Showing posts with label KARANGAN FAKTA. Show all posts
Showing posts with label KARANGAN FAKTA. Show all posts

Kepentingan Hutan



Hutan merupakan anugerah daripada Tuhan. Anugerah ini memang tidak ternilai kepada kita. Oleh sebab itu, alam ini wajar dipelihara sebelum terlambat kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

 Hutan sangat penting kepada kehidupan kita. Antaranya, hutan dapat dijadikan kawasan tadahan air hujan. Kita semua menggunakan air dalam pelbagai aspek kehidupan harian seperti mencuci, memasak dan lain-lain. Oleh sebab itu, hutan menjadi nadi kehidupan kepada penduduk bumi.

Selain itu, Hutan berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai flora dan fauna.Hutan dapat menyelamatkan flora dan fauna kerana kepupusan flora dan fauna berkait rapat dengan hutan. Ini secara tidak langsung mengekalkan kesimbangan ekosistem.

Sementara itu, hutan juga memainkan peranan sebagai pengawal pemanasan global. Pemanasan global berlaku kerana pencemaran dan sikap manusia yang tidak cinta akan alam sekitar. Oleh hal yang demikian, tahap kepanasan di muka bumi ini dapat dikurangkan agar kita tidak berpanas.

Hutan merupakan sumber rezeki, terutamanya Orang Asli. Oleh itu, hasil hutan seperti herba, rotan, kayu balak dan ubat-ubatan dapat terus dicari dengan kewujudan hutan. Amalan perubatan tradisional juga dapat diperkembangkan jika hutan dijaga dengan baik.

 Kesimpulannya, hutan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap penduduk bumi. Hutan dapat memberi ketenangan jiwa kepada kita dengan hutan yang malar hijau. Oleh itu, kawasan hutan mestilah diperluas dan dipulihara demi masa depan semua.

Langkah-Langkah Menjadi Murid Cemerlang



Semua murid mempunyai impian menjadi pelajar cemerlang.Tuliskan langkah-langkah yang kamu ambil untuk mencapai impian kamu itu. Setiap murid ingin cemerlang dalam pelajaran.Banyak langkah yang boleh diambil untuk menjadi murid cemerlang.

Langkah pertama ialah setiap murid perlu sedar akan kelemahan diri mereka.Mereka harus tahu subjek yang tidak dapat dikuasai. Oleh itu, murid akan belajar secara sistematik bagi mengatasi kelemahan tersebut. Selain itu, murid harus memiliki jadual belajar sendiri.Murid akan tahu masa yang sesuai untuk belajar , berbual-bual dengan rakan dan bersukan.Oleh itu mereka tidak akan membuang masa dengan sia-sia.

Di samping itu, setiap  murid mesti memiliki satu teknik ulang kaji yang berkesan.Murid perlu banyak membuat latihan. Latihan yang sistematik menjadikan murid lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan kelak.  

Seterusnya, semua murid mesti menjaga kesihatan diri. Mereka mesti makan makanan  yang seimbang dan bijak mengawal emosi.Dengan itu murid akan lebih yakin dan tenang menjawab soalan peperiksaan.

                Sekiranya murid mengikuti langkah-langkah tersebut, sudah tentu mereka akan berjaya dengan cemerlang.Ingatlah kejayaan tidak akan datang tanpa usaha.

Cara-cara Mengelakkan Kepupusan Haiwan Liar

Kepupusan spesies haiwan semakin membimbangkan. Oleh itu, haiwan liar wajarlah dilindungi untuk mengelakkan nasib yang sama seperti dinosaur berulang.

Antara langkah untuk mengelakkan perkara ini adalah dengan mengekalkan atau menambahkan lagi hutan simpan sedia ada. Haiwan-haiwan ini perlu berada dihabitatnya bagi pembiakan yang berterusan .

Di samping itu, undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan menghukum sesiapa sahaja yang memelihara, menangkap atau membunuh haiwan-haiwan ini tanpa kebenaran pihak kerajaan.

Selain itu, aktiviti pemburuan mestilah diluar kawasan rizab sahaja. Penguatkuasaan ini dapat mengelakkan aktiviti pemburuan yang tidak terkawal.

