Kononnya, ada sebuah istana terletak di tebing
sebatang sungai. Rajanya mempunyai tujuh orang puteri. Baginda amat
sayang kepada Puteri Bongsu.
Di tebing sebelah istana ada sebuah pondok buruk. Penghuninya seorang perempuan setengah umur. Kerjanya bertani.
Perempuan itu sangat inginkan seorang anak. Pada suatu hari, dia minum
air di sebuah tempurung. Selepas itu dia mengandung lalu melahirkan
seekor beruk. Ia dinamakan Beruk Tunggal.
Setelah besar, Beruk
Tunggal menolong ibunya bertani. Tahun itu padi menjadi tetapi diserang
tikus. Beruk Tunggal menangkap semua tikus yang menyerang padinya.
Kemudian dia mencari Raja Tikus. Apabila bertemu, Raja Tikus itu diberi
amaran. Raja Tikus ketakutan kerana ia tahu Beruk Tunggal jelmaan
seorang anak raja kayangan.
“Hamba tidak tahu huma ini kepunyaan tuanku,” kata Raja Tikus.
“Padi aku sudah habis. Apakah tindakan kamu?” Tanya Beruk Tunggal.
“Hamba akan suruh rakyat hamba mengumpulkan butir emas,” kata Raja Tikus.
“Baiklah, aku terima pemberian itu!” kata Beruk Tunggal. Kemudian,
segala tikus itu datang membawa butir emas. Banyaklah emas di pondok
Beruk Tunggal.
Beruk Tunggal meminta emaknya meminang puteri
raja. Emaknya pun pergi ke istana. Raja terkejut mendengar permohonan
perempuan itu. Namun raja menyampaikan juga permohonan itu kepada
ketujuh-tujuh orang puterinya.
“Kahwin dengan beruk?” Tanya
Puteri Sulung. Puteri yang lain turut hairan. Hanya Puteri Bongsu yang
bersopan-santun sahaja yang sanggup menjadi isteri Beruk Tunggal.
Raja dan permaisuri kasihan kepada Puteri Bongsu. Baginda meminta
hantaran sebentuk cincin berlian. Pada fikiran raja, tentulah perempuan
miskin itu tidak berdaya menyediakannya.
Beruk Tunggal memohon
kepada ayahandanya, Raja Kayangan. Pada malam itu, ayahanda Beruk
Tunggal menghantar secupak cincin berlian. Emak Beruk Tunggal pun
mempersembahkan cincin berlian yang secupak itu ke istana.
Dia
meminta baginda memilih sebentuk cincin yang sesuai. Raja tidak dapat
mengelak. Puteri Bongsu pun dikahwinkan dengan Beruk Tunggal.
Selepas itu baginda tidak mahu mereka tinggal di istana. Puteri Bongsu
mengikut Beruk Tunggal tinggal dipondoknya. Pada malam pertama, Puteri
Bongsu menemui sarung beruk. Esoknya, Beruk Tunggal tidak bersarung
lagi. Dia bertukar menjadi seorang pemuda yang kacak.
“Kekanda
sebenarnya putera Raja Kayangan. Bakarlah sarung beruk itu. Taburkan
sedikit debunya di luar pondok. Pintalah sesuka hati adinda,” kata
putera Raja Kayangan.
Puteri Bongsu mengikut suruhan putera
raja itu. Sebentar itu juga pondoknya bertukar menjadi istana, lengkap
dengan taman yang indah.
Pengajaran:
1. Jangan mencuri hak orang lain.
2. Jangan memandang hina kepada orang miskin.
Adaptasi daripada Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia. 2007. Othman
Puteh dan Aripin Said. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment