Pengalaman : Bercuti Ke Pulau Pangkor

Hatiku melonjak-lonjak riang, tidak sabar rasanya menunggu harinya. Begitulah perasaanku apabila diberitahu oleh ayah bahawa kami akan bercuti di sebuah pulau peranginan. Di mana ya? Ayah masih berahsia kepada kami.

Lamunanku tersentak apabila mendengar suara ayah, “Turun!...kita dah sampai ke jeti.” Lumut, perkataan yang tertulis di pintu masuk ke jeti. Sahlah sekarang, bahawa ayah akan membawa kami ke Pulau Pangkor. Aku menjerit. “Yahoo!…” Ayah dan ibu tersenyum melihat gelagat kami tiga beradik.

Selepas setengah jam, kami pun sampai ke calet tempat kami menginap. Ayah menyewa sebuah kereta lalu membawa kami bersiar-siar mengelilingi pulau. Kami dapat melihat pantai yang putih bersih dan laut yang membiru. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pokok-pokok kelapa melambai-lambai, seolah-olah menyambut kedatangan kami.

Pada sebelah malam, ayah membawa kami ke sebuah restoran di tepi laut untuk menikmati makanan laut yang sungguh segar dan enak. Kami makan dengan sepuas-puasnya. Gulai ketam, udang, sotong dan ikan bakar menjadi hidangan yang cukup istimewa sehingga menjilat jari.

Esoknya, pagi-pagi lagi kami sudah melangkah ke gigi air tidak jauh dari calet penginapan kami. Kami bermandi-manda di air yang jernih dan sejuk. Saya dan adik membina istana pasir. Abang pula mengutip kulit-kulit siput. Ayah telah merakamkan segala pergerakan kami dengan kamera digitalnya untuk dijadikan kenangan.

Selepas bercuti di situ selama empat hari, kami pun berkemas untuk pulang. Sebelum bertolak, kami singgah di gerai untuk membeli sedikit cenderahati. Akhirnya, kami pulang dengan membawa seribu kenangan manis yang tidak mudah kami lupakan.

0 comments: