CERITA SAINS - Kerana Lipas

“Mengapa awak  tidak membawa lipas bagi kelas sains pagi ini?” soal Cikgu Irfan kepada kelas tingkatan Satu C.

          Cikgu Irfan adalah guru sains panduan sesi petang. Dia sentiasa digeruni oleh warga kelas tingkatan Satu C kerana renungannya yang tajam dan tegas mengenai soal disiplin pelajar.
           “Bukan saya sudah maklumkan  seminggu yang lalu supaya murid-murid membawa dua ekor lipas bagi kelas anatomi serangga?” soal Cikgu Irfan lagi. Suaranya penuh dengan nada kecewa. Terasa juga hendak marah dengan sikap pelajar kelas itu kerana tiada seorang pun membawa lipas hari itu.

          “Kelas anatomi serangga amat penting bagi membezakan antara bahagian toraks, abdomen dan ekor,” kata Cikgu Irfan.
          “Mempelajari  sains dengan cara terbaik tidak memadai dengan kelas teori sahaja tetapi perlu difahami  dengan menjalani amali dalam makmal,” ujar Cikgu Irfan sambil menggenggam rotan di tangannya.

          Pelajar tingkatan Satu C diam, tiada yang berani mengangkat muka. Mereka tahu mereka pasti mendapat denda kerana tidak membawa lipas.
          “Semua sila beratur di luar bilik darjah ini,” Cikgu Irfan mengarah semua pelajar tingkatan Satu C membuat barisan di ruang kaki lima kelas. Cikgu Irfan memulakan soal siasatnya seorang demi seorang.

          “Halim, mengapa tidak membawa lipas seperti disuruh?”
          Halim yang duduk di barisan hadapan sekali menjadi pesalah pertama yang disiasat.
         “Saya lupa,” Halim memberi alasan.
          “Itu bukan alasannya, orang muda mana boleh lupa, saudara belum nyanyuk lagi. Lain kali catat arahan saya dalam buku catatan, tanam dalam minda, lekatkan di hati,” bebel Cikgu Irfan panjang lebar sambil menghayun rotan ke tapak tangan Halim.

          Ajis yang ketakutan sudah sedia dengan alas an, menunggu sahaja bagi disoal siasat. “Saya hendak menangkap lipas dalam laci belajar saya tetapi lipas lari terlalu pantas,” jelas Ajis.
          Cikgu Irfan terus melibas dua pukulan di tapak tangan Ajis. Ajis bukannya tidak mahu menangkap lipas di dalam laci belajar itu tetapi takut dan geli.

          Murid-murid yang lain juga dikenakan dua pukulan di tapak tangan tanpa mendengar alas an daripada setiap murid-murid di barisan seterusnya. Baginya ada alas an ataupun tiada, semua menerima hukuman. Tiada yang terkecuali.

          Ajis tidak pernah lupa kisah kehidupannya semasa menjadi pelajar menengah rendah. Kini Ajis cukup meminati subjek sains dan menjadi guru fiizik di sebuah sekolah di Sabah.

0 comments: