Syarahan : Pentingnya Menjaga Kebersihan

Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Pentingnya Menjaga Kebersihan.”

Hadirin yang dihormati sekalian,
Kebersihan bermaksud keadaan yang bersih dari segi badan kerana badan yang sihat dapat menjamin kesihatan yang sempurna. Selain daripada kesihatan badan, tempat kediaman juga perlu kita bersihkan kerana ini dapat memberikan ketenangan kepada diri dan anggota keluarga kita.

Sebagai masyarakat yang cintakan negara, kebersihan alam sekitar juga perlu dititikberatkan. Kita tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat. Tabiat ini bukan sahaja mengotorkan kawasan sekeliling tetapi juga menggalakkan pembiakan agen pembawa kuman yang menyebarkan pelbagai penyakit.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Alam sekitar yang bersih dan berkualiti bukan sahaja merujuk kepada kawasan sekeliling yang bebas daripada sampah sarap, tetapi juga udara dan air yang bebas daripada bahan pencemar. Justru, dalam merancang pembangunan, perkara-perkara yang boleh menjejaskan alam sekitar hendaklah difikirkan. Jika tidak nescaya keadaan alam sekitar yang akan tercemar.

Oleh itu, untuk memelihara dan menjamin sebuah masyarakat yang harmoni dan bahagia, kita perlu memastikan alam sekitar tidak dirosakkan akibat pencemaran. Alam sekitar yang bersih dan indah pastinya dapat menarik minat pelancong. Ini secara tidak langsung dapat menaikkan imej negara di mata dunia.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya akhiri syarahan saya ini dengan menekankan bahawa kebersihan perlu ada pada diri setiap individu. Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab semua. Bak kata pepatah , “Negara Bersih, Rakyat Sihat.”

Sekian, terima kasih.

1 comments:

Anonymous said...

mana rangkanya