Di dalam sebuah taman bunga, terdapat seekor belalang yang
suka menyanyi dan menari. Ia berasa gembira kerana dapat hidup di dalam taman
yang indah itu. Di dalam taman itu terdapat juga berbagai-bagai jenis bunga
seperti bunga raya, mawar, dahlia, kenanga, melur dan cempaka. Taman bunga itu
berwarna-warni dan harum. Tiap-tiap hari, belalang akan menyanyi dan menari. Ia
akan melompat dari satu pokok ke pokok yang lain. Belalang mempunyai ramai
teman di dalam taman itu. Ada rama-rama, kumbang, lebah dan semut. Mereka dapat
tinggal di taman itu. Mereka sering bermain dan menyanyi bersama-sama.
Pada suatu hari, belalang mencari kesemua rakan-rakannya
untuk bermain tetapi mereka semua sedang sibuk mencari makanan dan berpindah
untuk berlindung sebelum musim hujan tiba. Belalang tidak percaya hujan akan
tujun sebentar lagi. Ia asyik menyanyi dan menari sendirian. Setelah lama
menyanyi, belalang pulang ke rumah dan tidur kerana keletihan. Hujan turun
dengan lebat lalu belalang terbangun. Ia berasa sangat lapar tetapi di rumahnya
tiada makanan.
“ Bila hujan berhenti bolehlah saya mencari makanan,”
katanya dalam hati. Belalang berbaring semula dan tertidur. Apabila dia
terjaga, hujan tetap turun dengan lebat. Belalang berasa menyesal kerana tidak
mengikut nasihat rakannya untuk mencari makanan sebelum musim hujan. Akhirnya
belalang jatuh sakit. Rakan-rakan belalang tidak mengetahui keadaan belalang
yang sakit. Apabila hujan berhenti,lebah teringat akan belalang. Dia keluar
dari sarangnya dan pergi ke rumah belalang. Ia amat terperanjat melihat
belalang yang terlantar di atas katil di rumah.
“Saya akan membawa makanan,” kata lebah kepada belalang
apabila melihat belalang terlalu lemah dan pucat. Lebah mencari semut dan
rakannya yang lain untuk menolong belalang. Akhirnya belalang sembuh dan sihat.
Belalang insaf dan sering mendengar nasihat daripada rakannya.
0 comments:
Post a Comment