individu yang mengalami ketagihan internet terdiri daripada pelbagai latarbelakang usia, baik golongan remaja, mahupun yang telah berusia. Namun hakikatnya, golongan remaja masih mendominasi masalah ketagihan ini. Manakala majoriti penduduk dari negara-nagara asia merupakan penagih internet yang tegar, berbanding para penduduk di negara Eropah dan Amerika, dengan negara China dan Taiwan merupakan negara yang paling tegar. Muncul pelbagai andaian mengapa situasi ini berlaku begitu ketara di negara sebelah Asia.

 Antaranya ialah kejutan budaya yang berlaku akibat dari kesan teknologi internet, dan ramai daripada mereka yang terdedah kepada kemudahan internet adalah golongan muda-mudi yang masih membesar dan belum mempunyai pemikiran yang matang dalam kehidupan. Sebab lain pula seperti perhubungan dan ikatan kekeluargaan yang amat longgar sesama ahli keluarga, memiliki kemahiran perhubungan sosial yang lemah, pengaruh negatif dan tekanan oleh rakan sebaya yang mempunyai kecenderungan internet yang sama, dan sebagainya. Terdapat juga satu lagi kajian dalam Jurnal Asia-Pasific Psychiatry keluaran April 2012, yang menunjukkan bahawa faktor personaliti telah mendedahkan seseorang itu untuk berisiko tinggi menjadi ketagih apabila berhadapan dengan internet. Faktor personaliti itu ialah neurotisisma, psikotisisma dan penggunaan melampau mekanisma bela diri yang tidak matang. Bukan internet yang sebenarnya menyebabkan ketagihan, tetapi terdapat ciri-ciri yang menjurus kepada gangguan mental yang mendorong seseorang itu untuk terpengaruh dan akhirnya menjadi ketagih kepada internet.

0 comments: