Mahsuri

Ilustrasi wajah Mahsuri
Kira-kira dua ratus tahun dahulu, dalam masa pemerintahan Al-Marhum Sultan Abdullah Mukaram Shah yang kedua yang memerintah Kedah antara tahun 1762 dengan 1800, ada seorang Melayu miskin tinggal di pulau Langkawi itu bersama-sama isterinya. Mereka berdua hanya mempunyai seorang anak perempuan. Nama orang itu Pandak Maya, nama isterinya Mek Andak Alang dan anaknya dipanggil Mek Yah.

Pada suatu hari sedang suaminya mencari seekor kerbau hilang, maka dengan tiba-tiba turun hujan yang sangat lebat serta guruh petirnya. Pandak Maya berteduh di dalam sabuah pondok tinggal. Semasa ia berada di dalam pondok itu ia telah mendengar tangisan seorang kanak-kanak kecil. Ia memandang ke seluruh tempat di dalam pondok itu hendak mencari di manakah kanak-kanak itu tetapi tidak ada tanda-tanda manusia di mana-mana pun. Satu benda luar biasa yang dilihatnya di dalam pondok itu hanyalah sekeping kerak nasi di atas lantai pondok tersebut. Diambilnya sedikit kerak nasi itu kerana hendak diperiksanya. Ia berasa takjub kerana dengan serta-merta tangisan kanak-kanak itu pun berhenti.
Telaga Mahsuri


Selepas memerhatikannya maka dilepaskannya kerak nasi itu dan kedengaran semula bunyi kanak-kanak menangis. Pandak Maya bertambah hairan apabila melihatkan kejadian itu. Apabila hujan sidang ia pun berjalan balik dengan membawa sedikit kerak nasi itu. Apabila sampai di rumah diberinya kerak nasi itu kepada isterinya serta diceritakannya apa yang telah berlaku. Isterinya menyatakan kepadanya bahawa mengikut kepercayaan orang tua-tua tangisan kanak-kanak seperti itu ialah tangisan "semangat" buah padi. Mek Andak pun menyimpan kerak nasi itu dan pada tiap-tiap kali ia memasak nasinya, sama ada untuk makan siang atau makan malam dimasukkannya kerak nasi itu ke dalam nasinya dan mereka bertiga beranak pun makanlah seperti biasa.

Beberapa bulan kemudian Mek Andak pun mengandung sekali lagi Selain daripada berladang padi untuk menambah pencarian keluarganya, Pandak Maya biasa pergi ke dalam hutan tidak jauh dari rumahnya kerana mencari damar, iaitu getah daripada pokok meranti. Pada suatu hari, ia merayau di dalam hutan itu berjalan dari sebatang pokok ke sebatang pokok memungut damar di suatu tempat bernama Belanga Pechah, maka ia telah sampai ke sebuah gua. Di gua itu dilihatnya satu benda seperti cendawan melekat pada tepi gua itu. Diambilnya sedikit untuk dimasak oleh isterinya kalau-kalau benda itu cendawan.

Di tengah jalan pulang ia berjumpa seorang China bernama Ah Pek. Maka ditunjukkannya kepada Ah Pek benda yang dibawanya itu, serta bertanyakan nama benda itu. Ah Pek sendiri tidak kenal benda itu lalu meminta sekeping supaya dapat ditunjukkannya kepada taukenya yang tinggal di Padang Mat Sirat. Tauke sendiri tidak tahu apakah benda lalu dibawanya ke Pulau Pinang supaya dapat dikenali.

Apabila ia balik dari Pulau Pinang beberapa hari selepas itu, Tauke itu pun bersama-sama dengan Ah Pek pergi ke rumah Pandak Maya dan memberitahu kepadanya bahawa benda yang disangka oleh Pandak Maya cendawan itu ialah sarang burung yang boleh dimakan. Tauke itu menyatakan sarang burung itu sukar didapati dan harganya sangat mahal.

Pandak Maya sudah tentu sangat gembira kerana ia boleh dapat dengan banyak di dalam gua itu. Maka ia pun pergi ke gua tersebut lalu mengumpul sarang burung itu, kemudian ia menyuruh jualkan kepada Tauke itu di Pulau Pinang. Kadang-kadang ia sendiri pergi menjualnya. Dengan wang jualan sarang burung itu ia membeli kain baharu serta barang-barang lain untuknya sendiri dan untuk keluarga. Dia juga membeli barang-barang untuk dijual kepada orang-orang di kampungnya.

Tiada berapa lama kemudian pecahlah khabar bahawa Pandak Maya telah menjumpai sarang burung dan dia telah menjadi kaya-raya. Pada suatu hari seorang kawan Pandak Maya bernama Mat Jusoh telah datang ke rumahnya dan bertanya kepadanya kalau-kalau boleh ia memberitahu di mana dia mendapat sarang burung itu. Sebagai seorang yang lurus dan pemurah dia telah menemani Mat Jusoh pergi menunjukkan tempat itu. Sebelum sampai betul-betul ke tempat tersebut maka dengan tiba-tiba datang angin ribut yang amat kencang serta guruh petirnya. Beberapa pohon besar telah bongkas. Dengan yang demikian Pandak Maya dan kawannya itu pun mengambil keputusan membatalkan perjalanan mereka itu lalu pulang.

Tiada lama selepas itu mereka pergi sekali lagi dan sekali lagi hujan lebat turun serta kilat sabung-menyabung. Oleh itu bukan sahaja mereka tak dapat mencari sarang burung bahkan juga tak dapat menemui gua itu. Maka tak ada ikhtiar lain, lalu mereka pun pulang dengan tangan kosong. Mat Jusoh dan kawan-kawannya menuduh Pandak Maya tidak jujur iaitu dengan cuba merahsiakan gua itu daripada mereka.



Dalam masa isteri Pandak Maya hamil maka kebunnya yang bertanam dengan pokok pisang, pokok buah-buahan dan pokok sayur-sayuran yang lain telah hidup dengan subur dan ayam itiknya menjadi biak. Jiran-jirannya selalu datang kepadanya membeli daun sirih dan sayur-sayuran. Namanya menjadi terkenal bukan sahaja di kampungnya dan di dalam Mukim tempat ia tinggal tetapi juga di seluruh Pulau Langkawi itu.
Pada suatu malam sedang ia berbual-bual dengan isterinya serta mengucap syukur kepada Tuhan atas rahmat dan kemakmuran yang telah diturunkan olehNya kepada mereka itu, mereka telah terdengar bunyi ular cinta mani dekat rumah mereka. Dengan tidak bertangguh-tangguh, Pandak Maya pun turun ke tanah serta nampaklah ia ular itu ada dua ekor. Ditangkapnya kedua-kedua ekor ular itu. Mengikut satu kepercayaan orang tua-tua bahawa barang siapa dapat melihat dan memakan ular cinta mani itu akan hidup senang-lenang. Oleh yang demikian ular itu pun dibunuh mereka lalu dimasak dan mereka bertiga beranak memakannya dengan tidak ada sisa barang sedikit pun.

Kira-kira sebulan selepas itu, pada suatu hari yang terang cuacanya dan pada saat yang baik isteri Pandak Maya berasa sakit hendak bersalin. Ia pun menyuruh panggil bidan. Bidan pun datang dengan gopoh-gapah dan apabila ia sampai ia menyuruh Pandak Maya mengambil sedikit air tetapi oleh kerana musim kemarau pada masa itu tak dapatlah ia air yang cukup dari tempat yang berhampiran dengannya. Kemudian bidan menyuruh Pandak Maya mengambil daun sirih tetapi ini pun tidak diperolehnya kerana junjung sirih itu tersangat tinggi. Tidak berapa lama kemudian seorang kanak-kanak telah selamat dilahirkan dan Pandak Maya dipanggil masuk oleh bidan untuk menamakan kanak-kanak itu. Oleh kerana kanak-kanak itu seorang perempuan ia telah diberi nama Mahsuri.



Dato' itu telah tertarik oleh budi bahasa dan kecantikan Mahsuri dan dengan serta-merta timbullah di dalam hatinya bahawa ia ingin hendak mengambil gadis itu untuk menjadi isterinya. Apabila dinyatakannya hasrat hatinya kepada isterinya maka terjadilah satu perkelahian yang begitu sengit sehingga terpaksa Dato' itu membatalkan cita-citanya hendak mengahwini Mahsuri. Dato' Seri Kerma Jaya ada seorang anak bernama Mat Deris dan setelah berbaik-baik semula dengan isterinya Dato' itu telah berpakat dengan isterinya hendak meminang Mahsuri untuk anaknya itu dan isterinya itu pun bersetuju. Pandak Maya serta isterinya telah menerima kedatangan orang-orang pihak Dato' itu mengikut adat istiadatnya dan mereka pun bersetujulah atas peminangan itu. Tiada berapa lama kemudian majlis perkahwinan pun diadakan dengan secara besar-besaran dan hampir-hampir semua penduduk Pulau Langkawi telah dijemput hadir ke majlis yang meriah itu.
Selepas perkahwinan itu sepasang suami isteri pun tinggal bersama-sama dalam aman sentosa dan rukun damai. Bulan berganti bulan, maka Mahsuri pun hamil. Suaminya Mat Deris telah pergi ke Siam kerana urusan perniagaan dan sebagai biasa lama dia tiada pulang. Dalam masa Mat Deris tidak ada maka datanglah seorang pengembara Melayu muda lagi miskin ke Langkawi. Namanya Deramang. Orang ini dilahirkan di Melaka. Ia mengembara di seluruh Semenanjung termasuklah Pulau Pinang dan Perlis. Dari Perlis ia menyeberang ke Langkawi kerana hendak tinggal beberapa hari.
Deramang mempunyai suara yang sangat merdu, dan sangat pandai berpantun serta membaca cerita dalam bentok prosa. Pada suatu hari dia datang ke rumah Mahsuri. Mahsuri kasihan melihatkan keadaan pengembara miskin ini lalu mempelawa dia tinggal di rumahnya beberapa hari dengan izin ibu bapanya. Deramang menerima pelawaan itu serta mengucapkan terima kasih kepadanya.
                              


Pada waktu malam Deramang telah berpantun dan bercerita. Orang-orang yang tinggal berdekatan di situ datang ke rumah Mahsuri mendengar pantun dan cerita Deramang. Beberapa bulan kemudian Mahsuri pun melahirkan anaknya yang pertama seorang laki-laki, dan telah diberi nama Mat Arus. Oleh sebab baik budi dan ramah mesra Deramang dan Mahsuri, lebih ramai orang datang ke rumah Mahsuri dan sedikit sahaja datang ke rumah Dato' Seri Kerma Jaya. Oleh kerana begitu terkenalnya Mahsuri maka namanya sentiasa di bibir mulut tiap-tiap orang.

Mahura isteri Dato' berasa cemburu dan iri hati kepada Mahsuri kerana namanya terkenal dan dengan mengingatkan cita-cita suaminya tempoh hari hendak memperisterikan dia dan telah menimbulkan perselisihan di antara dia, dengan suaminya itu maka ia mengambil keputusan hendak membuat fitnah. Pada suatu malam yang gelap dia meminta izin daripada suaminya Dato' hendak pergi ke rumah Mahsuri dengan alasan hendak mendengar Deramang berpantun dan bercerita. Dato' telah mengizinkan dia pergi. Ia pun pergi. Beberapa ketika kemudian dan sebelum sampai ke rumah Mahsuri, Mahura berlari balik ke rumahnya dengan termengah-mengah serta dengan tangisnya dan memberitahu suaminya bahawa ia telah melihat Mahsuri dan Deramang sedang bercumbu-cumbuan dan Deramang memakai sebentuk cincin yang diberi kepadanya oleh Mahsuri.

Benar Deramang ada memakai cincin. Cincin itu dihadiahkan kepadanya oleh Mahsuri dengan izin bapanya kerana menghargai jasa-jasa Deramang dalam menglipurkan hatinya dengan berpantun dan bercerita dalam masa suaminya meninggalkan rumah begitu lama.



Apabila mendengarkan cerita isterinya itu maka timbullah radang Dato' Seri Kerma Jaya dan pada keesokan paginya ia telah mengerah orang-orangnya menangkap Mahsuri dan dengan tidak menyiasat lebih lanjut serta perbicaraan, ia telah dijatuhkan hukuman bunuh. Orang-orang Dato' itu pun pergilah ke rumah Mahsuri di Mawat dan mereka dapati dia tidak ada di rumah. Dia telah pergi ke suatu tempat tiada jauh dari rumahnya mendodoikan anaknya di dalam buaian di bawah sepohon kayu. Orang-orang itu telah pergi ke tempat itu lalu berjumpa dengannya. la diberitahu bahawa mereka telah diperintahkan oleh Dato' menangkap dan membunuh akan dia kerana kelakuan sumbangnya dengan Deramang. la hendak dibawa ke suatu tempat bernama Padang Hangus dan di sanalah hukuman itu hendak dijalankan.

Mahsuri berasa hairan dan merayu bahawa dia tiada bersalah. Tetapi segala rayuannya itu sia-sia belaka. Bapanya Pandak Maya yang sedang berada di dalam rumahnya apabila mendengar khabar mala petaka yang menimpa anaknya itu telah membawa tujuh buah kereta lembu yang penuh berisi wang untuk menebus anaknya itu tetapi tiada berhasil.

Perkhabaran berkenaan dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas Mahsuri itu telah merebak dengan pantas ke seluruh kampung di dalam Mukim itu dan ramai orang telah membantah perintah tersebut. Tetapi apa pun tidak dapat memujuk hati Dato' itu mengubah keputusannya. Beratus-ratus orang telah berhimpun di Padang Hangus hendak menyaksikan pembunuhan itu. Permintaan Mahsuri yang terakhir ialah hendak menentang wajah anaknya bagi kali yang terakhir tetapi Dato' tiada membenarkannya.
               Ilustrasi : Mahsuri diikat di poko

la telah diikat kepada sebatang pokok asam jawa. Dua bilah lembing tajam telah digunakan. Apabila ditikamkan ke tubuh Mahsuri yang lemah itu pada kedua-dua belah bahagian lembut bahunya mata lembing yang tajam itu tidak dapat menembusi kulit atau dagingnya. SeIepas segala percubaan yang gagal itu, Mahsuri memberitahu pembunuh-pembunuhnya bahawa jika sekiranya mereka betul-betul hendak menjalankan hukuman membunuh akan dia, dia ada sebilah lembing kepunyaannya sendiri di rumahnya dan senjata itulah sahaja yang boleh membunuh akan dia. Maka perintah pun dikeluarkan untuk pergi mengambil lembing Mahsuri. Apabila ditikamkan lembing itu ke tubuh badannya maka kelihatan darah putih memancut ke atas lalu terbentuk seperti payung di atas kepalanya.

Sebelum Mahsuri menghembuskan nafasnya yang akhir dia telah berkata dengan suara yang lembut dan jelas bahawa oleh kerana perbuatan zalim ini Pulau Langkawi tidak akan makmur dan tidak akan menikmati keamanan selama tujuh keturunan yang akan datang. Ramalan Mahsuri itu betul berlaku. Deramang pula apabila ia mendengar peristiwa yang dahsyat ini ia telah lari ke Perlis dan langsung tidak kedengaran ceritanya.

Beberapa tahun kemudian Langkawi telah diserang oleh Siam dan telah ditawan dan dibinasakan mereka. Dato' Seri Kerma Jaya dan kesemua ahli keluarganya telah dibunuh oleh tentera yang menyerang itu. Ramai daripada penduduk pulau itu telah ditawan dan dibawa ke Silim. Sebagai ikhtiar yang akhir sebelum tentera Dato' yang bertahan itu mengundurkan diri, mereka telah menggunakan taktik menjahanamkan harta benda iaitu dengan membakar padi beras rakyat dan bekalan-bekalan tentera.

0 comments: