Surat Kiriman Rasmi: Gangguan Bekalan Air

Anda sebagai ketua kampung diminta menulis surat kepada Jabatan Bekalan Air kerana bekalan air di kampung anda sering terggangu.

** ** ** ** **

Ketua Kampung
Kampung Bukit Kelulut,
28000 Temerloh,
Pahang. Darul Makmur

_________________________________________________________________________

Tuan Pengarah 
Jabatan Bekalan Air Temerloh,
28000 Temerloh,
Pahang. Darul Makmur.                                                                              20 April 2012

Tuan,

GANGGUAN BEKALAN AIR PAIP

Berhubung perkara di atas, saya Riduan bin Ramli selaku ketua kampung Kampung Bukit Kelulut ingin membuat aduan tentang gangguan bekalan air paip yang sering berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
2.        Gangguan bekalan air ini telah menimbulkan banyak masalah kepada penduduk kampung ini. Antara masalah tersebut ialah kesukaran untuk mendapatkan air bagi kegunaan harian seperti mandi, membasuh, memasak dan lain-lain lagi.
3.        Oleh sebab itu, penduduk kampung ini terpaksa menggunakan sumber air alternatif yang tidak dirawat seperti air sungai, air parit atau air perigi untuk dijadikan air minuman dan pelbagai kerja yang lain. Selain menyusahkan mereka, punca-punca air ini juga tidak terjamin daripada segi kesihatan. Ini kerana lokasi kampung ini yang berhampiran dengan kawasan industri dan bandar boleh menyebabkan pencemaran air berlaku. 
4.        Sejak akhir-akhir ini, penduduk kampung mula mengeluh kerana pelbagai penyakit telah menyerang mereka. Antara penyakit tersebut ialah demam, selsema dan penyakit kulit. Saya bimbang keadaan ini berpunca akibat penggunaan air yang telah tercemar. 

Saya sebagai wakil penduduk kampung berharap pihak tuan mengambil tindakan segera akan masalah yang dilaporkan ini. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai.  
Sekian, terima kasih.
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

Yang benar,
...................................
(RIDUAN BIN RAMLI)
Ketua Kampung Bukit Kelulut,
28000 Temerloh,
Pahang. Darul Makmur

Surat Kriman Rasmi: Tidak Dapat Hadir Ke Sekolah

Anda tidak dapat hadir ke sekolah kerana sebab-sebab yang tertentu. Tulis sepucuk surat kepada guru kelas anda untuk memberitahu hal tersebut. 


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Kampung Dada Kering,
Kechau,
27200 Kuala Lipis,
Pahang.

___________________________________________________________________________

Encik Daud bin Ngah Derani,
Guru Kelas Tahun 6 Amanah,
Sekolah Kebangsaan Pagar Sasak,
27200, Kuala Lipis,
Pahang.                                                                                                                      14 Mei 2012

Tuan,

TIDAK DAPAT HADIR KE SEKOLAH

Saya Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi, murid Tahun Enam Amanah tidak dapat hadir ke sekolah pada hari Isnin, 15 Mei 2012.

2.        Hal ini demikian kerana saya terpaksa mengikut ibu bapa membawa nenek saya ke Hospital Besar Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan pada hari tersebut.

3.       Saya dihantar oleh bapa saya untuk ke sekolah. Oleh yang demikian, tiada sesiapa yang dapat menghantar saya ke sekolah kerana bapa saya akan pergi ke Kuala Lumpur pada hari tersebut.
4.        Untuk pengetahuan cikgu, saya anak tunggal dalam keluarga saya. Manakala, ibu bapa saya pula tidak pasti bila mereka akan sampai semula ke rumah setelah selesai urusan di hospital itu nanti. Saya khuatir kerana tiada sesiapa yang menemani saya di rumah apabila saya pulang dari sekolah nanti.
5.        Kerjasama serta pertimbangan cikgu atas sebab-sebab yang saya berikan amat saya hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian, terima kasih.
Yang Benar,

Hasifzakwan
(HASIF ZAKWAN BIN MOHD HAMIDI)

Catatan : Gotong-royong

Satu aktiviti gotong-royong telah diadakan di sekolah kamu sempena kempen kebersihan. Kamu dikehendaki menulis catatan mengenai aktiviti tersebut.

Tulis catatan itu selengkapnya.

Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

7.30 pagi - Ibu bapa dan murid-murid membanjiri perkarangan sekolah dengan membawa pelbagai peralatan untuk aktiviti gotong-royong.

8.00 pagi - Ucapan dan taklimat daripada Tuan Guru Besar, Tuan Haji Mohammad Noor bin Sanusi. Beliau melahirkan rasa terharu dan terima kasih terhadap sambutan yang ditunjukkan oleh ibu bapa untuk bergotong-royong.

8.30 pagi - Aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran sekolah dimulakan . Ibu bapa dan guru-guru membersikan kawasan persekitaran sekolah. Murid-murid pula membersihkan bilik darjah masing-masing.

10.30 pagi - Kerja-kerja pembersihan diberhentikan seketika untuk membasah tekak, sambil menikmati pelbagai hidangan kuih-muih di kantin sekolah. Sambil minum mereka berbual-bual.

11.00 pagi – Ketibaan wakil Pegawai Pendidikan Daerah, Tuan Haji Sailan bin Misran. Beliau bersama-sama ibu bapa menanam anak-anak pokok hiasa, sumbangan daripada seorang dermawan yang juga bekas murid sekolah ini.

12.00 tengah hari - Gotong-royong berakhir . Semua hadirin dijemput ke kantin sekolah untuk dijamu makan tengah hari. Sebelum. bersurai Tuan Guru Besar dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah telah menyampaikan ucapan ringkas mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat.

Surat Kiriman Rasmi: Memohon Lawatan Sambil Belajar ke Kilang Perabot

Persatuan Alam Sekitar
Sekolah Kebangsaan Seri Tualang,
28000 Temerloh,
Pahang.


________________________________________________________________________

Tuan Pengurus                                                                              Tarikh:    15 April 2012
Kilang Perabot TM Jaya Sdn. Bhd,
28000 Temerloh,
Pahang..

Tuan, 
Memohon Lawatan Sambil Belajar

Berhubung perkara di atas, saya, Siti Aishah bt Sahari, setiausaha Persatuan Alam Sekitar ingin memohon mengadakan lawatan sambil belajar ke syarikat tuan. 
1.        Tujuan kami mengadakan lawatan sambil belajar ini kerana kami ingin tahu dengan lebih dekat tentang cara-cara untuk membuat perabot serta jenis-jenis kayu yang sesuai atau sering digunakan untuk membuat perabot. Lawatan ini diharap akan dapat menambah ilmu pengetahuan kami tentang pembuatan perabot kayu serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk memelihara hutan dan alam sekitar. Ini akan membantu kami dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup. 
2.        Kami memilih mengadakan lawatan sambil belajar ke syarikat tuan kerana syarikat tuan amat terkenal dalam menghasilkan barangan perabot yang yang bermutu tinggi, tahan lama dan model yang menarik serta terkini. Selain itu, harganya pula amat berpatutan dengan kualiti barangan yang dihasilkan. 
3.        Untuk pengetahuan pihak tuan, ahli rombongan kami seramai 42 orang yang terdiri daripada 20 orang murid lelaki, 19 orang murid perempuan dan 3 orang guru pengiring. Butir-butir lawatan ini ialah seperti berikut:  
          Tarikh       : 19 April 2012 
          Masa         : 9.00 pagi 
          Kenderaan : Bas 
Kerjasama daripada pihak tuan kami dahului dangan ucapan terima kasih.
Sekian, Terima Kasih.
Yang benar,

.....................................
(SITI AISHAH BT SAHARI)
Setiausaha Persatuan Alam Sekitar,
Sekolah Kebangsaan Seri Tualang,
Temerloh, Pahang.

Syarahan : Rakyat Sihat Negara Makmur

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Rakyat Sihat Negara Makmur.’

Hadirin sekalian,

Biarlah saya huraikan apa yang dimaksudkan dengan rakyat yang sihat. Rakyat yang sihat ialah mereka yang sihat fizikal dan mental. Untuk melahirkan rakyat yang sihat, kita memerlukan makanan yang seimbang dan berzat. Selain itu, kita juga memerlukan persekitaran yang tenteram.

Kerajaan kita telah menyediakan pelbagai kemudahan perubatan untuk memastikan rakyat negara ini mendapat rawatan yang terbaik. Dengan hal yang demikian, rakyat akan sentiasa berada dalam keadaan sihat. Rakyat yang sihat akan dapat meningkatkan produktiviti dalam apa juga bidang yang diceburi. Bukankah ini akan memberi pulangan yang besar kepada negara?

Hadirin sekalian,

Rakyat yang mempunyai mental atau emosi yang sihat pula akan berfikiran lebih rasional. Kita tidak mungkin melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh merosakkan diri sendiri, masyarakat, dan negara. Di dalam sebuah negara yang berbilang kaum. Kita tentunya akan berusaha untuk mewujudkan perpaduan antara kaum.

Selain itu, jika sesebuah negara memiliki rakyat yang berkualiti, negara tersebut akan disegani oleh negara-negara lain. Inilah sebenarnya yang sedang berlaku sekarang. Negara kita yang berupaya mengekalkan kemakmuran dan keharmonian, telah menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Hadirin sekalian,

Bagi mengakhiri syarahan ini, saya menyeru kepada para hadirin, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memastikan negara kita ini akan terus menikmati kemakmuran kerana rakyatnya sentiasa sihat.

Sekian, terima kasih.

Surat Kiriman Rasmi: Memesan Buku Cerita

Suhaimi bin Ramli
No. 7, Jalan TJ 1/8,
Taman Temerloh Jaya,
28000 Temerloh,
Pahang. Darul Makmur

_____________________________________________________________________________

Pengurus                                                                                                  Tarikh: 23 April 2012
MYKAMS Enterprise (SA0048635-M)
No. 5, Kedai Setingkat,
Jalan Parit 13 Sungai Panjang,
45300 Sungai Besar,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia.              

Tuan,

MEMESAN BUKU CERITA.

Berhubung perkara di atas, saya  Suhaimi bin Ramli  ingin memesan beberapa buah buku cerita yang diterbitkan oleh syarikat tuan seperti yang diiklankan di dalam akhbar Berita Harian.

2.        Tujuan saya memesan buku-buku tersebut adalah untuk mengisi masa lapang dan juga untuk kegunaan adik-adk saya. Saya memilih syarikat tuan kerana saya mendapati buku-buku yang diterbitkan oleh syarikat tuan bermutu tinggi dan harganya pula berpatutan.

3.        Buku-buku yang ingin saya pesan adalah seperti berikut:

                 
           1. Tiga orang Bidadari                                 : RM 12.30
           2.  Hadiah untuk Ayah                                 : RM 12.50 
           3. Cikgu Amira                                            : RM 12.20
           4. Kembara Seorang Hamba                        : RM 18.00
           5. Tangisan Berdarah                                    : RM 15.80
           6. Mulanya Di sini                                         : RM 15.00 
                Jumlah                                                =  RM 85.80

4.        Bersama-sama ini saya sertakan wang kiriman pos sebanyak RM85.80 bagi bayaran buku-buku tersebut. Jumlah wang tersebut tidak termasuk perbelanjaan pengiriman atau penghantaran kerana mengikut iklan yang disiarkan di dada akhbar, semua kos penghantaran buku ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tuan.

Saya berharap agar syarikat tuan dapat mengirimkan buku-buku tersebut dengan segera. Kerjasama daripada pihak tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian ,terima kasih.

Yang Benar,  
.......................................
(SUHAIMI BIN RAMLI)

Surat Kiriman Rasmi: Pencemaran di Kampung Merapoh

Setiausaha,

JKKK Kampung Merapoh,
27210, Kuala Lipis,
Pahang.
____________________________________________________________________________

Pegawai Daerah,
Kompleks Kerajaan, 
27100 Kuala Lipis,
Pahang.                                                                                                                 24 APRIL 2012

Tuan,

Pencemaran di Kampung Merapoh

Saya Wahab bin Ali,  Setiausaha  JKKK  Kampung Merapoh ingin memaklumkan beberapa masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung ini. Hal ini berlaku sebaik sahaja pembukaan sebuah kilang simen di kawasan bekas lombong emas yang dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan dan keselamatan penduduk kampung ini.

2.          Pembukaan kilang ini telah menyebabkan debu-debu beterbangan. Hal ini mengakibatkan rumah penduduk kampung dipenuhi dengan debu serta menjejaskan kesihatan penduduk. Ramai penduduk yang menghidap asma dan batuk sejak akhir-akhir ini.
4.          Sungai Merapoh yang dahulunya merupakan sumber ikan bagi penduduk kampung kini telah dicemari dengan bahan-nahan merbahaya meyebabkan ikan-ikan di sungai itu hampir pupus. Airnya yang jernih kini sudah menjadi keruh kemerah-merahan dan boleh meyebabkan kegatalan atau penyakit kulit. Kecerian di sepanjang sungai itu yang menjadi tempat penduduk kampung memancing atau berekreasi kini tiada lagi.

3.          Selain itu, lori-lori  yang mengangkut simen dan batu sering dipandu dengan laju dan membahayakan keselamatan penduduk. Jalan raya utama ke kampung ini yang berhampiran dengan Balai Polis Kampung Merapoh itu telah rosak teruk tanpa dipedulikan sejak 5 bulan lepas. Lori-lori tersebut menggunakan laluan ini kerana hanya laluan ini sahajalah untuk ke kilang simen itu dari jalan besar. 

5.           Oleh itu, pihak JKKK Kampung Merapoh, dan penduduk kampung ini ingin pihak tuan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menyelesaikan masalah kami ini.


Sekian, terima kasih.


Yang benar,
.................................
(WAHAB BIN ALI)
Setiausaha,
JKKK Kampung Merapoh,
27210, Kuala Lipis,
Pahang.

Surat Kiriman Rasmi: Aduan Masalah Kecurian

Baru-baru ini, banyak kes kecurian berlaku di kampung anda. Sebagai setiausaha persatuan penduduk, anda diminta untuk menulis surat kepada pihak berkuasa tempatan. Kemukakan cadangan anda bagi menangani masalah tersebut. Tulis surat itu selengkapnya.

********************************************************************
Setiausaha,
JKKK Kampung Merapoh,
27210, Kuala Lipis,
Pahang.
___________________________________________________________________________
Pegawai Daerah,
Kompleks Kerajaan, 
27100 Kuala Lipis,
Pahang.                                                                                                                 24 APRIL 2012
Tuan,
ADUAN MASALAH KECURIAN

Berhubung perkara di atas, saya mewakili penduduk kampung ingin membuat aduan tentang masalah kecurian yang sering berlaku di kampung kami.
2.        Sejak akhir-akhir ini kecurian sering berlaku di tempat tinggal kami terutama pada waktu malam. Hal ini menyebabkan penduduk kampung berasa takut dan bimbang.
3.        Pada 20 April 2012 yang lalu, satu lagi kecurian telah berlaku di kampung kami iaitu di rumah Pak Ali. Banyak barang berharga kepunyaan keluarganya telah dicuri. Antaranya barang-barang kemas, laptop dan tekefon bimbit. Kejadian ini amat membimbangkan semua penduduk kampung.

4.         Kecurian ini mungkin dilakukan oleh orang yang berpengalaman dan dilakukan dengan terancang kerana kebanyakan kecurian itu tidak disedari langsung oleh tuan rumah sehinggalah mereka bangun tidur pada waktu pagi. Selain itu, pencuri mungkin menggunakan peralatan yang canggih kerana mereka dapat memasuki rumah mangsa dengan mudah dan tanpa bunyi bising.
5.        Kami percaya pencuri-pencuri itu terdiri daripada kumpulan yang sama. Mereka melakukan jenayah dengan memakai topeng. Ini berdasarkan maklumat salah seorang penduduk yang pernah terlihat kelibat mereka yang melarikan diri selepas melakukan kegiatan tersebut.

Sehubungan dengan itu, penduduk kampung bertindak dengan menjalankan rodaan secara bergilir-gilir pada setiap malam. Namun begitu, kami masih mengharapkan bantuan daripada pihak tuan agar penjenayah tersebut dapat ditangkap, seterusnya menyelesaikan masalah ini sepenuhnya.

Sekian, Terima kasih.

Yang benar,
(kamarudin)
Setiausaha,
JKKK Kampung Merapoh,
27210, Kuala Lipis,
Pahang.

Syarahan : Disiplin Penentu Kejayaan

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Disiplin Penentu Kejayaan.’

Hadirin sekalian,

Tahap disiplin kebanyakan pelajar pada masa kini dikatakan berada pada tahap yang agak membimbingkan. Pelbagai pengaruh negatif telah menggugat disiplin dan ketahanan diri pelajar yang sepatutnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

Hadirin sekalian,

Untuk mencapai kejayaan, para pelajar mestilah memiliki disiplin yang tinggi. Hal ini, membolehkan para pelajar membina sahsiah yang baik dan sentiasa patuh peraturan-peraturan yang ditetapkan. Justeru itu, para pelajar mampu mengawal diri mereka daripada ancaman pengaruh negatif yang merosakkan.

Selain itu, para pelajar akan terdorong untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Malahan, para pelajar juga tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan masyarakat seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, dan lepak. Dengan itu, para pelajar akan dapat membina tingkah laku yang lebih baik dan dihormati oleh masyarakat.

Hadirin sekalian,

Pemupukan aspek disiplin perlu disertai dengan keyakinan dan kekuatan diri pelajar. Oleh itu, para pelajar sepatutnya memperkasakan diri mereka dengan ajaran agama, dan menghindari sebarang bentuk aktiviti yang boleh mendorong mereka melakukan perlanggaran disiplin. Jika para pelajar bersedia dengan sepenuh hati, kejayaan pasti menanti mereka.

Hadirin sekalian,

Daripada hujah-hujah yang telah saya sampaikan, jelaslah bahawa para pelajar yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi akan lebih mudah menjulang kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan mereka kelak.

Sekian, terima kasih.