Showing posts with label AUTOBIOGRAFI/BIOGRAFI. Show all posts
Showing posts with label AUTOBIOGRAFI/BIOGRAFI. Show all posts

BIOGRAFI : Tun Dr Mahathir

Biodata Tun Dr Mahathir

     Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Beliau merupakan anak bongsu dari sembilan orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.

Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII  College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.

       Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.

       Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.

     Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn  atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun.

Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.

      Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja.

Karangan Jenis Biografi : Penoreh Getah

Karangan jenis ini mengisahkan perihal riwayat hidup orang lain dari mula hingga ke akhir antaranya :
· tokoh-tokoh sejarah
· pemimpin tanahair
· tokoh sukan
· dan lain-lain
Dalam menulis karangan jenis ini, aspek latar belakang, riwayat hidup, pendidikan, sumbangan, kejayaan
dan jasa-jasa seseorang itu diambilkira sebagai isi karangan.
Anda harus tahu benar tentang watak yang hendak ditulis itu dari awal hingga ke akhir.
Kamu tidak digalakkan menulis perkara-perkara yang sensitif sehingga boleh menimbulkan keaiban atau
menjatuhkan maruah orang yang ditulis.

Soalan
Pada cuti semester yang lalu anda telah tinggal bersama-sama pakcik anda. Pakcik anda itu penoreh getah.
Ceritakan kehidupan seharian pekacik anda itu dalam bentuk karangan.

Pakcik saya penoreh getah. Rumahnya tidak jauh dari sebuah kebun getah. Kebun getah itu kepunyaan dirinya sendiri. Setiap hari, pagi-pagi lagi dia sudah keluar dari rumahnya untuk pergi menoreh. Dia menunggang sebuah basikal.

Pakcik saya memakai topi yang berlampu suluh di kepalanya. Tujuannya supaya kerja -kerja menoreh getah dapat dilakukan walaupun keadaan masih gelap. Dia menoreh getah dari sebatang pokok ke sebatang pokok getah yang lain sehinggalah kerja-kerja menoreh itu selesai dijalankan.

Sejam kemudian, pakcik saya akan mengumpul susu getah yang telah bertakung di dalam sebuah mangkuk setiap pokok getah yang ditorehnya tadi. Susu getah dikumpul ke dalam sebuah baldi kecil. Apabila baldi kecil itu penuh, dia akan memindahkan susu getah itu ke dalam sebuah takungan besar.

Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari, pekerjaan itu pun selesai. Pakcik saya akan menghantar susu getah yang telah terkumpul itu ke pusat penjualan.

Aku Sehelai Baju

Aku dilahirkan di sebuah butik terkenal di ibu kota. Selepas dilahirkan, aku dipakaikan pada sebuah patung dan diletakkan di dalam cermin. Tanda harga yang terlekat di badanku menunjukkan RM 350.

Setelah lima hari berada di situ, aku telah dibeli oleh seorang gadia bernama Linda. Linda memakaiku pada majlis hari jadinya. Sebaik sahaja kawan-kawan Linda melihat diriku mereka semua memuji kecantikan yang aku miliki.

Selang beberapa bulan, Linda ingin memakaiku sekali lagi. Apabila melihat badanku berkedut, dia mengambil seterika lalu menggosokku.

Ketika badanku diseterika, telefon berdering. Linda berlari meninggalkan aku sehingga terlupa untuk menutup suis seterika. Badanku mula terasa panas. Aku cuba menahan keperitan, tetapi akhirnya aku hanya mampu menangis kerana terlampau sakit. Lama-kelamaan sebahagian badanku terbakar.

Apabila terhidu bau benda terbakar, Linda tergesa-gesa mendapatkanku. Tetapi sudah terlambat kerana aku tidak boleh diselamatkan lagi. Kini aku hanya menjadi penghuni setia almari usang.

Aku Sebuah Basikal

Aku berasal dari ‘Negara Matahari Terbit’. Aku dibuat di sebuah kilang besi waja yang tidak besar. Badanku terdiri daripada besi waja, getah asli, kaca dan plastik.

Apabila badanku telah siap dibuat, aku disebut basikal. Aku dan kawan-kawanku yang lain dipamerkan di sebuah bilik pameran. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai orang memuji kecantikanku.

Tidak lama kemudian aku dan kawan-kawanku menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan dua orang kelasi kapal itu, aku mendapati ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memilikiku. Aku semakin bangga.

Nasib kami sungguh malang . Kapal kami karam. Aku dan kawan-kawanku lemas. Setahun kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku ke kedai yang membeli besi buruk. Aku dijual di situ.

Aku berasa sungguh kesal kerana aku telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia

Aku sebuah Tong Sampah

Aku sebuah tong sampah . Aku dibuat di sebuah kilang barangan plastik di Shah Alam. Badanku diperbuat daripada plastik. Setelah siap , aku dan rakan-rakanku dibawa ke sebuah taman permainan dan diletakkan di situ.


Di badanku tertulis namaku dengan warna yang garang supaya dapat menarik perhatian orang ramai. Selain itu, tertulis juga kata-kata ‘‘Kebersihan Amalan Mulia”. Aku bangga dengan tugasku ini.

Kini aku bersedia untuk menjalankan tugas. Manusia mula mencampakkan sampah sarap ke dalam perutku. Ada yang memasukkan sampah-sarap betul-betul ke dalam perutku. Sebaliknya , ada juga yang hanya melemparkan sampah ke arah diriku. 

Setiap pagi , pekerja majlis perbendaran akan mengaut sampah dari perutku. Kadang-kadang mereka memandikanku supaya kelihatan ceria.Tetapi biasanya keceriaanku tidak berpanjangan kerana sikapa segelintir manusia yang pengotor .

Aku sungguh sedih dengan nasib diriku ini. Manusia seolah-olah tidak menghargai jasa-jasaku terhadap mereka. Mereka memandang jijik akan diriku. Mereka tidak sedar , jika tanpa diriku, persekitaran mereka akan tercemar dan berbau busuk.

Pada suatu hari, datang seorang pemuda yang berpakaian compang-camping. Tiba-tiba sahaja pemuda tersebut membakar sampah yang terdapat di dalam perutku. Dalam masa beberapa minit sahaja seluruh tubuhku musnah dibaham oleh api . Begitulah nasib diriku.

Biografi : Sahabat Karib Saya

Tulis biografi sahabat karib anda. Tuliskan karangan biografi tersebut selengkapnya

Setiap orang mempunyai sahabat. Tanpa sahabat atau kawan, hidup kita ibarat ‘kera sumbang’. Sahabat biasanya menjadi rakan belajar, bermain, dan bertukar-tukar fikiran.
 
Saya mempunyai seorang sahabat yang saya anggap cukup istimewa. Sahabat saya bernama Masdor. Saya memanggilnya Dor sahaja. Dor dilahirkan pada 12 Julai 1990. Dia ialah anak sulung Encik Masdar Ali, seorang jurutera dan Puan Marhamah Malim, seorang guru.

Saya mengenali Dor sejak kecil lagi kerana kami berjiran. Selain itu, kami dibesarkan oleh pengasuh yang sama iaitu Mak cik Jamilah, yang juga jiran kami. Persahabatan kami begitu akrab. Saya sering dibawa oleh keluarga Dor balik ke kampungnya. ‘Macam belangkas’ itulah ungkapan yang sesuai mengambarkan betapa akrabnya kami.

Dor bercita-cita menjadi seorang jurutera seperti ayahnya. Dalam pelajaran, kami sentiasa bersaing untuk merebut tempat teratas di sekolah. Kami sentiasa bersaing sejak kami menjejakkan kaki di bangku sekolah. Kami sentiasa mendapat ‘A’ dalam semua matapelajaran.
 
Dalam bidang sukan, Dor dan saya telah mewakili sekolah dalam permainan badminton, catur, dan bola sepak. Selain itu, kami juga mempunyai hobi yang sama iaitu mengumpul topi dan lencana.

Persahabatan kami yang akrab tidak menghalang untuk saya mengenali lebih ramai kawan, bak kata pepatah, ‘berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali’. Teman setia pula ialah apabila dia sanggup sedih dan ketawa bersama-sama.

Biografi : Guru Besar Saya

Encik Sabtu bin Sujak, Guru Besar sekolah saya. Beliau dilahirkan di Kampung Sungai Kembung, Pulau Indah, Selangor, pada tahun 1950. Encik Sabtu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Indah, kemudian di Sekolah Menengah Ampuan Rahimah.
 
Dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Beliau telah mengikuti kursus itu selama tiga tahun.

Beliau mula mengajar di beberapa buah sekolah di Sarawak dan Selangor. Antara sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Pelabuhan Klang, dan Sekolah Menengah Pulau Indah sebelum dilantik menjadi Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Pulau Indah. Beliau juga pernah berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah Klang, sebelum ditukarkan ke sekolah ini.

Walaupun baru dua tahun Encik Sabtu bertugas di sekolah ini, namun beliau yang mempunyai banyak pengalaman itu telah berjaya meningkatkan prestasi sekolah. Ini terbukti dengan peningkatan keputusan UPSR. Selain itu, kawasan sekolah saya kian cantik dan ceria dengan pelbagai pokok hiasan.

Encik Sabtu juga aktif dalam kegiatan kemasyarakatan. Beliau banyak menyertai pertubuhan-pertubuhan amal dan persatuan guru. Beliau yang tinggal di kampung tempat kelahirannya itu juga dilantik memegang pelbagai jawatan di peringkat kampung dan mukim.

Kami berasa bertuah kerana mempunyai seorang Guru Besar yang penyayang dan sentiasa memahami masalah pelajar-pelajarnya. Saya berdoa semoga Encik Sabtu sentiasa sihat dan kekal di sekolah ini sehingga bersara.