Adik-adik yang saya hormati sekalian, pernahkah adik-adik melihat itik yang sedang berenang di dalam kolam atau tasik? Itik-itik itu semua kelihatan berada di permukaan air dengan tenang dan selesa. Pergerakan mereka sangat lancar dan mereka bergerak ke depan, kiri dan kanan dengan begitu lembut dan indah.
Namun, tahukah kita apa yang berlaku di bawah permukaan air itu? Sedarkah kita yang di bawah permukaan air itu kaki itik sedang bekerja keras mengayuh hampir ke semua arah bagi memastikan itik kekal timbul?
Saya baca kisah itik berenang ini di dalam buku Tuan Fadzli Yusof ‘Kuasa Hijrah, kuasa untuk berubah’. Di dalam buku ini, Tuan Fadzli ada ceritakan tentang satu prinsip yang diamalkan oleh Tuan Nizal Mohammad, pengacara TV terkenal. Menurut Tuan Nizal, walaupun seseorang yang BERJAYA itu kita lihat nampak tenang dan bersahaja, mereka sebenarnya sedang bekerja keras dan bertungkus-lumus dalam usaha mereka mencapai kejayaan.
Kita tidak nampak usaha kerja keras mereka kerana apa yang kita nampak adalah di bahagian permukaan sahaja, sama seperti itik yang sedang berenang. Itik kelihatan sedang bergerak tenang di atas permukaan air tetapi sebenarnya di bawah permukaan air, kakinya bekerja keras mengayuh air agar ia kekal timbul di permukaan.
Mari kita lihat prinsip ini pada pelajar cemerlang. Pernahkah adik-adik semua tertanya-tanya mengapa pelajar cemerlang kelihatan tenang sahaja. Walaupun mereka cemerlang dalam peperiksaan, mereka masih ada masa untuk masuk pelbagai persatuan, bertanding dalam aktiviti sukan dan mewakili sekolah dalam banyak perkara. Adakah mereka tenang kerana semua perkara ini MUDAH sahaja buat mereka?
SUDAH TENTU TIDAK!
Sama seperti prinsip itik berenang tadi, pelajar cemerlang juga bekerja sangat keras untuk mencapai kejayaan. Walaupun mereka nampak tenang, fikiran mereka sentiasa bekerja dan berfikir untuk mencari jalan ke arah kejayaan. Jika pelajar KURANG CEMERLANG rasa belajar itu susah dan memeningkan kepala, pelajar CEMERLANG juga rasakan perkara yang SAMA. Bezanya, pelajar cemerlang teruskan belajar dan bekerja keras kerana mereka tahu, usaha mereka akan membawa mereka ke arah kejayaan. Mereka tidak merungut tentang susah belajar kerana ia adalah sebahagian daripada proses mencapai kecemerlangan. Bayangkan bagaimana kalau itik merungut setiap hari, “Ishhh…susahlah nak kayuh-kayuh air ni…tenggelam sajalah senang!”
Jadi adik-adik semua, ada satu perkara penting perlu kita ingat hari ini.
Jika kita rasa belajar itu
susah, jika kita rasa kepala kita pening dan jika kita rasa hampir
putus-asa untuk belajar, jangan bimbang, pelajar cemerlang juga rasakan
perkara yang sama. Susah, pening dan rasa mahu putus-asa itu adalah
normal, bukan bermaksud kita lemah. Apa yang akan membezakan kita dengan
pelajar lain ialah walaupun kita rasa pening, susah dan mahu putus-asa,
kita teruskan juga berusaha untuk belajar.
Saya ucapkan Selamat Berjaya buat adik-adik semua dan Selamat Berenang!!
0 comments:
Post a Comment