Syarahan : Disiplin Penentu Kejayaan

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Disiplin Penentu Kejayaan.’

Hadirin sekalian,

Tahap disiplin kebanyakan pelajar pada masa kini dikatakan berada pada tahap yang agak membimbingkan. Pelbagai pengaruh negatif telah menggugat disiplin dan ketahanan diri pelajar yang sepatutnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

Hadirin sekalian,

Untuk mencapai kejayaan, para pelajar mestilah memiliki disiplin yang tinggi. Hal ini, membolehkan para pelajar membina sahsiah yang baik dan sentiasa patuh peraturan-peraturan yang ditetapkan. Justeru itu, para pelajar mampu mengawal diri mereka daripada ancaman pengaruh negatif yang merosakkan.

Selain itu, para pelajar akan terdorong untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Malahan, para pelajar juga tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan masyarakat seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, dan lepak. Dengan itu, para pelajar akan dapat membina tingkah laku yang lebih baik dan dihormati oleh masyarakat.

Hadirin sekalian,

Pemupukan aspek disiplin perlu disertai dengan keyakinan dan kekuatan diri pelajar. Oleh itu, para pelajar sepatutnya memperkasakan diri mereka dengan ajaran agama, dan menghindari sebarang bentuk aktiviti yang boleh mendorong mereka melakukan perlanggaran disiplin. Jika para pelajar bersedia dengan sepenuh hati, kejayaan pasti menanti mereka.

Hadirin sekalian,

Daripada hujah-hujah yang telah saya sampaikan, jelaslah bahawa para pelajar yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi akan lebih mudah menjulang kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan mereka kelak.

Sekian, terima kasih.

0 comments: