Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Berguna.

“Jason!Mak dan ayah hendak pergi berjumpa pelanggan di Hotel Hilton. Wang saku RM100 ada di dalam laci meja!”jerit ayah dan ibu Jason. Begitulah kehidupan harian Jason. Setiap hari dia disuakan dengan kemewahan materialistik. Walaupun begitu, hidupnya tidak pernah berasa bahagia. Rasa kecewa dan kesunyiannya dilampiaskan kepada jalan yang salah seperti berlumba motor haram dan merayau-rayau di pasar raya lantaran kesibukan ibu bapanya yang mengejar habuan duniawi.

Pada suatu hari, ketika Jason merayau-rayau di pasar raya, dia terlanggar seorang gadis yang sedang sarat memegang beg plastik.“Oh,maaf.Saya tak sengaja,”kata gadis tersebut. Kemarahan Jason yang membuak-buak tadi hilang dibawa angin lalu selepas mendengar suara lunak gadis tersebut. “Eh,tak apalah. Lagipun saya yang salah. Nama saya Jason.Siapa nama awak?”kata Jason sambil menghulurkan tangan.“Nama saya Clara,”balas gadis itu sambil tersenyum.

Sejak hari itu, mereka semakin rapat bagai merpati dua sejoli. Bibit-bibit cinta mula mekar di hati mereka. Oleh sebab Clara terlalu menyayangi Jason, dia selalu menasihati Jason supaya menghentikan tabiat suka berlumba itu tetapi Jason tidak mengendahkannya. Nasihatnya itu bagai mencurah air ke daun keladi.

Suatu hari,Jason merancang untuk memberi kejutan kepada Clara semasa menyambut hari lahirnya yang ke-17 tahun. Pada fikiran Jason, Clara perlu dibawa ke tempat perlumbaan haram untuk merasai pengalaman berlumba, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Hati Clara berdegup kencang apabila Jason membawanya berjumpa dengan rakan-rakan Jason yang terlibat dengan kegiatan haram itu. “Jason, apa awak buat ini? Bukankah awak dah berjanji tak akan berlumba lagi?”kata Clara dengan nada yang marah. Malangnya Jason hanya memekakkan telinga dan dan terus membawa Clara berlumba di jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

Adat perlumbaan, siapa cepat dan terpantas dialah juara. Bagai helang menyongsong angin,motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangi Jason meninggalkan rakan-rakannya jauh di belakang. Belum pun sempat kegembiraan bertamu di hati Jason, tiba-tiba sebuah lori datang tepat menghala ke arah motosikalnya.“Dum!”.Lori itu melanggar mereka berdua. Tubuh Clara terpelanting ke udara dan terhempas di atas jalan raya. Jason pula sempat terjun dari motosikalnya sebelum dilanggar lori itu.

Darah merah membasahi jalan raya. Clara hanya tinggal nyawa-nyawa ikan ketika Jason memangkunya.“Jason,awak janganlah terlibat lagi dengan kegiatan haram ini. Saya amat menyayangi awak,”kata Clara terputus-putus. Itulah ayat terakhir yang dilafazkan oleh Clara sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Sejak hari itu, Jason telah meninggalkan dunia lumba motor haram.Nasihat Clara masih terngiang-ngiang di telinganya.Namun, dia menyesal kerana tindakannya ini tidak dapat menebus kembali kehilangan orang yang amat disayanginya itu.Tepatlah kata peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna yang selalu diucapkan oleh Clara kepadanya.Kini, bagi menebus kesilapannya itu,Jason bergiat aktif memberi ceramah kepada para remaja seusia dengannya supaya menjauhi aktiviti haram ini.
Dengan perlahan-lahan aku melangkah masuk ke rumah melalui pintu belakang. Akan tetapi, dengan tidak disangka-sangka…

Lengkapkan cerita di atas.


Dengan perlahan-lahan aku melangkah masuk ke rumah melalui pintu belakang. Akan tetapi, dengan tidak disangka-sangka ayah terdengar bunyi pintu dibuka ‘krek……’ . “Siapa di dapur!” ayah bersuara. “Kali ini nahas aku,” bisik hati kecilku.

Aku terus menuju ke bilik air. Belum sempat aku membuka pintu, ayah telah tercegat di depanku. “Zali pergi ke mana tadi? Kenapa tak beritahu ayah dan ibu? Kenapa?!…” Aku terpaku, terkunci mulutku untuk berkata-kata, membisu seribu bahasa.

Ayah terus berkhutbah. “Lain kali kalau hendak pergi kemana-mana beritahulah kepada ayah atau ibu. Budak baik patut meminta kebenaran ibu bapa sebelum keluar rumah supaya tidak menimbulkan kerisauan kepada orang tua”.

“Ayah dah tahu segala-galanya, tak payahlah Zali hendak beri alasan lagi. Tadi kawan ayah telefon, nampak Zali dengan kawan-kawan sedang melepak di pasaraya”. Ayah terus menyerangku.

Kini giliran ibu pula, “Zali memang suka membuang masa. Bukankah lebih baik Zali duduk di rumah mengulangkaji pelajaran, lagipun UPSR sudah hampir benar. Zali ingat, mudah untuk mendapat 5A? Pergi mandi! Jangan buat lagi”.

Selepas mendengar kata-kata ayah dan ibu, aku pun mengakui kesalahan aku dan segera meminta maaf kepada ayah dan ibu. Mereka tersenyum lalu mengusap kepala aku. Kini, aku telah insaf. Aku berjanji tidak akan melakukan kesalahan seperti itu lagi.

‘Sediakan payung sebelum hujan’

Aku tidak berkenan langsung dengan sikap ibu bapaku yang boros berbelanja walaupun aku amat menyayangi mereka. Setiap tahun, ibuku pasti membeli perabot baru untuk menghiasi rumahku. Ada saja alasan yang diberikan ibuku kepada ayah untuk mendapatkan apa yang dihajatinya.Pernah ibuku membelanjakan lebih daripada sepuluh ribu ringgit hanya untuk membeli sofa yang diidam-idamkannya.

Ayahku pula asyik menukar aksesori kereta. Boleh dikatakan setiap bulan ada sahaja aksesori yang ditambah pada kereta Wish kesayangannya itu. Ekzos yang satu dijadikan dua, cat kereta ditukar,cermin digelapkan dan bermacam-macam lagi pengubahsuaian yang dilakukannya.Aku hanya mampu mengelengkan kepala. Kadang-kadang aku tertanya-tanya juga di dalam hati. Adakah ayah dan ibuku menabung wang di bank? Soalan ini sering kali berlegar-legar di kotak fikiranku.

Oleh sebab kesedaran yang tinggi tentang amalan menabung ini, aku mula menyimpan wang sedikit demi sedikit di dalam tabung buluhku.Wang yang kusimpan itu ialah lebihan wang saku yang diberikan oleh ayahku pada setiap awal bulan.Walaupun tidak seberapa, tetapi aku berpegang pada prinsip sedikit-sedikit,lama-lama jadi bukit.

Setiap hari aku membawa bekal ke sekolah untuk menjimatkan perbelanjaan harianku. Selain itu, duit raya yang aku peroleh setiap tahun, aku simpan di dalam bank. Setiap kali aku menatap buku akaunku, pasti senyuman akan terukir di bibirku kerana saban tahun jumlah wang simpananku pasti meningkat.

Malang tidak berbau,tidak kuduga adik perempuan kesayanganku disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.Ingin sahaja aku memberikan jantungku kepadanya.Doktor yang merawat adikku memberitahu kami yang adikku memerlukan rawatan segera dan perlu menjalani pembedahan. Kos pembedahan dianggarkan dua puluh ribu ringgit.

Nasib keluargaku bagai jatuh ditimpa tangga kerana ayah dan ibu tiada simpanan di bank. Ayah pula tidak berjaya memohon pinjaman daripada bank kerana sebelum ini ayah telah membuat pinjaman untuk membeli kereta baru. Ibu hanya dapat menyumbangkan dua belas ribu ringgit setelah menggadaikan barang kemas kesayangannya.Masih ada berbaki lapan ribu ringgit yang harus dilunaskan.Dalam kebuntuan, aku teringatkan buku akaun bankku. Aku segera ke bank untuk mengeluarkan wang sebanyak lapan ribu ringgit bagi menampung baki yang masih diperlukan itu.Aku kemudiannya menyerahkan wang itu kepada ayahku. Ayahku memelukku dengan linangan air mata di pipinya. Betapa ketika itu aku berasa amat ber syukur kerana mengamalkan amalan keramat ini.

Adikku kemudiannya telah selamat menjalani pembedahan. Ketika aku melawat adikku di hospital bersama-sama ibu bapaku, mereka menanyakan kepadaku dari mana aku mendapat wang sebanyak itu.Aku hanya tersenyum seraya memberitahu mereka bahawa semua duit yang aku peroleh selama ini, aku simpan kerana aku berpegang pada peribahasa sediakan payung, sebelum hujan.Kulihat mereka terkesima. Barangkali malu ataupun menyesali kesilapan diri.

‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.

Haizam seorang anak yatim. Bapanya meninggal dunia semasa dia berusia 10 tahun. Ibunya, Puan Mina pula lumpuh sebahagian daripada tubuhnya akibat diserang angin ahmar kira-kira dua tahun yang lalu.Haizam mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Najwa Amira.Adiknya berumur sembilan tahun. Lantaran kemiskinan dia terpaksa berhenti sekolah semasa berada dalam tingkatan empat walaupun mendapat tentangan daripada ibunya.

Berbekalkan sedikit wang simpanan arwah ayahnya, dia mula berniaga secara kecil-kecilan. Pada mulanya dia menjual air di tepi jalan besar berdekatan dengan rumahnya tetapi kurang mendapat sambutan.Namun, dia tidak berputus asa. Dia mencuba pula menjual buah-buahan yang diambilnya daripada Pak Karim, seorang peraih buah di kampungnya.Malangnya keuntungan yang diperolehnya tidak setimpal dengan usaha yang telah dilakukannya.

Haizam sering termenung memikirkan masa depannya. Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan di di bandar yang terletak berhampiran dengan kampungnya. Dia kemudiannya diterima sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran yang terkenal di bandar itu. Oleh sebab kerajinannya, dia telah dinaikkan pangkat sebagai pelayan di restoran tersebut.

Kini, sudah hampir lima tahun dia bekerja di restoran itu. Dia begitu gembira bekerja di situ kerana majikannya seorang yang bertimbang rasa, pemurah dan tidak lokek berkongsi ilmu dengannya.Dia juga telah belajar memasak masakan Timur dan juga Barat daripada chef masakan di situ. Banyak pengalaman yang ditimbanya semasa bekerja di situ. Bagi menjamin masa depannya, pada setiap bulan dia akan menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diterimanya ke dalam bank.Dia juga bercita-cita untuk memiliki restorannya sendiri suatu hari nanti.

Berbekalkan pengalaman dan juga wang simpanan yang dia miliki, dia telah mengusahakan sebuah gerai makanan menjual lauk-pauk secara kecil-kecilan. Oleh sebab makanan yang disediakan begitu sedap sekali, gerainya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelanggan.Dari sebuah gerai yang kecil, dia telah menyewa sebuah bangunan untuk dijadikan restoran. Akhirnya, perniagaannya telah berkembang maju dan dia telah membuka beberapa cawangan di sekitar bandar tersebut.

Bak kata pepatah Melayu ’Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.Begitulah apa yang berlaku dalam kehidupan Haizam, daripada seorang pemuda yang tiada berharta,kini mempunyai kemewahan yang dicapainya melalui usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa.

Seperti Katak di bawah Tempurung

Salah satu peribahasa yang amat terkenal ialah ’seperti katak di bawah tempurung’. Peribahasa ini rnembawa maksud orang yang tidak mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya. Peribahasa ini amat berguna dan bermakna kerana membawa maksud orang seperti ini tidak mengetahui kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Maka jadilah seperti seekor katak yang berada di bawah tempurung yang tidak tahu apa yang berlaku di luar tempurung tersebut. Katak seolah-olah terkurung dan tidak dapat rnembezakan keadaan di dalam dan di luar.

Peribahasa ini bolehlah dikaitkan dengan satu kisah yang berlaku pada diri seorang wanita bernama Aminah. Dia tinggal seorang diri setelah ibu bapanya meninggal dunia lebih kurang tiga tahun yang lain. Dia tidak hidup melarat kerana ayah dan ibunya telah meninggalkan harta yang banyak. Aminah seorang yang agak pendiam dan tidak mempunyai ramai kenalan. Dia cuma mengharapkan wang daripada harta yang ditinggalkan oleh ibu bapanya untuk menyara kehidupannya. Wang daripada pajakan tanah sawah seluas lima relong, tanah kebun seluas lima hektar, rumah sewa sejumlah lima buah, serta rumah sendiri memberikan pendapatan yang lumayan. Aminah seorang yang pendiam dan jarang berbual. Dia tidak suka menonton televisyen atau membaca surat khabar. Oleh itu, sudah tentu dia tidak rnengetahui hal-hal yang berlaku di sekelilingnya.

Hari-hari yang dilalui oleh Aminah berjalan seperti biasa sehinggalah pada suatu hari dia didatangi oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Osman. Dia datang menemui Arninah kerana dia hendak menjual tanah seluas empat hektar kepada Aminah. Alasannya ialah dia tidak mahu tanah itu jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Aminah yang berminat untuk rnembeli tanah tersebut telah meminta Osman menyerahkan geran tanah yang hendak dijual itu. Osman bersetuju lain pulang ke rumahnya Aminah berasa gembira kerana dia memang berhajat untuk membeli tanah itu untuk menambahkan hartanya. Malah, bagi Aminah dengan pembelian tanah itu dia rnampu untuk menambah pendapatan bulanannya.

Dua hari kemudian, Osman datang lagi bersama-sama dengan geran tanah yang dipinta oleh Arninah tempoh hari. Setelah ditunjukkan kepada Aminah, mereka berbincang tentang harga yang dipersetujui. Osman ingin menjual tanah tersebut sebanyak RM75,000.00 tetapi Aminah meminta dikurangkan kepada RM70,000.00 sahaja. Osman bersetuju lalu meminta bayaran sebanyak RM50,000.00 sebagai pendahuluan. Aminah memberitahu bahawa wangnya ada di bank. Lalu, Osman mencadangkan mereka pergi ke bank bersama-sama untuk mengambil wang tersebut. Aminah bersetuju dengan cadangan Osman untuk memberikan RM50,000.00 kepada Osman sebagai pendahuluan.

Bakinya pula akan diberi semasa membuat pertukaran nama pada geran nanti. Osman yang amat gembira dengan pemberian wang tersebut berjanji akan datang dengan segera untuk menyelesaikan hal pertukaran nama pada geran tanah tersebut. Aminah pun pulang dengan rasa senang hati kerana sudah harnpir pasti dia akan memiliki tanah itu.
Apabila hari yang dijanjikan, Aminah menunggu Osman di pekarangan Pejabat Tanah. Dia menanti dengan penuh harapan agar Osman muncul untuk menyelesaikan perkara itu. Tetapi hampir empat jam Aminah menunggu, namun bayang-bayang pun tidak kelihatan. Dia cuba menghubungi nombor telefon yang diberi oleh Osman namun ternyata nombor itu adalah palsu.

Dia yang berasa tidak senang hati telah masuk ke dalam Pejabat Tanah dan meminta salah seorang daripada pegawai di situ rnenyemak geran tanah yang dikatakan milik Osman itu. Ternyata geran tanah itu adalah palsu. Pegawai itu menyatakan bahawa semua kakitangan sudah diberitahu tentang seorang lelaki yang menjalankan aktiviti penipuan penjualan tanah di serata tempat. Pihak mereka juga telah mengiklankan kegiatannya di akhbar-akhbar, televisyen, dan majalah.
Nyatalah Aminah ditipu dan dia menyesal kerana tidak mahu mengambil tabu tentang perkara yang berlaku di sekelilingnya. Osman merupakan seorang penipu dan orang kampung sudah pun dimaklumkan mengenai kegiatannya. Aminah hampir pengsan mengenangkan nasibnya yang ditipu oleh Osman.

Kesimpulannya, kita perlulah mengambil iktibar tentang kejadian yang berlaku ke atas diri Aminah. Dari kisah tersebut, dapatlah kita rumuskan bahawa keadaan ini merupakan satu kerugian kepada kita. Biarlah kita menjadi seorang yang tahu segala yang berlaku di sekeliling kita. Janganlah menjadi seperti ‘katak di bawah tempurung’, kelak kita juga yang akan rugi.

Catatan : Sukan Tahunan

Sekolah kamu telah mengadakan sukan tahunan. Tulis catatan mengenai sukan tersebut.

Sabtu, 29 Mei 2009

8.00 pagi - Aku tiba di sekolah. Ramai rakan-rakanku telah tiba lebih awal. Kami terus berkumpul di rumah sukan masing-masing untuk mendengar taklimat daripada ketua rumah dan guru rumah.

8.15 pagi - Para tetamu datang berduyun-duyun, mula memenuhi khemah-khemah yang disediakan. Mereka, memberikan tepukan dan perangsang kepada murid-murid yang telah bersiap-sedia memulakan permainan.

8.45 pagi - Acara sukan bermula dengan acara-acara sukanika murid pra sekolah dan murid tahap satu. Antara acara yang menarik ialah acara tiup belon dan rebut hadiah murid pra sekolah. Pelbagai aksi yang melucukan dapat disaksikan.

10.00 pagi - Waktu rehat, para hadirin dihiburkan dengan persembahan gimrama oleh murid-murid tahun empat. Persembahan ini telah mendapat tepukan gemuruh.

10.30 pagi - Acara sukan tahap dua bermula. Setiap rumah telah menunjukkan persaingan yang sengit untuk menjadi juara. Acara kemuncak ialah tarik tali antara rumah. Rumah saya, rumah kuning telah muncul sebagai juara.

12.30 tengah hari - Upacara penutup dan penyampaian hadiah dijalankan. Tuan Pegawai Pelajaran Daerah telah menyempurnakan upacara tersebut. Rumah Kuning telah muncul sebagai juara keseluruhan temasya sukan kali ini.

Bersatu Teguh Bercerai Roboh

‘Bersatu teguh bercerai roboh’ perlu menjadi pegangan hidup masyarakat Malaysia.

Peribahasa bersatu teguh bercerai roboh bermaksud kepentingan bekerjasama dan perpaduan dalam sesebuah negara itu. Konsep ini begitu penting kerana keutuhan negara banyak ditentukan oleh rakyat yang mempunyai kesepaduan yang sebenarnya. Negara yang mempunyai rakyat yang tidak bersatu pasti akan menerima impak negatifnya terutama dengan keadaan ekonomi dan politik dunia yang begitu berkaitan hubungannya. Jelaslah, peribahasa ini mempunyai banyak kepentingan untuk dihayati oleh masyarakat kita.

Kehidupan masyarakat kita yang berbilang kaum memerlukan pengamalan peribahasa ini kerana satu tindakan yang tidak bijak mampu menjejaskan keamanan yang dihayati selama ini. Mereka perlu berpegang pada prinsip peribahasa ini untuk membina kekuatan negara kita semula. Masyarakat yang berbilang yang wujud di negara ini menyebabkan perasaan perpaduan itu begitu mudah dikikis jika kita tidak berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan yang mungkin boleh menjatuhkan air muka kaum yang lain. Maka, peribahasa ini mengingatkan kita betapa pentingnya perpaduan itu.

Selain itu, konsep perpaduan yang diutarakan dalam peribahasa ini juga penting dalam suasana politik negara. Perpaduan diperlukan dalam politik kerana politik boleh membela nasib rakyat negara ini. Perpecahan yang wujud dalam sistem politik atau pentadbiran negara boleh menggugat keamanan negara pada jangka masa panjang.Tanpa perpaduan yang utuh tiadalah sistem politik yang kukuh untuk memastikan nasib rakyat di negara ini terus terbela.

Pada masa yang sama, makna perpaduan juga penting untuk memudahkan pembangunan dilaksanakan di negara ini. Semua aktiviti pembangunan yang dirancang bertujuan untuk menjadikan negara ini lebih makmur dan maju. Sebarang tindakan negatif atau jahat boleh menjejaskan pembangunan yang kemudiannya menjadikan taraf kehidupan rakyat menurun secara mendadak. Keadaan ini jika berterusan akan menjadikan rakyat di negara ini hidup dalam suatu suasana yang begitu menyedihkan seperti keadaan negara asing yang kita sering tontoni di televisyen pula.

Di samping itu, peribahasa ini turut mencanangkan maksud perpaduan rakyat dalam bentuk penyatuan kebudayaan. Kita sedia maklum budaya negara ini berbilang yang memerlukan suatu integrasi untuk menjadikan semua kebudayaan kita itu satu kebudayaan Malaysia yang sebenarnya. Amalan bekerjasama atau perpaduan yang dihayati oleh rakyat negara ini membolehkan semua kebudayaan yang berbeza itu diserapkan secara tabii menjadi satu kebudayaan kebangsaan yang boleh menjadi kebanggaan semua rakyat negara ini.

Kesimpulannya, peribahasa ini banyak membawa peringatan kepada kita semua akan betapa pentingnya perpaduan atau semangat bekerjasama itu. Sikap menuding jari terhadap mana-mana pihak apabila mengalami sesuatu masalah bukanlah suatu tindakan yang sesuai di negara ini. Kita harus sedar bahawa amalan ’bagai aur dengan tebing’ amat penting dipraktikkan di negara ini.

Surat Tidak Rasmi : Ucapan Tahniah

No. 55, Jalan Keranji, Seksyen 1,
Kota Warisan,
39400 Bandar Baru Salak Tinggi,
05 Jun 2009.

Menemui saudara Amir yang kini berada di Pedas, Negeri Sembilan, semoga berada dalam keadaan sihat walafiat.

Saudara,

Tujuan saya menulis surat kali ini ialah untuk mengucapkan tahniah kerana saudara telah menjuarai ‘Peraduan Cabaran Minda – Berita Perdana baru-baru ini. Saya mendapat tahu kejayaan saudari apabila melihat gambar saudara terpampang di muka hadapan akhbar Didik.

Untuk makluman saudara, saya juga telah menghantar penyertaan dalam ‘Peraduan Cabaran Minda’ itu, walau bagaimanapun saya gagal memenangi sebarang hadiah. Saya cukup berbangga dengan kejayaan saudara.

Saudara,

Seperkara yang menarik perhatian saya berhubung dengan slogan yang membawa kejayaan saudara, ‘Didik bermanfaat kerana sentiasa membantu, mengasuh,mendidik dan merangsang pelajar menghadapi cabaran dan membina wawasan’. Saya sangat kagum dengan slogan tersebut. Saudara memang hebat…

Kejayaan saudara sebenarnya telah memberi cabaran yang hebat kepada saya. Kalau saudara boleh berja kenapa saya tidak? Oleh itu, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi juara pada peraduan siri yang akan datang.

Saudara,

Hanya setakat ini coretan saya pada kali ini. Sebelum mengundur diri, sambutlah salam mesra daripada saya. Saya berdoa semoga kita akan berjaya.

Sekian, terima kasih.


Sahabatmu,

Maharoll Marzuki
(Maharoll Marzuki)

Karangan Peribahasa :Air dicencang Takkan Putus.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang serba sederhana dan sempurna. Aku merupakan anak yang ketiga dalam keluargaku. Walau bagaimanapun, dalam diam-diam aku amat mencemburui akan kakakku yang lebih tua dua tahun daripadaku.
 
            Setiap hari aku pasti akan bergaduh dengan kakakku walaupun disebabkan hal yang tidak seberapa. Aku amat mencemburui kakakku, Fatin disebabkan kepintarannya dalam pelajaran. Hal ini demikian kerana aku sering mendapat keputusan yang buruk dalam peperiksaan. Tambahan pula aku sememangnya malas mengulang kaji pelajaran dan berat mulut untuk bertanya kepada guru. 
 
Kakakku pula seorang yang rajin belajar dan menjadi murid kesayangan guru-guru kerana sikapnya yang mesra dengan mereka di sekolah.Ibu bapaku juga lebih menyayangi dia berbanding dengan aku.Aku berasa begitu tersisih sekali dengan sikap mereka berdua kepadaku.
 
Di rumah, apabila tiba waktu membuat sarapan pagi atau makan malam, aku akan selalu disuruh oleh ibuku untuk menolongnya memasak di dapur. Kakakku langsung tidak disuruh oleh ibuku dengan alasan dia sentiasa sibuk mengulang kaji pelajaran di dalam biliknya.Aku sentiasa merungut di dalam hati. Aku merasakan layanan yang diberi oleh ibu dan ayahku tidak adil.
 
Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, aku tidak terkejut apabila mengetahui dia mendapat keputusan 10A berbanding dengan aku yang hanya mendapat 5A sahaja dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang lalu.Aku langsung tidak berasa gembira atas kejayaannya.
 
Beberapa bulan kemudian, kakakku mendapat tawaran belajar dalam jurusan perubatan di sebuah universiti di Mesir. Kakakku dapat melihat riak mukaku yang tidak menyukai akan dirinya. Tanpa kusangka, kakakku mengucapkan terima kasih kepadaku kerana telah membantu ayah dan ibuku menjaga dirinya ketika menjalani pembedahan beberapa tahun yang lalu.Dia seterusnya memberi kata-kata perangsang kepadaku untuk lebih berjaya pada masa hadapan.
 
Aku menitiskan air mata apabila mengetahui yang sebenarnya kakakku amat menyayangi akan diriku. Aku memohon maaf  kepada kakakku atas sikapku yang mencemburui dan memusuhinya selama ini. Kakakku juga menyatakan kepadaku supaya jangan mencemburui pencapaiannya kerana sebenarnya dia juga cemburu akan kerajinanku membantu ibu dan ayahku di rumah selama ini. Akhirnya, hubungan antara aku dan kakakku semakin erat bak kata pepatah air dicencang takkan putus.

Melengkapkan Cerita : Jeritan Meminta Tolong

Kamu dan beberapa orang rakan sedang membersihkan tapak untuk mendirikan khemah. Tiba-tiba kamu terdengar jeritan meminta tolong.
Tulis tindakan kamu seterusnya.

Aku tercari-cari arah suara itu. Akhirnya pandanganku tertumpu ke arah Darsan. Aku melihat dia terkapai-kapai dibawa arus. Aku tergamam seketika, memikirkan langkah terbaik untuk menyelamatkan Darsan.

Aku ,Ravi, dan Leong tidak banyak pilihan.Antara kami bertiga hanya aku sahaja yang boleh berenang. Aku mengarahkan Ravi dan Leong mencari tali sementara aku terus terjun ke dalam sungai.

Aku cuba menarik Darsan yang sudah kelemasan, namun arus sungai yang deras telah menggagalkan usahaku. Aku dan Darsan terus hanyut. Namun begitu dengan kemahiran berenang yang aku miliki, aku masih mampu mengawal diriku daripada terus hanyut.

Beberapa minit kemudian, Ravi dan Leong yang bertindak pantas mengambil tali di tapak perkhemahan berjaya melontarkan tali ke arahku. Dengan sepenuh tenaga Ravi dan Leong menarik aku dan Darsan. Akhirnya mereka berjaya menarik aku dan Darsan ke tebing.

Darsan sudah tidak bermaya. Kami semakin cemas.Nasib baik aku pernah mempelajari cara memberi pertolongan cemas. Beberapa minit kemudian Darsan mulai sedar. Dengan bantuan beberapa orang pemuda yang kebetulan baru sampai, Darsan dikejarkan ke hospital.

Berikutan kejadian itu, kami sepakat membatalkan perkhemahan itu. Sebaliknya, kami berkemas untuk pulang dan menziarahi Darsan di hospital. Walaupun peristiwa itu sudah hampir setahun berlalau, namun peristiwa itu masih segar dalam ingatanku hingga ke hari kini.