Syarahan : Rakyat Sihat Negara Makmur

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Rakyat Sihat Negara Makmur.’

Hadirin sekalian,

Biarlah saya huraikan apa yang dimaksudkan dengan rakyat yang sihat. Rakyat yang sihat ialah mereka yang sihat fizikal dan mental. Untuk melahirkan rakyat yang sihat, kita memerlukan makanan yang seimbang dan berzat. Selain itu, kita juga memerlukan persekitaran yang tenteram.

Kerajaan kita telah menyediakan pelbagai kemudahan perubatan untuk memastikan rakyat negara ini mendapat rawatan yang terbaik. Dengan hal yang demikian, rakyat akan sentiasa berada dalam keadaan sihat. Rakyat yang sihat akan dapat meningkatkan produktiviti dalam apa juga bidang yang diceburi. Bukankah ini akan memberi pulangan yang besar kepada negara?

Hadirin sekalian,

Rakyat yang mempunyai mental atau emosi yang sihat pula akan berfikiran lebih rasional. Kita tidak mungkin melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh merosakkan diri sendiri, masyarakat, dan negara. Di dalam sebuah negara yang berbilang kaum. Kita tentunya akan berusaha untuk mewujudkan perpaduan antara kaum.

Selain itu, jika sesebuah negara memiliki rakyat yang berkualiti, negara tersebut akan disegani oleh negara-negara lain. Inilah sebenarnya yang sedang berlaku sekarang. Negara kita yang berupaya mengekalkan kemakmuran dan keharmonian, telah menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Hadirin sekalian,

Bagi mengakhiri syarahan ini, saya menyeru kepada para hadirin, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memastikan negara kita ini akan terus menikmati kemakmuran kerana rakyatnya sentiasa sihat.

Sekian, terima kasih.

0 comments: