Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang
persediaan yang anda lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR.
No. 74, Taman Seri Merapoh,
27210 Merapoh,
Kuala Lipis,
Pahang. Darul Makmur.
26 Januari 2011
Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada
di Pulau Pinang, semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping
keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.
Sahabatku,
Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan
saudara untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada
bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat
beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara
persediaan yang saya buat adalah dengan mengulang kaji pelajaran pada
waktu malam. Saya belajar dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam
setiap hari.
Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan
perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika saya tidak
faham akan sesuatu pelajaran semasa belajar di kelas, saya akan segera
bertanya guru supaya saya dapat mengikuti pelajaran itu sebaik mungkin.
Ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas
tambahan sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang
dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya
berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan
kedua-dua ibu bapa saya.
Di samping itu, saya juga pergi ke perpustakaan sekolah
dan Perpustakaan Awam Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya
saya pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh pada hujung minggu sekiranya
ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan
kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar untuk difahami
dan bertukar-tukar nota.
Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan
UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam
peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan
yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya
melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah yang terpilih.
Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan
saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk
saudara serta keluarga.
Sahabatmu,
.............................
(Khairi bin Zaideen )
0 comments:
Post a Comment