Seterusnya usaha pembiakan spesies terancam perlulah dipergiatkan. Haiwan yang berjaya dibiakkan juga perlu dibebaskan ke habitat asal dengan dipantau dari semasa ke semasa.

Penubuhan pusat kajian haiwan-haiwan liar juga perlu diwujudkan bagi membekalkan maklumat secukupnya untuk penyelidikan dan pendidikan pada masa akan datang. Ini akan membolehkan usaha-usaha perlindungan haiwan ini lebih berkesan.

Akhir sekali, hidupan liar yang menceroboh kawasan kebun umpamanya perlulah dipindahkan segera ke zoo atau sebagainya. Ini kerana apabila keadaan ini terjadi, haiwan berkenaan akan ditangkap atau dibunuh.

Kesimpulannya, hidupan liar yang kian terancam perlulah dilindungi sebaik mungkin bagi memastikan generasi akan datang terus dapat menikmati keindahan alam yang tidak ternilai ini.

Cara-cara Memperoleh Kejayaan Cemerlang Dalam Pelajaran

Setiap pelajar mempunyai impian untuk berjaya dalam pelajaran. Bagaimanapun, ramai pelajar gagal menggunakan cara-cara yang sesuai untuk mencapai hasrat tersebut.

Antara cara untuk memperoleh kecemerlangan dalam pelajaran ialah membuat jadual aktiviti harian. Jadual ini akan memudahkan pelajar menguruskan aktiviti harian dan membolehkan mereka memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin.

Selain itu, para pelajar perlulah rajin mengulang kaji pelajaran bagi memastikan mereka terus mengingati dan memahami topik pelajaran yang telah dipelajari. Mereka juga harus rajin membaca kerana membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan pembendaharaan kata.

Di samping itu, pelajar juga mestilah menghadiri aktiviti-aktiviti kecemerlangan yang diadakan oleh pihak sekolah seperti kelas tambahan, kelas motivasi dan sebagainya. Aktitivi seperti ini akan memantapkan pemahaman dan kemahiran para pelajar dalam pelajaran.

Seterusnya pelajar juga hendaklah menumpukan perhatian kepada pengajaran guru di kelas bagi mengelakkan ketinggalan dalam pelajaran. Jika kurang faham akan sesuatu topik, pelajar harus segera bertanyakan guru supaya masalah tersebut dapat diselesaikan segera.

Kesimpulannya, setiap pelajar inginkan kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Oleh itu, pelajar haruslah bijak  memilih cara-cara yang sesuai, selain berusaha dengan tekun dan gigih demi mencapai impian tersebut.

Kebaikan Menyimpan Wang di Bank

Kita amat digalakkan untuk menyimpan wang di bank kerana banyak kebaikannya. Bagi membolehkan kita menyimpan wang di bank, kita perlulah membuka akaun bank di mana-mana bank seperti Bank Simpanan Nasional, MayBank, Tabung Haji dan lain-lain bagi.

Antara kebaikan menyimpan wang di bank ialah simpanan kita dijamin selamat. Kita tidak perlu risau tentang keselamatan wang simpanan kita daripada kecurian dan kehilangan kerana semua itu akan ditanggung oleh pihak bank. Begitu juga jika sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran dan banjir, wang kita dijamin selamat di bawah tanggungjawab pihak bank.

Menyimpan wang di bank juga boleh menjamin masa depan kita. Contohnya, kita boleh membiayai perbelanjaan untuk melanjutkan pelajaran di universiti daripada wang simpanan tersebut. Oleh itu, kita mestilah menyimpan wang secara tetap supaya boleh digunakan pada masa yang memerlukan.

Selain itu, kita dapat berjimat-cermat apabila menyimpan wang di bank. Kita tidak akan boros berbelanja kerana sebahagian wang akan disimpan di bank. Ini akan melatih kita menjadi seorang yang pandai menguruskan wang perbelanjaan. Amalan perbelanjaan yang baik akan mengelakkan seseorang itu terjebak dalam masalah hutang dan sebagainya.

Kesimpulannya, amalan menyimpan wang di bank haruskan kita amalkan kerana cara ini amat banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap untuk menyimpan wang di bank demi kehidupan yang lebih terjamin.

Tolong-menolong Amalan Mulia

Kita hidup dalam negara pelbagai bangsa,budaya,kepercayaan dan adat resam. Bila kita ke pasar, bank, sekolah, pejabat pos, kedai makan, atau ke mana-mana sahaja, ada pelbagai kaum di sekeliling kita. Adalah dituntut setiap dari kita walau apa bangsa sekali pun tolong menolong,bantu membantu sebagai titik hubungan dalam memperkukuhkan lagi negara Malaysia ke arah keamanan dan kesejahteraan setiap rakyat yang menghuni bumi bertuah ini. Sama-sama kita mengamalkannya.

Tolong menolong adalah perlu terutama bagi mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit seseorang. Kita semua adalah manusia dan rata-rata semua agama yang dianuti menekankan aspek tolong menolong bagi mereka yang memerlukan. Kita tinggal dalam satu negara dan persepaduan adalah penting.

Kita perlu amalkan sikap tolong menolong tanpa mengira bangsa untuk mengeratkan lagi pertalian perhubungan sesama manusia dan yang paling penting kita harus ingat setiap yang menolong pasti mendapat kebaikan yang kita sendiri tidak mengetahuinya. Adakalanya kita menolong semasa orang dalam kesusahan dan suatu hari bila kita susah orang yang pernah tolong itu mungin akan menolong kita semula.

Sikap tolong menolong harus ada pada setiap orang kerana itu boleh merapatkan lagi hubungan antara satu sama lain.


# karangan yang ditulis dan dihantar oleh seorang pelajar. Sila komen untuk cadangan yang lebih bernas bagi tajuk ini..

Komputer dan Peranannya



     Komputer sudah menjadi sinonim dengan kehidupan moden zaman ini. Hampir  semua   pejabat   malah   individu   memiliki    sebuah   komputer   untuk  menjalani   kehidupan   hariannya. Jadi,  apakah   peranan-peranan  komputer   yang   sebenarnya

     Komputer juga boleh digunakan untuk meningkatkan prestasi pendidikan pelajar disekolah. Kalau kita lihat sudah ada banyak halaman web yang menjadikan subjek pelajaran sekolah sebagai bahan kandungannya bersama-sama penggunaan komputer yang semakin meluas dalam kalangan guru ketika mengajar pelajar. Olehitu, komputer berperanan untuk mendidik pelajar dengan kaedah yang lebih mudah dan menarik


     Malah, komputer juga boleh merapatkan atau memudakan hubungan antara manusia terutama hubungan jarak jauh. Ibu bapa yang tinggal berjauhan dengan anak mereka kerana anak melanjutkan pelajaran di luar negara boleh menggunakan program tertentu di komputer untuk berkomunikasi lalu menjalin hubungan rapat dengan anak mereka.



     Jadi, komputer memastikan hubungan antara sesama manusia itu terus berlaku walaupun faktor geografi memisahkan mereka.Tambahan pula, komputer memudahkan seseorang untuk mendapatkan apa-apa maklumat terkini dengan cara yang pantas serta mudah. Semua maklumat sudahsiap wujud di dalam rangkaian internet yang boleh diakses menerusi komputer dimana-mana tempat pun di dunia ini. Jelaslah, komputer membolehkan seseorang itu memperoleh maklumat yang betul lalu tidak melakukan kesilapan dalam keputusannya.



    Konklusinya, komputer menjadikan kehidupan manusia lebih selesa dan mampu mencapai satu tahap yang memuaskan. Semua pihak hendaklah bekerjasama untuk memastikan penggunaan komputer ini dialami oleh semua lapisan masyarakat.Rakyat negara ini harus celik komputer jika mahu bersaing dengan masyarakat luar.

Faedah MenontonTelevisyen

Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Faedah Menonton Televisyen”.

Televisyen merupakan salah satu media elektronik yang begitu meluas penggunaannya dalam kalangan masyarakat kita kini. Hampir setiap rumah pasti memiliki satu atau mungkin dua televisyen. Jadi, keadaan ini membuktikan bahawa ada banyak faedah menonton televisyen kepada masyarakat.Faedah yang pertama ialah seseorang itu dapat mengetahui peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di seluruh dunia dengan mudah dan cepat. Kita boleh menonton siaran berita yang memaparkan kejadian-kejadian penting yang berlaku di luar negara.

 Jelaslah, televisyen menjadikan seseorang itu lebih mengetahui peristiwa semasa yang sedang berlaku di dalam dan di luar negara.Selain itu, televisyen juga boleh dijadikan sebagai alat pendidikan yang berguna.Sudah ada banyak program berunsur pendidikan yang disiarkan menerusi televisyen bersama-sama program dokumentari dan sains yang boleh member informasi kepada pelajar tentang sesuatu ilmu pengetahuan itu. Maka, pelajarboleh mempelajari tentang pelajarannya menerusi program televisyen juga
.
Malah, menonton televisyen menjadikan masa lapang seseorang itu dihabiskan dengan begitu berfaedah. Seseorang itu tidak akan terbabit dalam gejala tidak sihat kerana mereka tidak perlu keluar dari rumah untuk menonton televisyen. Oleh itu,tindakan menonton televisyen memastikan seseorang itu menghabiskan masanya dengan bermanfaat.Kesimpulannya, menonton televisyen merupakan satu tindakan yang berfaedah kepada manusia itu. Kebanyakan siaran televisyen berupaya untuk menjana pemikiran seseorang menjadi lebih kritis dan kreatif.

Cuma kita perlu mengawalnya agar sikap menonton ini tidak keterlaluan atau terlalu lama untuk satu tempoh tertentu pula.

Kegunaan Air Kepada Manusia

     Air sangat penting kepada manusia. Air juga diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Air boleh didapati dari pelbagai sumber seperti sungai, laut, telaga, mata air dan sebagainya.

     Manusia menggunakan air untuk memasak, membasuh pakaian, mandi dan sebagainya. Air yang bersih bebas daripada kuman. Jadi, pastikan kita minum air yang telah dimasak supaya terhindar daripada penyakit

   Air juga diperlukan untuk pertanian. Pokok padi memerlukan air yang banyak untuk hidup. Para petani menggunakan air yang bersih untuk menyiram tanaman mereka. Haiwan ternakan juga memerlukan air untuk diminum. Tanpa air, manusia, tanaman dan haiwan ternakan akan mati. 

   Air juga digunakan untuk menggerakkan mesin dan jentera. Kebanyakan kilang menggunakan kuasa hidroelektrik yang dihasilkan melalui air. Jika berlaku kebakaran, air sangat diperlukan untuk memadamkan kebakaran tersebut. 

   Jadi, jelaslah bahawa air sangat penting kepada kita. Tanpa air, kehidupan manusia tidak sempurna,

Fakta : Cara Menggunakan Masa Dengan Berfaedah

Pelbagai istilah tentang masa yang kita dengar atau lihat. Antaranya ialah "Masa itu Emas", "Masa ialah Kehidupan" dan sebagainya. Ini menunjukkan masa sangat penting dalam kehidupan kita kerana masa yang berlalu tidak dapat diganti. Oleh itu, kita harus bijak mengurus masa supaya tidak membazir begitu sahaja.

          Masa dapat digunakan dengan berfaedah apabila kita memenuhinya dengan melakukan hobi yang bermanfaat. Contohnya, bersukan, melancong, berekreasi, mengumpul setem dan sebagainya. Jika kita gunakan masa dengan hobi yang bermanfaat akan dapat memberikan kepuasan kepada kita.
         Selain itu, kita dapat gunakan masa yang terluang dengan menziarahi sanak saudara, datuk dan nenek serta teman-teman. Selain dapat bersiar-siar, kita akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.

         Aktiviti yang paling bermanfaat untuk mengisi masa lapang ialah membaca. Pelbagai bahan bacaan dapat dibaca seperti buku rujukan, surat khabar, novel, majalah, jurnal dan sebagainya. Kita dapat mencedok ilmu dan maklumat sebanyak mungkin daripada bahan bacaan ini.

        Di samping itu, kita dapat menggunakan masa yang terluang dengan membantu ibu bapa membuat kerja-kerja rumah. Kita perlu faham situasi ibu bapa kita yang seharian penat bekerja. Oleh itu, jika kita membantu mereka mengemas rumah, menyapu sampah dan sebagainya, kita secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka. Kita juga akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

       Kesimpulannya, kita sebagai manusia sewajarnya mendisiplinkan diri supaya tidak membuang masa begitu sahaja kerana masa sangat berharga. Oleh itu, uruslah masa dengan bijak.