Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sekolah 2012

Program Kibar Jalur Gemilang peringkat sekolah dilancarkan pada  pada 17 Julai 2012. Program Kibar Jalur Gemilang ini diteruskan bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan yang bertemakan "55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati" pada tahun ini. Melalui program ini, segenap lapisan rakyat diseru untuk mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh pelosok negara. Ini termasuklah di desa, bandar, taman perumahan, premis perniagaan, bangunan pejabat serta kenderaan di jalan raya. Besarlah harapan saya agar setiap rakyat dapat menjiwai semangat merdeka ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang secara sukarela tanpa mengharapkan bendera percuma yang diberikan oleh kerajaan semata-mata. Seharusnya kita tidak boleh berkira untuk mengeluarkan sedikit belanja untuk menghiasi kediaman atau pejabat kita dengan Jalur Gemilang sebagai menunjukkan rasa cinta kita kepada negara sepanjang sambutan bulan kemerdekaan ini.

Bendera adalah lambang keperibadian bangsa dan kebanggaan rakyat bagi sesebuah negara. Ia juga adalah lambang perpaduan bangsa. Setiap warna yang terdapat dalam Jalur Gemilang membawa makna tersendiri yang melambangkan kesejahteraan, keberanian, kesucian, kemurnian dan kemegahan bangsa. Bulan dan bintang berwarna kuning yang menghiasi Jalur Gemilang membawa makna Islam sebagai agama rasmi dan Yang Di-Pertuan Agong sebagai lambang kedaulatan negara. Kibaran Jalur Gemilang adalah perlambangan kepada pembangunan bangsa 1Malaysia yang kuat, bersatu-padu, harmoni dan cintakan negara.














0 comments: