Raja Bersiong

Pada zaman dahulu, Negeri Kedah berada di bawah pemerintahan Raja Siam. Kebanyakan Raja Kedah menggunakan nama dalam bahasa Siam. Malahan terdapat juga yang berketurunan Siam. Raja Ong Maha Perita Daria adalah salah seorang daripada mereka, tetapi baginda lebih dikenali sebagai Raja Bersiong.

Pada masa pemerintahannya, Raja Bersiong sangat zalim. Rakyat Kedah sentiasa dalam ketakutan. Tiada siapa berani membuat kekacauan, kerana apabila ditangkap mereka akan diseksa atau terus dibunuh oleh para pengawal atau panglima Raja Bersiong.

Kuasa jajahan Raja Bersiong bertambah daripada masa ke semasa. Sebahagian besar Lembah Bujang yang terletak di tengah negeri Kedah berada di bawah pemerintahan baginda, tetapi baginda tidak berasa puas hati. Baginda mahu meluaskan lagi taklukannya. Ini telah dihalang oleh panglima-panglima yang gagah berani. Raja Bersiong yang semakin tua itu sudah tidak berdaya untuk melawan panglima-panglima tersebut. Baginda kembali dan berehat di istana.


Baginda sangat suka makan masakan kari. Paling digemari apabila kari itu pedas dan dibubuh banyak rempah. Masakan kari yang menjadi kegemaran baginda ialah masakan kari sayur bayam.
Setiap kali baginda santap, dua orang panglima berkawal di belakang baginda, kerana Raja Bersiong sangat takut kalau ada orang yang mahu membunuh baginda.

Sepatutnya baginda tidak harus berasa apa-apa kerana istana baginda dikawal oleh pengawal-pengawal yang sangat setia kepada baginda.Raja juga selalu bimbang sekiranya ada orang mahu meracuni baginda. Sesungguhnya ini amat mustahil kerana baginda mempunyai dua orang tukang masak yang sangat jujur. Seorang ditugaskan untuk membasuh sayur-sayur bayam sementara seorang lagi yang sangat pandai memasak kari disuruh memasak kari bayam ini untuk santapannya. Kedua-dua tukang masak ini bersahabat baik.

Setiap pagi semasa raja masih tidur, kedua-dua orang tukang masak itu mesti menyiapkan masakan kari bayam. Sekiranya masakan tersebut belum tersedia sewaktu raja bangun daripada peraduannya, baginda akan memarahi dan menghukum kedua-dua orang tukang masak itu.

Baginda sangat suka berburu, terutama memburu rusa. Dalam kawasan Lembah Bujang, terdapat bermacam-macam jenis kancil dan rusa liar. Binatang-binatang itu sangat pantas berlari, kerana itu Raja Bersiong mempunyai dua ekor anjing yang terlatih untuk membantu baginda dalam pemburuan. Oleh itu, setiap kali berburu, baginda akan berjaya membunuh beberapa ekor rusa yang besar. Apabila kembali ke istana, baginda akan memerintahkan tukang masak mencampurkan daging rusa tersebut ke dalam masakan kari kegemaran baginda untuk menambahkan lagi kelazatannya.

Waktu ini kumpulan baginda berada di tengah hutan. Kerana bimbangkan keselamatan raja, para pengawal menyuruh baginda berteduh di dalam sebuah gua yang berhampiran. Pada mulanya baginda menolak, dan baginda mahu meneruskan pemburuan. Tetapi setelah dilihat hari semakin gelap dan hujan semakin lebat, baginda pun bersetuju dengan cadangan tersebut.

Hujan yang lebat itu berlarutan selama empat jam. Baginda sangat marah dan mula terasa lapar. Tetapi apabila teringatkan tangkapan yang telah dibuat, baginda berasa gembira kerana telah berjaya menangkap enam ekor rusa yang besar-besar.

Setelah hujan berhenti, Raja Bersiong memerintahkan orang-orangnya supaya bersiap untuk pulang. Tidak ada gunanya meneruskan pemburuan kerana semua binatang telah lari jauh ke tengah hutan.
Atas perintah raja, semua hasil buruan dimuatkan ke atas dua buah kereta tolak. Setelah siap, mereka pun berangkat menuju ke istana. Sementara itu di istana, kedua-dua orang tukang masak raja berasa bimbang kerana raja mereka belum pulang. Mereka sedang sibuk menyiapkan masakan kari untuk raja dan pengawal yang turut serta berburu.

Tukang masak yang bertugas memasak kari raja adalah seorang yang suka berkhayal. Sewaktu memasak kari raja, beliau memikirkan keselamatan baginda. Tiba-tiba pisau yang digunakan terhiris jarinya sendiri. Masa itu juga darah keluar dan beberapa titik darah telah termasuk ke dalam periuk yang berisi kari raja.
"Apa mesti aku buat?" ia berkata sendirian. "Sekiranya baginda tahu tentang perkara ini, tentu aku akan dihukum nanti. Aku mesti sediakan masakan yang lain sebelum baginda sampai".

Untuk memasak kari yang istimewa itu memakan masa sekurang-kurangnya satu jam. Dalam keadaan kelam-kabut itu, tukang masak terdengar bunyi trumpet, menandakan raja dan rombongannya telah sampai. Tentunya tukang masak tidak sempat menyediakan kari yang lain. Beliau berharap semoga raja tidak akan merasakan sebarang perbedaan dalam masakannya kali ini.

Raja Bersiong yang sedang kelaparan itu memandang kepada masakan kegemarannya. Baunya yang wangi makin menambahkan lagi selera baginda. Tanpa membuang masa, baginda mengambil sepinggan nasi dan terus memakannya dengan masakan kari yang terhidang.

Setelah hampir separuh kari tersebut dimakannya, baru baginda menyedari akan perubahan rasanya. Baginda tidak pernah merasakan kari yang seperti ini sebelumnya. Segera baginda perintahkan pengawal memanggil tukang masaknya untuk mengetahui apakah yang telah dimasukkan ke dalam kari baginda kali ini.

"Apakah yang telah kamu masukkan ke dalam kari beta hari ini?" soal raja kepada tukang masak.
Tukang masak yang menyediakan masakan itu terus sahaja mengaku kesalahannya. Ia tahu tidak ada gunanya ia berbohong kepada raja. Sebaliknya dengan berterus-terang ia berharap raja dapat memaafkan kesalahannya.

"Ampun tuanku, semasa patik menyediakan kari tuanku, dengan tidak sengaja jari patik telah terluka dan beberapa titik darah telah termasuk ke dalam kari tuanku. Ampunkan patik tuanku, patik tidak sempat menyediakan masakan kari yang lain. Tolong ampunkan patik tuanku".

 "Oh begitu," sahut raja. "Jadi campuran darahlah yang menyebabkan kari beta terasa berlainan daripada biasa. Kari ini sungguh sedap. Beta mahu kamu campurkan lebih banyak darah di setiap masakan beta pada masa akan datang".

Mendengar arahan tersebut, tukang masak menjadi takut. Beliau tahu apakah yang dimaksudkan oleh raja itu. Raja Bersiong adalah seorang raja yang zalim. Baginda menyimpan banyak musuh di dalam penjara. Setengah-setengah daripada mereka sedang menanti masa untuk dihukum bunuh. Raja berpaling kepada pengawal dan bersuara dengan kuat. "Pergi ke penjara dan lihat siapa akan dibunuh hari ini. Bawa sebuah bekas bersama kamu. Setelah memenggal lehernya, kamu masukkan semua darahnya ke dalam bekas dan bawa kepada beta".

Pengawal itu pun segera pergi ke penjara. Pada masa itu terdapat seorang musuh raja yang telah tua. Ia sepatutnya menjalani hukuman bunuh hari itu. Ia dibunuh di situ juga oleh pengawal yang menjalankan perintah Raja Bersiong itu. Darahnya dimasukkan ke dalam bekas dan dibawa kepada raja.

Raja Bersiong tersenyum melihat bekas yang berisi darah itu. Orang ramai yang berada dalam istana berasa takut, tetapi mereka tidak berani berkata apa-apa. Mereka tahu raja yang laparkan darah manusia itu akan membunuh sesiapa sahaja untuk mendapatkan darah.

Bermula dari hari itu, Raja Bersiong tidak dapat hidup tanpa merasa darah manusia. Orang-orang tahanan semakin banyak yang dibunuh, walaupun mereka tidak bersalah. Kerana ini, baginda sangat dibenci oleh orang-orang dalam istana.

Setelah didapati orang tahanan dalam penjara tinggal beberapa orang sahaja lagi, Raja Bersiong tahu ia mesti mencari jalan untuk mendapatkan bekalan darah yang berterusan. Baginda segera perintahkan pengawal-pengawal supaya menculik budak-budak yang tidak bersalah. Walaupun penculikan itu dilakukan oleh pengawal-pengawal raja, tetapi orang ramai menyedari siapakah yang bertanggungjawab atas semua kejadian itu. Budak-budak yang tidak bernasib baik terus dibunuh dan darah mereka diberikan kepada tukang masak untuk dicampurkan ke dalam kari raja.

Penduduk kampung tersangat marah akan Raja Bersiong. Perbuatan baginda membunuh orang-orang yang tidak bersalah hanya untuk mendapatkan darah mereka dianggap sungguh zalim. Perbuatan Raja Bersiong memakan darah manusia ini menyebabkan dua batang taring atau siong tertumbuh di sebelah mulutnya. Perkara ini tidak disedarinya sehingga pada satu pagi, setelah sedar daripada peraduannya, baginda terasa sakit di mulut. Baginda meminta seorang menteri yang telah tua supaya melihat apakah punca kesakitan itu.

Setelah memerhatikan dengan teliti, menteri itu sungguh terperanjat dengan apa yang dilihatnya. Ia segera memberitahu raja. "Ampun tuanku, kesakitan yang tuanku alami itu bukanlah berpunca daripada gigi. Tetapi terdapat dua batang siong telah tumbuh di sebelah mulut tuanku, dan siong inilah yang menyebabkan tuanku berasa sakit".

Apabila mendengar perkara tersebut, Raja Bersiong pun ketawa dengan kuatnya. Suara baginda itu telah menakutkan orang-orang dalam istana. Mereka tahu tentu ada sesuatu perkara yang berlaku. Berita raja mempunyai siong itu tersebar di seluruh negeri. Baginda sungguh bangga dengan siong-siong tersebut. Baginda mahu seluruh rakyat tahu bahawa siong baginda bertambah panjang apabila baginda memakan darah manusia. Perkara ini sangat menakutkan rakyat Kedah.

Raja Bersiong berharap dengan adanya siong itu, rakyat bertambah hormat dan musuh akan takut kepada baginda. Pembunuhan ke atas budak-budak dan rakyat yang tidak bersalah terus dilakukan. Baginda mahukan darah untuk memuaskan seleranya yang semakin bertambah.Tukang masak baginda berasa sungguh sedih di atas kekejaman yang dilakukan oleh pengawal-pengawal raja. Ia mesti melakukan sesuatu untuk mengelakkan perkara ini daripada berterusan. Ia bercadang untuk membunuh Raja Bersiong dan menamatkan kekejaman baginda. Setelah merancang beberapa hari, akhirnya pada suatu hari semasa raja keluar berburu, tukang masak mengambil peluang ini untuk meracuni raja.

Rancangan ini tidak diberitahu kepada sesiapa kerana takut rahsia ini akan diketahui raja. Tukang masak mengambil masa lebih daripada satu jam untuk memasak kari raja pada hari itu. Semasa tidak ada orang yang melihat, dia pun mengeluarkan satu benda yang berbentuk seperti tanduk yang mengandungi racun di dalamnya. Ia segera menaburkan racun tersebut ke dalam kari raja.

Hari ini Raja Bersiong berasa sedih kerana kumpulannya tidak dapat membunuh banyak rusa. Baginda segera perintahkan supaya pulang ke istana. Dalam perjalanan, tidak ada siapa berani bersuara. Suara nyanyian dan pukulan gendang juga tidak kedengaran.  Setelah sampai di istana, Raja Bersiong segera perintahkan supaya disediakan makan malamnya. Tetapi kali ini dua ekor anjing buruan baginda turut bersama semasa baginda berada di meja makan. Baginda perlukan teman setelah gagal dalam pemburuan. Tukang masak pun membawa kari kegemaran baginda ke meja. Ia terlalu takut sehingga tangannya menggigil, tetapi mujurlah raja tidak melihat.

Sebelum sempat Raja Bersiong memakan kari yang beracun itu, seekor daripada anjingnya yang kelaparan telah melompat ke atas meja makan dan terlanggar mangkuk yang berisi kari itu. Kari itu pun tumpah ke lantai. Raja yang sedang lapar, terkejut dengan peristiwa itu. Dengan marah baginda perintahkan pengawal supaya menghalau anjing-anjing itu keluar. Tetapi belum sempat pengawal menghalaunya, anjing-anjing itu telah memakan kari yang tumpah di lantai.

Dalam beberapa saat sahaja racun yang berbisa itu meresap masuk ke dalam badan anjing-anjing itu. Kedua-duanya menggelepar kesakitan. Setelah memeriksa kedua-dua ekor anjing itu, pengawal pun memberitahu raja bahawa anjing tersebut telah mati. Nyatalah kepada baginda bahawa kari itu mengandungi racun. Baginda berasa lega kerana anjing-anjing itu telah menyelamatkan nyawa baginda.

Maka tahulah raja bahawa tukang masaknya mencuba meracuni baginda. Kerana ialah sahaja yang memasak dan menyediakan kari baginda selama ini. Segera diperintahkan supaya kedua-dua tukang masak ditangkap dan disiksa. Setelah puas mendapat seksaan, maka tukang masak yang bertanggungjawab memasukkan racun ke dalam kari raja pun mengaku kesalahannya. Ia tidak sanggup melihat kawannya yang tidak bersalah disiksa juga. Raja amat murka dengan pengakuan tersebut. Baginda segera memerintahkan supaya dipenggal leher tukang masak itu. Perintah tersebut segera dijalankan. Baginda kemudian mengarahkan tukang masak yang seorang lagi supaya mengambil alih tugas tukang masak yang telah dibunuh itu.

Dari hari itu, raja mempunyai seorang tukang masak sahaja. Baginda memerintahkan dua orang pengawal menjaga setiap gerak-geri tukang masak tersebut untuk memastikan ia tidak akan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan raja. Tentunya pengawasan ini tidak perlu, kerana tukang masak itu terlalu takut, dan ia tidak akan mencuba sesuatu yang boleh membahayakan nyawanya sendiri. Raja Bersiong tetap dengan kekejamannya. Beberapa orang nelayan yang berani, berpakat untuk menamatkan perbuatan itu. Salah seorang daripada mereka memberitahu kawan-kawannya bahawa masa untuk mereka memberontak telah tiba. Walaupun tidak mempunyai senjata yang lengkap tetapi mereka berazam untuk menamatkan pemerintahan Raja Bersiong yang zalim itu.

etapi malangnya, rancangan kaum nelayan itu telah diketahui oleh Raja Bersiong. Baginda mendapat berita tersebut daripada salah seorang nelayan yang telah belot terhadap kawan-kawannya. Raja Bersiong segera memerintahkan askar-askar simpanannya yang bersenjatakan senapang supaya bersembunyi di dalam hutan berhampiran dengan istana. Apabila askar-askar melihat kumpulan nelayan sedang mara menuju ke istana, mereka segera menyerang dan menembak beberapa orang daripada mereka. Kaum nelayan yang terkejut dengan serangan itu terus melarikan diri.

Kaum nelayan menuju ke kampung mereka untuk menyelamatkan diri dengan harapan askar-askar Raja Bersiong tidak akan mengejar mereka. Tetapi sesampai sahaja mereka di kampung, dilihat banyak askar yang lengkap bersenjata menanti. Ini kerana nelayan yang belot tadi telah memberitahu Raja Bersiong tentang tempat kediaman nelayan-nelayan tersebut.  Salah seorang daripada nelayan yang dilantik menjadi ketua dalam kumpulan nelayan itu telah menyeru kawan-kawannya supaya melawan askar-askar tersebut sehingga ke akhir hayat mereka. Tidak ada gunanya mereka menyerah kerana mereka akan dibunuh juga.
Maka berlakulah peperangan. Askar-askar Raja Bersiong telah berjaya membunuh semua nelayan yang memberontak itu. Tetapi kematian mereka bukan kerana menyerah tetapi kerana melawan.

Semasa peristiwa ini berlaku, salah seorang daripada menteri Raja Bersiong tidak ada dalam negeri. Setelah beliau kembali ke Kedah, keluarganya telah menceritakan apa yang telah berlaku dan tentang kematian adiknya yang termasuk dalam kumpulan nelayan itu. Setelah mendengar berita itu, menteri berasa marah dan sedih. Selama ini, beliau amat patuh kepada raja, dan kini adiknya sendiri telah dibunuh. Beliau adalah seorang yang cintakan keamanan dan tidak sanggup melihat kekejaman yang berterusan berlaku ke atas rakyat Kedah. Beliau berfikir sudah tibalah masanya untuk menamatkan kezaliman Raja Bersiong itu. Beliau mesti mengambil sesuatu tindakan.

Menteri tersebut adalah seorang yang terkenal di kalangan orang-orang istana. Beliau tidak mahu menimbulkan sebarang kekacauan dalam istana. Beliau menantikan hari apabila raja keluar berburu dengan pengawal-pengawal baginda. Tidak beberapa lama kemudian keluarlah raja berburu ke dalam hutan. Masa inilah yang dinantikan oleh menteri itu. Beliau segera melancarkan pemberontakan. Beliau berjaya mendapat sokongan daripada menteri-menteri dan askar-askar Raja Bersiong. Beliau segera menyusun satu angkatan yang besar mengandungi beribu-ribu orang askar. Mereka berbaris menuju ke tempat Raja Bersiong sedang berburu.

Raja sungguh terkejut melihat askar-askar yang begitu banyak menuju ke arah baginda. Tahulah baginda bahawa menteri dan askar-askarnya telah belot. Baginda segera perintahkan pengawal-pengawal yang berjumlah seratus orang bersama baginda itu supaya melawan angkatan menteri itu. Tetapi tidak seorang pengawal pun yang menurut perintah baginda, malahan kesemuanya telah masuk ke dalam kumpulan menteri tadi. Tinggallah baginda seorang diri. Raja Bersiong mula berasa takut. Baginda terus melarikan diri ke dalam hutan yang tebal itu. Menteri memberitahu orang-orangnya supaya jangan menangkap Raja Bersiong. Beliau tahu, raja Bersiong tidak akan berani lagi keluar daripada hutan itu.

Tahulah angkatan menteri itu bahawa mereka sekarang telah selamat daripada kekejaman Raja Bersiong. Semua rakyat Kedah sungguh gembira dengan kejayaan menteri dan askar-askarnya. Beberapa tahun kemudian mangkatlah Raja Bersiong di dalam hutan yang tebal itu kerana terlalu tua.Di bawah pemerintahan menteri yang adil itu, kawasan Lembah Bujang menjadi maju dan aman selalu. Rakyat tidak lagi berasa takut. Raja Bersiong yang zalim tidak mengganggu mereka lagi.

0 comments: