Biografi : Sahabat Karib Saya

Tulis biografi sahabat karib anda. Tuliskan karangan biografi tersebut selengkapnya

Setiap orang mempunyai sahabat. Tanpa sahabat atau kawan, hidup kita ibarat ‘kera sumbang’. Sahabat biasanya menjadi rakan belajar, bermain, dan bertukar-tukar fikiran.
 
Saya mempunyai seorang sahabat yang saya anggap cukup istimewa. Sahabat saya bernama Masdor. Saya memanggilnya Dor sahaja. Dor dilahirkan pada 12 Julai 1990. Dia ialah anak sulung Encik Masdar Ali, seorang jurutera dan Puan Marhamah Malim, seorang guru.

Saya mengenali Dor sejak kecil lagi kerana kami berjiran. Selain itu, kami dibesarkan oleh pengasuh yang sama iaitu Mak cik Jamilah, yang juga jiran kami. Persahabatan kami begitu akrab. Saya sering dibawa oleh keluarga Dor balik ke kampungnya. ‘Macam belangkas’ itulah ungkapan yang sesuai mengambarkan betapa akrabnya kami.

Dor bercita-cita menjadi seorang jurutera seperti ayahnya. Dalam pelajaran, kami sentiasa bersaing untuk merebut tempat teratas di sekolah. Kami sentiasa bersaing sejak kami menjejakkan kaki di bangku sekolah. Kami sentiasa mendapat ‘A’ dalam semua matapelajaran.
 
Dalam bidang sukan, Dor dan saya telah mewakili sekolah dalam permainan badminton, catur, dan bola sepak. Selain itu, kami juga mempunyai hobi yang sama iaitu mengumpul topi dan lencana.

Persahabatan kami yang akrab tidak menghalang untuk saya mengenali lebih ramai kawan, bak kata pepatah, ‘berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali’. Teman setia pula ialah apabila dia sanggup sedih dan ketawa bersama-sama.

Si Tanggang


Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya. Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang. Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.

Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya. “ Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok” kata Si Talang. “ Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, “ kata Deruma dengan gembira. Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si Tanggang, iaitu pisang salai. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya.

“ Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya Si Tanggang kepada anak kapalnya. “ Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,” jawab anak kapal itu. “ Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ?” tanya isteri Si Tanggang.

Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu bapanya. Kesusahan dan kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma kelihatan begitu uzur dan daif sekali. “ Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan ibu bapa kanda. Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal !” herdik Si Tanggang. Mukanya merah padam kerana malu dan marah.

“ Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai kegemaranmu, nak “ kata Si Deruma.
“ Pergi! “ tengking Si Tanggang. Dia memukul jari ibunya yang bergayut pada bahagian tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya, dibuang ke laut. Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka anak kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun berdayung ke tepi. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dia berseru “ Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya.”

Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka.

“ Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!' teriak Si Tanggang.
Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang menjadi batu. Semua anak kapal juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan isterinya turut menjadi batu.

Burung Bangau Dengan Ketam

Pada zaman dahulu terdapat sebuah tasik yang sangat indah. Airnya sungguh jernih dan di dalamnya ditumbuhi oleh pokok-pokok teratai yang berbunga sepanjang masa. Suasana di sekitar tasik tersebut sungguh indah. Pokok-pokok yang tumbuh di sekitarnya hidup dengan subur. Banyak burung yang tinggal di kawasan sekitar tasik tersebut. Salah seekornya adalah burung bangau. Manakala di dalam tasih hidup bermacam-macam ikan dan haiwan lain. Ada ikan telapia sepat, kelah, keli, haruan dan bermacam-macam ikan lagi. Selain daripada ikan,terdapat juga ketam dan katak yang turut menghuni tasih tersebut.

Burung bangau sangat suka tinggal di kawasan tasik tersebut kerana ia senang mencari makan. Ikan-ikan kecil di tasik tersebut sangat jinak dan mudah ditangkap. Setiap hari burung bangau sentiasa menunggu di tepi tasik untuk menangkap ikan yang datang berhampiran dengannya.

Beberapa tahun kemudian burung bangau semakin tua. Ia tidak lagi sekuat dulu untuk menangkap ikan. Kadang- kadang ia tidak memperolehi ikan untuk dimakan menyebabkan ia berlapar seharian. Ia berfikir di dalam hatinya seraya berkata "Kalau beginilah keadaanya, aku akan mati kelaparan kerana tidak lagi berdaya untuk menangkap ikan. Aku mesti mencari jalan supaya aku dapat memperolehi makanan dengan mudah".

Burung bangau mendapat idea dan berpura-pura duduk termenung dengan perasan sedih di tebing tasik. Seekor katak yang kebetulan berada di situ ternampak bangau yang sangat murung dan sedih lalu bertanya "Kenapakah aku lihat akhir-akhir ini kamu asik termenung dan bersedih sahaja wahai bangau?". Bangau menjawab " Aku sedang memikirkan keadaan nasib kita dan semua penghuni tasih ini." "Apa yang merunsingkan kamu, sedangkan kita hidup di sini sudah sekian lama tidak menghadapi sebarang masalah." Jawab katak. "Awak manalah tahu, aku sering terbang ke sana ke mari dan mendengar manusia sedang berbincang tentang bencana kemarau yang akan menimpa kawasan ini dalam beberapa bulan lagi. Kau lihat sajalah sejak akhir-akhir ini hari panas semacam aje, hujan pun sudah lama tidak turun". Bangau menyambung lagi "Aku khuatir tasik ini akan kering dan semua penghuni di tasik ini akan mati." Katak mengangguk- ngangukkan kepalanya sebagai tanda bersetuju dengan hujah bangau tadi. Tanpa membuang masa katak terus melompat ke dalam tasik untuk memaklumkan kepada kawan-kawan yang lain.

Berita bencana kemarau telah tersebar ke seluruh tasih begitu cepat dan semua penghuni tasik berkumpul ditebing sungai dimana bangau berada. Masing-masing riuh rendah menanyakan bangau akan berita tersebut. Seekor ikan haruan bertanya kepada bangau "Apakah cadangan engkau untuk membantu kami semua?" Burung bangau berkata "Aku ada satu cadangan, tetapi aku khuatir kamu semua tidak bersetuju." "Apakah cadangan tersebut" kata haruan seolah-olah tidak sabar lagi mendengarnya. Bangau berkata " Tidak jauh dari sini ada sebuah tasik yang besar dan airnya dalam, aku percaya tasik tersebut tidak akan kering walaupun berlaku kemarau yang panjang." "Bolehkah engkau membawa kami ke sana" sampuk ketam yang berada di situ. "Aku boleh membawa kamu seekor demi seekor kerana aku sudah tua dan tidak berdaya membawa kamu lebih daripada itu" kata burung bangau lagi..

Mereka pun bersetuju dengan cadangan burung bangau.
Burung bangau mula mengangkut seekor demi seekor ikan daripada tasik tersebut, tetapi ikan- ikan tersebut tidak dipindahkan ke tasik yang dikatakannya.Malahan ia membawa ikan-ikan tersebut ke batu besar yang berhampiran dengan tasik dan dimakannya dengan lahap sekali kerana ia sudah tidak makan selama beberapa hari. Setelah ikan yang dibawanya dimakan habis, ia terbang lagi untuk mengangkut ikan yang lain. Begitulah perbuatanya sehingga sampai kepada giliran ketam. Oleh kerana ketam mempunyai sepit ia hanya bergantung pada leher burung bangau dengan menggunakan sepitnya. Apabila hampir sampai ke kawasan batu besar tersebut,ketam memandang ke bawah dan melihat tulang-tulang ikan bersepah di atas batu besar. Melihat keadaan tersebut ketam berasa cemas dan berfikir di dalam hatinya "Matilah aku kali ini dimakan oleh bangau." Lalu ia memikirkan sesuatu untuk menyelamatkan dirinya daripada ratahan bangau yang rakus.

Setelah tiba di atas batu besar ketam masih lagi berpegang pada leher bangau sambil berkata "Dimanakah tasik yang engkau katakan itu dan kenapa engakau membawa aku di sini?" Bangau pun tergelak dengan terbahak-bahak lalu berkata "Kali ini telah tiba masanya engkau menjadi rezeki aku." Dengan perasaan marah ketam menyepit leher bangau dengan lebih kuat lagi menyebabkan bangau sukar untuk bernafas, sambil merayu minta di lepaskan, ia berjanji akan menghantar ketam kembali ke tasik tersebut. Ketam tidak mempedulikan rayuan bangau malah ia menyepit lebih kuat lagi sehingga leher bangau terputus dua dan bangau mati di situ jua.

Dengan perasaan gembira kerana terselamat daripada menjadi makanan bangau ia bergerak perlahan-lahan menuju ke tasik sambil membawa kepala bangau. Apabila tiba di tasik, kawan-kawannya masih lagi setia menunggu giliran masing-masing. Setelah melihat ketam sudah kembali dengan membawa kepala bangau mereka kehairanan dan ketam menceritakan kisah yang berlaku. Semua binatang di tasik tersebut berasa gembira kerana mereka terselamat daripada menjadi makanan burung bangau yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Mereka mengucakpan terima kasih kepada ketam kerana telah menyelamatkan mereka semua.

Biografi : Guru Besar Saya

Encik Sabtu bin Sujak, Guru Besar sekolah saya. Beliau dilahirkan di Kampung Sungai Kembung, Pulau Indah, Selangor, pada tahun 1950. Encik Sabtu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Indah, kemudian di Sekolah Menengah Ampuan Rahimah.
 
Dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Beliau telah mengikuti kursus itu selama tiga tahun.

Beliau mula mengajar di beberapa buah sekolah di Sarawak dan Selangor. Antara sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Pelabuhan Klang, dan Sekolah Menengah Pulau Indah sebelum dilantik menjadi Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Pulau Indah. Beliau juga pernah berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah Klang, sebelum ditukarkan ke sekolah ini.

Walaupun baru dua tahun Encik Sabtu bertugas di sekolah ini, namun beliau yang mempunyai banyak pengalaman itu telah berjaya meningkatkan prestasi sekolah. Ini terbukti dengan peningkatan keputusan UPSR. Selain itu, kawasan sekolah saya kian cantik dan ceria dengan pelbagai pokok hiasan.

Encik Sabtu juga aktif dalam kegiatan kemasyarakatan. Beliau banyak menyertai pertubuhan-pertubuhan amal dan persatuan guru. Beliau yang tinggal di kampung tempat kelahirannya itu juga dilantik memegang pelbagai jawatan di peringkat kampung dan mukim.

Kami berasa bertuah kerana mempunyai seorang Guru Besar yang penyayang dan sentiasa memahami masalah pelajar-pelajarnya. Saya berdoa semoga Encik Sabtu sentiasa sihat dan kekal di sekolah ini sehingga bersara.

Mat Jenin

Syahadan, maka tersebutlah kisah seorang pemuda yatim piatu yang dikenali sebagaiMat Jenin. Pemuda itu hidup sebatang kara di sebuah desa di gerubuk peninggalan ibubapanya. Gerubuk itu teramatlah daifnya dengan dindingnya yang senget dan atap rumah yang bocor apabila hujan turun dengan lebatnya. Akan tetapi semua itu tidaklah dipedulikan oleh Mat Jenin kerana dia amat malas membuat kerja. Malah untuk membaiki gerubuk pusaka itu pun tidak di pedulikannya. kerjanya pula sehari-harian hanyalah memasang angan-angan.

Maka mashyurlah seluruh daerah itu tentang tabiat dan perangainya itu menjadi buah mulut orang. Akan apabila Mat Jenin berasa lapar, pergilah ia ke kedai makan dan duduk menunggu di situ kalau-kalau ada orang yang baik hati yang akan menanggung makan-minumnya. Maka kalau ada sesiapa yang ingin berseronok, segeralah dia menegur Mat Jenin bertanyakan angan-angannya yang terbaru. Mat Jenin pun bersegeralah menceritakan angan-angannya itu tanpa bertangguh lagi apatah lagi jika yang menegur itu pula menyuruh dia meminta apa-apa makanan yang diingini.

 Maka Mat Jenin akan bercerita sehingga sehari suntuk tidaklah dia mahu berhenti. Apabila kerbau sudahpun balik ke kandang, ayam dan itik pulang ke sarang, api menyala di dian, barulah dia balik ke gerubuk buruknya itu untuk tidur. Angin ribut yang bertiup pun tidak dibimbangnya, malah jikalau gerubuk buruknya bergegar dipukul angin, dia hanyalah menarik kain selimutnya dengan lebih rapat lagi sambil berangan-angan. Katanya jikalaulah roboh gerubuk itu, tentulah jiran-jiran sekeliling akan membantu dia membina rumah baru. Jadi tidaklah lagi dia perlu bersusah-payah membaiki teratak buruk itu. Akan begitulah kerja Mat Jenin itu sehari-hariani. Jika apabila tidak ada orang yang hendak membayar makan-minumnya barulah dia mencari kerja. Tetapi kerja yang dibuatnya pula dipilih-pilih, tidaklah dia ingin membanting tulang di sawah padi kerana panas, ataupun pergi menangkap ikan kerana mabuk katanya. Oleh itu apa yang sanggup dilakukan oleh Mat Jenin hanyalah memanjat pokok kelapa, kerana menurutnya kerja itu teduh dan berangin pula. Itupun Mat Jenin hanyalah mengambil upah memanjat pokok kelapa apabila dia memerlukan duit belanja.

Tersebutlah pada suatu hari nasib Mat Jenin tidak begitu baik kerana tidak ada orang yang ingin membayar makan-minumnya. Maka terpaksalah dia mencari-cari sesiapa yang ingin mengupahnya memanjat pokok kelapa. Tetapi lebih malang lagi nasibnya itu, pada hari itu dia tidak berjumpa dengan sesiapa pun yang memerlukan kelapanya dipetik. Maka terpaksalah dia merayau-rayau sekeliling kampung dalam keadaan kelaparan. Sedang dia duduk berfikir-fikir seorang diri tentang apa yang perlu dilakukannya maka nampaklah olehnya seorang nenek tua sedang mendongak-dongak ke atas melihat-lihat buah kelapa.

"Nenek nak kelapa? Saya boleh tolong panjatkan." sapa Mat Jenin Nenek itu berpaling ke arah Mat Jenin
"Memang nenek mencari buah kelapa untuk memasak. Boleh ke cucu tolong petikkan untuk nenek?"
"Sudah tentu boleh nenek. tetapi apa yang nenek boleh berikan kepada cucu sekiranya cucu tolong petikkan buah kelapa nenek?" tanya Mat Jenin.
Jawab nenek tua itu, "Nenek tak ada banyak benda nak nenek beri. Tetapi kalau cucu sanggup petikkan buah kelapa ini untuk nenek, bolehlah cucu makan sekali dengan nenek. Lagipun nenek boleh berikan beberapa biji telur ayam untuk cucu."
"Saya nak buat apa telur ayam tu." kata Mat Jenin.

"Telur ayam ini kalau cucu eramkan, nanti akan menetas. Bolehlah cucu membela ayam,"jawab nenek itu lagi. Mat Jenin duduk berfikir sejenak di dalam hatinya, kalau telur itu menetas sudah tentu aku akan dapat membela ayam untuk aku jual.
" Baiklah nenek, sangguplah saya memanjat kelapa ini untuk nenek." Setelah berkata demikian, maka Mat Jenin pun mulalah memanjat pokok kelapa itu. Ketika mula hendak memanjat itu, dia asyik berfikir tentang kata-kata nenek itu maka hatinya bertambah girang.

"Kalau aku eramkan telur-telur itu tentulah telur-telur itu menetas. Bolehlah aku biarkan ayam-ayam itu sekeliling gerubuk aku sehingga besar. Apabila sudah besar bolehlah aku makan." Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata, "Kalau telur-telur itu menetas bolehlah saya makan ayamkan, nenek?" Nenek tua itu kehairanan tetapi terus sahaja menjawab "Betul cu." Sambil Mat Jenin berangan-angan, dia terus memanjat pokok kelapa itu semakin tinggi.

"Tetapi kalau aku biarkan ayam-ayam itu bertelur tentulah semakin banyak ayam-ayamaku membiak. Jadi tentunya aku akan dapat banyak daging dan telur untuk aku makan.Tetapi kalau terlalu banyak tentu susah aku menjaganya. Jadi baik aku tukarkan ayam-ayam itu dengan kambing tentu lebih beruntung. Bolehlah aku biarkan kambing-kambing itu mencari makan di keliling gerubuk aku. Tak perlu aku bersusah payah memanjat pokok kelapa lagi. Dan lagi tidak perlulah aku risau-risaukan menjaga ayam-ayam itu banyak-banyak." fikirnya lagi.
 Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata "Kalau ayam-ayam itu saya jual bolehlah saya dapatkan kambing, kan nenek?" Nenek tua itu berasa geli hati mendengarkan kata-kata Mat Jenin itu tetapi dia terus menjawab "Betul tu cu." Mat Jenin memanjat semakin tinggi, sambil itu dia berangan-angan semakin tinggi,"Kalau aku sudah banyak kambing, aku akan tukarkan dengan lembu pula. Lagipun lembu itu lebih gemuk dan banyak dagingnya. Tentu aku bertambah kaya dan dihormati orang." Sekali lagi dia menoleh ke bawah melihat nenek itu, "Kalau saya tukarkankambing itu dengan lembu tentu lagi baik, kan nenek?" dia menjerit ke bawah.

Nenek itu terus menjawab "Betul tu cu.." sambil tersenyum-senyum, menampakkan gusinya yang tidak bergigi itu. Nasib baik Mat Jenin sudah jauh di atas pokok kelapa dan tidak nampak nenek itu mentertawakan dia. Mat Jenin semakin kuat berangan-angan, "Kalau aku sudah dapat membela lembu, tentu aku dapat mengupah orang untuk menjaga lembu-lembu itu sehingga beranak pinak. Jadi aku akan dapat lebih banyak lembu, aku akan jadi kaya. Tak perlulah aku susah payah berkerja lagi . Bolehlah aku membela kerbau pula nanti." Sekali lagi dia memekik ke bawah, "Nenek! kalau saya sudah banyak lembu bolehlah saya tukarkan dengan kerbau pula ye, nenek. Kayalah saya masa itu." Sekali lagi nenek itu menjawap, "Betul tu cu." "Kalau cu sudah kaya bolehlah cucu berkahwin." tambahnya lagi. Mat Jenin mengangguk-anggukkan kepalanya, "Kawin!" Dia terus memanjat semakin tinggi meninggalkan nenek itu sayup-sayup di bawah sana.
Ya!Ya! Kalau selama ini tidak ada perempuan yang ingin memandang mukanya kerana kemiskinannya, tentu akan berebut-rebutlah perempuan yang gilakannya setelah dia kaya nanti. Tetapi, masa itu dia tidak akan melayan perempuan- perempuan itu. Dia sudah pun kaya dan tentu dia dapat memilih siapa calon isterinya nanti. Ya! Ya! dia sudah tentu memilih isterinya dari perempuan-perempuan yang istimewa. Dia akan memilih puteri raja. "Nenek! Saya akan kahwin dengan puteri raja." jeritnya ke bawah.

Jawapan nenek itu hanya sayup-sayup, tidak didengarinya kerana dia sudah pun tinggi di atas pokok kelapa. "Tentu aku akan mempunyai ramai anak." fikirnya lagi sambil tersenyum- senyum. "Dan mereka akan berlari-lari membuat bising. Isteri aku tentu akan mengidamkan perhiasan emas dan meminta dari aku. tetapi aku tidak akan beri. Kalau dia membuat bising, tentu aku akan tampar dia seperti ini." Serentak dengan itu Mat Jenin melepaskan pelukannya dan menampar pelepah kelapa itu sambil menengking "Jangan nak mengada mintak barang kemas dari aku.", dan ketika itu bertempiaranlah seekor tupai yang sedang menyorok di celah pelepah kelapa itu, mengejutkan Mat Jenin dari angan-angannya itu. Mat Jenin terkejut besar sehinggakan terlepaslah pegangannya dari pokok kelapa itu.Maka jatuhlah dia dari pokok kelapa itu sampai ke bawah, berdebuk seperti buah kelapa tua yang luruh bunyinya.

Terkejutlah nenek tua itu melihatkan Mat Jenin terjatuh dan bersegeralah dia meluru untuk memberikan pertolongan Malangnya MatJenin telah mati di situ juga. Maka dengan itu tamatlah riwayat Mat Jenin yang terlampau suka berangan-angan sehinggakan menjadi mangsa angan-angannya itu sendiri. Demikianlah diceritakan orang kisah Mat Jenin yang malang.

Pengajaran yang didapati ialah:
1.Jangan berangan-angan
2.Buat kerja dengan bersunggug-sungguh
3.Jangan lalai ketika membuat sesuatu pekerjaan.

Angsa Budiman

Kononnya, pada suatu hari Raja Sulaiman menitahkan burung belatuk memanggil sekalian haiwan supaya menghadap baginda. "Perintahkan semua haiwan datang ke istana beta. Sudah lama beta tidak bertemu dengan sekalian haiwan," kata baginda. Tanpa berlengah lagi, terbanglah Sang Belatuk ke segenap penjuru rimba. Tuk! Tuk!uk! Sang Belatuk mengetuk batang pokok. "Apa berita yang engkau bawa, wahai Sang Belatuk?" tanya sekalian haiwan. "Aku membawa titah perintah daripada Raja Sulaiman. Baginda menitahkan semua haiwan pergi menghadapnya di istana," ujar Sang Belatuk. Selepas itu, Sang Belatuk terbang ke tempat lain pula. Tuk! Tuk! Tuk! Sang Belatuk ngetuk batang pokok. Begitulah caranya burung belatuk membawa berita kepada sekalian haiwan. Semua haiwan berasa gembira apabila mengetahui berita itu. Mereka akan berlumba-lumba untuk pergi ke istana Raja Sulaiman. Mereka sangat gembira jikalau dapat menghadap Raja Sulaiman. Baginda akan mengurniakan hadiah kepada sekalian haiwan.


Namun, ada juga sesetengah haiwan yang enggan pergi menghadap Raja Sulaiman. "Istana Raja Sulaiman itu tersangat jauh. Matilah aku di tengah perjalanan sebelum dapat sampai ke sana," kata segelintir haiwan yang sengaja mencari helah. Haiwan yang ingkar itu akan dijatuhi hukuman berat oleh Raja Sulaiman. Tersebutlah kisah seekor angsa. Sang Angsa sangat gembira apabila menerima berita Setelah beberapa lama berjalan, Sang Angsa tiba di tebing sungai. "Kalaulah aku pandai berenang, nescaya aku boleh cepat sampai ke istana Raja Sulaiman," kata Sang Angsa dalam hatinya. Sang Angsa ketika itu masih belum pandai berenang. Terpaksalah Sang Angsa terus berjalan perlahan-lahan.


Di pertengahan jalan, Sang Angsa terserempak dengan seorang perempuan tua. Perempuan tua itu sedang menangis "Mengapa mak cik menangis?" tanya Sang Angsa. Perempuan itu lalu memberitahu, "Aku tersangat lapar. Bekalan makananku sudah bis." Sang Angsa bersimpati pada perempuan itu. "Janganlah mak cik bersedih. Saya akan tinggal di sini selama beberapa hari untuk bertelur. Telur saya boleh mak cik jadikan sebagai makanan," ujar Sang Angsa. Tinggallah Sang Angsa itu di situ selama beberapa hari.

Setiap hari Sang Angsa bertelur sebiji. Perempuan tua itu sangat gembira kerana dia sudah memperoleh bekalan kanan. daripada Sang Belatuk itu"Inilah kali pertama aku berpeluang untuk berjumpa Baginda Raja Sulaiman!" ujar Sang Angsa dengan penuh gembira. Kononnya, Sang Angsa ketika itu berbulu hitam dan masih berleher pendek. "Engkau hodoh! Engkau tidak layak masuk ke dalam istana Raja Sulaiman," Sang Biawak mengejek. Sang Angsa sangat bersedih hati mendengar ejekan itu. Namun, Sang Angsa tidak mempedulikan ejekan tersebut. Tanpa berlengah lagi, Sang Angsa berjalan perlahan-lahan menuju ke istana Raja Sulaiman.


"Tentulah aku akan lewat menghadap Raja Sulaiman," fikir Sang Angsa. Sang Angsa berasa sedih. Namun, Sang Angsa tidak mahu perempuan tua itu mati kerana kelaparan. Beberapa hari kemudian, perempuan tua itu memberitahu Sang Angsa, "Sekarang bolehlah engkau pergi ke istana Raja Sulaiman. Baki telur yang ada ini sudah cukup untuk mak cik." Perempuan tua itu mengucapkan terima kasih kepada Sang Angsa. "Engkau adalah seekor angsa yang sungguh budiman," kata perempuan tua itu lagi. Sang Angsa lalu meneruskan perjalanannya. Semua haiwan sudah berada di istana Raja Sulaiman. Sang Angsa tiba, tetapi sudah sangat terlewat. "Beritahu pada beta, mengapa engkau lambat sampai?" Raja Sulaiman bertitah kepada Sang Angsa.


 Sang Angsa sangat ketakutan. Namun, Sang Angsa menceritakan perkara sebenar yang telah terjadi itu kepada Raja Sulaiman. Baginda Raja Sulaiman berasa sangat sukacita kerana Sang Angsa telah menolong perempuan tua itu. "Engkau adalah seekor angsa yang sangat budiman," ujar Raja Sulaiman. "Sekarang beta akan kurniakan hadiah sebagai balasan atas budi baik kamu," kata ja Sulaiman. Sang Angsa sangat gembira.Kamu akan menjadi seekor haiwan yang berleher panjang," ujar baginda lagi.


Terkejutlah Sang Angsa mendengar kata-kata itu. Semua haiwan ketawa berdekah-dekah. Mereka menyangka Sang Angsa akan menjadi seekor haiwan yang lebih hodoh. Tetapi sangkaan itu salah! Sang Angsa menjadi haiwan yang sangat cantik. Lehernya panjang, bulunya putih, dan pandai pula berenang. Sang Biawak pula dijatuhi hukuman oleh Raja Sulaiman kerana pernah mengejek Sang Angsa. Lidahnya menjadi panjang, suka terjelir, dan bercabang. Kononnya, itulah sebabnya sampai sekarang angsa menjadi haiwan cantik, berbadan putih bersih, suka berenang, dan dipelihara oleh manusia. Biawak pula terpaksa tinggal di dalam hutan kerana berasa malu. Selain itu, biawak juga suka makan telur kerana kononnya sangat marah pada angsa, ayam, dan itik.

Pak Kaduk

Sebermula, maka adalah sebuah negeri bernama Cempaka Seri, rajanya bernama Indera Sari. Maka baginda itu cukup lengkap seperti adap istiadat kerajaan yang lain-lain juga, akan tetapi ada pun tabiat baginda itu terlalulah suka menyombong dan berjudi, sehingga menjadi suatu amalan pada baginda itu. Dengan hal yang demikian, habislah sekalian rakyat seisi negeri itu menjadi asyik leka dengan berjudi juga pada setiap masa tiada sekali-kali mengambil bena kepada mendirikan syariat Nabi Sallallahu alaihi wasalam kerana raja-raja dan orang besar-besarnya terlalu amat suka mengerjakan pekerjaan maksiat itu.


Maka adalah pula seorang tua sedang pertengahan umur namanya Pak Kadok, tinggal ditepi sungai ujung negeri itu juga. Ada pun akan Pak Kadok ini terlalu dungu serta dengan tololnya. Maka adalah kepada suatu hari Pak Kadok berkata kepada isterinya, aku ini mak Siti ingin pula rasanya hendak pergi menyambung kegelanggang baginda itu kerana terlalulah suka pula aku melihatkan orang menyambung beramai-ramai di situ. Mari kita sambung ayam biring Si Kunani kita itu, kerana ayam itu pada petuanya terlalu bertuah. Boleh kita taruhkan kampung kita kepada baginda. Kalau menang kita tentulah kita mendapat duit baginda itu.


Maka ujar isteri Pak Kadok, jikalau begitu baiklah, pergilah awak menyambung, bawa ayam kita itu.
Maka sahut Pak Kadok, jahitkanlah baju dan seluar aku dahulu dari kertas yang baru kubeli ini. Lekaslah menjahitnya. Maka kata isterinya, bagaimana awak hendak membuatkan baju dan seluar ini. Jikalau dipakai kelak tentulah carik bertelanjang tengah gelanggang sambungan itu. Bukankah awak malu besar? Ujar Pak Kadok, tiada mengapa. Buatkan juga lekas-lekas aku hendak pergi. Setelah itu isteri Pak Kadok pun segeralah mengambil gunting lalu mengguntingkan seluar dan baju itu dengan tiada berdaya lagi.


Maka kata Pak Kadok, usahlah di jahit, pelekat sahajalah supaya cepat. Serta lepas digunting oleh isterinya itu dengan sesungguhnya dilekatlah olehnya. Apabila sudah, lalu diberikan kepada Pak Kadok, maka ia pun segeralah memakai pakaiannya sedondon iaitu berbunga tanjung, merah, kuning, hitam dan putih, terlalu hebat rupanya, tambahan pula berkena tengkolok helang menyongsong angin. Apatah lagi tampaknya Pak Kadok seperti juara yang maha faham pada sambung menyambung. Setelah sudah bersedia sekaliannya, Pak Kadok pun lalu turun menangkap ayamnya biring Si Kunani itu, serta dengan tabung tajinya, lalu berjalan menuju kegelanggang baginda itu. Selang tiada berapa lamanya, ia pun sampailah ketengah medan menyambung itu.
Sehingga setelah dilihat oleh baginda akan Pak Kadok datang itu, maka dikenallah oleh baginda seraya bertitah, Hai Pak Kadok, apa khabar? Menyambungkah kita? Maka sembah Pak Kadok pun segeralah menyembahkan ayamnya itu lalu disambutkan oleh baginda serta diamat-amati.


Diketahuilah oleh baginda tersangat bertuah ayam Pak Kadok itu. Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok biring Si Kunani sahaja tiada berapa tuahnya. Setelah didengar oleh Pak Kadok akan titah baginda menggula dirinya itu, percayalah ia. Maka sembahnya Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, jikalau sudah dengan titah duli yang maha mulia, relalah patik, seperti titah itu sedia terjunjung di atas jemala ubun-ubun patik.


Pada akhirnya lalu bertukarlah keduanya akan ayam masing-masing. Maka sangatlah sukacita baginda beroleh ayam Pak Padok itu. Maka baginda pun bertitah kepada juara-juaranya menyuruh bulang ayam itu. Maka Tok Juara tua pun lalulah membulang balung ayam biring Si Kunani yang bertukar dengan pak Kadok itu mengenakan taji bentok alang serta dengan berbagai-bagai isyarat dan petuanya. Maka Pak Kadok pun segeralah membulang ayamnya bertukar dengan baginda itu, iaitu tuntung tajinya dihalakan kehadapan dan putingnya kebelakang. Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyambung ayam ini? Soronglah dahulu supaya beta lihat.


Maka sembah Pak Kadok, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, patek ini tiada harta apa harta yang ada, hanya kampong sebuah itu sahaja. Jikalau ada ampun dan kurnia kebawah dulu Tuanku, kampong itulah patik gadaikan kebawah duli Tuanku menjadi tanggungan memohonkan berhutang kadar lima puluh rial. Maka titah baginda, baiklah. Lalu dikurniakan oleh baginda wang yang sebanyak permintaan Pak Kadok itu kepada dengan memegang gadaian kampung itu. Telah sudah, baginda pun menyorongkan taruhnya lima puluh rial juga, jumlahnya seratus rial. Maka serta sudah, baginda pun mengajak Pak Kadok melepaskan ayam masing-masing. Sembah Pak Kadok, silakanlah Tuanku.


Maka baginda pun lalulah menguja-uja ayam keduanya itu. Maka naiklah bengis keduanya, serta meremang bulu suak ditengkuknya, lalulah bersama-sama melepaskan ayam masing-masing. Maka ayam biring Si Kunani pun datanglah menggelepur ayam jalak. Dan Si Jalak pun segeralah membalas pula, tetapi kasihan,sungguh pun Si Jalak membalas, percuma saja kerana tajinya dibulang oleh Pak Kadok, juara tuntungnya kehadapan dan putingnya kebelakang. Jadinya bila Si Jalak membalas itu tertikamlah pada dadanya sendiri lalu tersungkur menggelupur ditengah gelanggang itu, kerana dua liang sudah lukanya sekali terkena tikam oleh taji Si Biring dan sekali ditikam oleh tajinya sendiri.


Setelah Pak Kadok melihatkan ayam jalak sudah mati dan Si Biring itu menang maka ia pun lupalah akan hal ia telah bertukar dengan baginda tadi. Wah apatah lagi ia pun tiadalah sedarkan dirinya seraya bertepuk tangan dan bersorak serta melompat-lompat lalu menyerukan tuah ayamya itu. Maka oleh tersangat bertepuk dan melompat itu, habislah pecah bercarik-carik seluar dan baju kertasnya itu, bercabiran berterbangan oleh angin berkeping-keping kesana kemari bercampang-camping. Maka Pak Kadok pun tinggallah berdiri ditengah khalayak yang banyak itu dengan bertelanjang bogel sahaja. Hatta demi dilihat oleh baginda dengan sekalian orang besar-besar dan rakyat, tentera hina dina sekalian akan hal Pak Kadok ini, semuanya tertawa serta bertepuk tangan dengan tempek soraknya kesukaan melihat temasya Pak Kadok itu. Demikian juga baginda pun tertawa bersama-sama.


Maka ada pun akan Pak Kadok, demi ia melihat sekalian mereka itu habis tertawa, ia pun tercengang pula kerana pada sangkanya mereka itu menumpang kesukaan dirinya itu. Kemudian apabila ia menoleh kepada tubuhnya, barulah diketahuinya akan dirinya bertelanjang bulat itu. Aduhai! Malunya yang amat sangat lalu ia berkerja lari dengan bersungguh-sungguh hati, lansung pulang ke rumahnya. Maka baginda pun berseru dengan nyaring suaranya. Inilah malang Pak Kadok, ayamnya menang, kampung tergadai.


Maka baginda dengan sekalian yang ada di dalam medan sabung itu pun kembalilah masing-masing kerumahnya. Ada pun akan Pak Kadok lari itu tiadalah ia memandang lagi kekiri kekanan. Serta ia sampai kerumahnya seraya terpandang oleh Mak Siti, maka terpanjatlah orang tua itu seraya berkata, Apa kena awak, Pak Kadok seperti orang gila ini?


Maka oleh Pak Kadok di kabarkannya ialah daripada awal hingga keakhirnya. Serta didengar sahaja oleh isterinya akan hal suaminya itu, ia pun menagislah kerana mengenangkan untungnya yang malang itu dengan berbagai-bagai sungut leternya akan Pak Kadok oleh kebodohannya itu. Maka Pak Kadok pun diamlah terkosel-kosel, tiada berani menjawab akan isterinya lalu ia pergi membuat kerjanya sehari-hari itu juga.
Sekali peristiwa Pak Kadok dijemput oleh orang makan kenduri. Mula-mula datang orang yang dihilir sungai tempatnya tinggal itu mempersilakan Pak Kadok kerumahnya pada esok hari, waktu zohor iaitu makanannya seekor kerbau. Maka katanya Baiklah. Setelah mereka itu sudah kembali, ada seketika datang pula orang dari hulu sungai itu menjemput Pak Kadok kerumahnya pada esok hari juga tatkala tengah hari muda, iaitu jamuannya memotong lembu dua ekor pula. Itu pun disanggupnya juga.


Telah hari malam, Pak Kadok pun tidurlah kedua laki isteri. Ada pun adapt pak Kadok telah lazim padanya setiap pagi memakan nasi dingin yang telah direndam oleh isterinya pada malam itu. Apabila sudah makan nasi yang tersebut itu, barulah ia pergi barang kemana-mana membuat kerjanya. Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi pak Kadok pun bangunlah bersiap memakai, lalu turun memikul pengayuh berjalan menuju kepangkalan. Serta dilihat oleh isterinya ia pun menyeru akan suaminya katanya, Hai Pak Siti, tidakkah hendak makan nasi rendam ini lagi? Sementangkan nak makan lembu dan kerbau nasi ini ditinggalkan sahaja. Maka sahut Pak Kadok, Tak usahlah, curahkan ketanah biar dimakan oleh ayam kita. Maka oleh isterinya dengan sebenar nasi itu dibuangnya ketanah, dan Pak Kadok pun turun keperahu lalu berkayuh.


Ada pun pada masa itu air sungai sedang surut terlalu amat derasnya. Maka Pak Kadok berfikir di dalam hatinya, kemana baik aku pergi. Jika ke hilir tiada penat dan teruk aku berkayuh, hanya menurutkan ayir dihilir sahaja, tetapi kerbau seekor kemanakah padanya. Kalau begitu baiklah aku mudek juga. Ia pun lalu berkayuh mudek menongkah air surut itu dengan terbengkil. Apabila penat dia berhenti sambil berfikir pula, dan perahunya hanyut balik kehilir setanjung dua tanjung jauhnya berkayuh pula. Demikianlah hal Pak Kadok, kayuh-kayuh berhenti dengan berfikir juga.


Beberapa lamanya air pun tenang surut. Hampir akan pasang baharulah Pak Kadok sampai kerumah jemputan itu, tetapi apalah gunanya. Sia-sia sahajalah penat jerehnya itu kerana matahari pun telah zuhur, jamuan itu pulang ke kampung masing-masing. Maka apabila terlihat oleh tuan rumah akan Pak Kadok datang itu, ia pun berkata, Amboi kasihannya di hati saya oleh melihatkan penat sahaja Pak Kadok datang, suatu pun tidak ada lagi, yang ada semuanya telah habis. Malang sungguhlah Pak Kadok ini. Telah didengar oleh Pak Kadok, maka ujarnya, sudahlah apa boleh buat. Sahajakan nasib saya.


Maka ia pun berkayuhlah hilir pula, hasratnya hendak mendapatkan rumah yang memotongkan kerbau itu pula, tetapi air sudah pasang deras. Maka Pak Kadok pun berkayuhlah bersungguh-sungguh hatinya menongkah air pasang itu, terbengkil-bengkil di tengah panas terik dengan lapar dahaganya. Tetapi kerana bebalnya itu tiadalah ia mahu singgah kerumahnya langsung sahaja ia kehilir, hendak segera menerpa kerbau yang lagi tinggal itu. Sehingga air pasang hampir akan surut, barulah Pak Kadok sampai kesana pada waktu asar rendah dan sekalian orang jemputan pun sedang hendak turun berkayuh pulang kerana sudah selesai jamuan itu.


Maka apabila dilihat oleh Pak Kadok akan hal itu ia pun tiadalah hendak singgah lagi kerumah orang kenduri itu, lalu ia memaling haluan perahunya, langsung berkayuh mudek dengan rungutnya seperti baung dipukul bunyinya, kerana terlalu amat penatnya terpaja-paja ke hulu kehilir di tengah panas terik itu, perut pun sudah kebuluran dan mata Pak Kadok naik berbinar-binar, tambahan pula mudek itu pun menongkah juga. Maka pada waktu senja baharulah ia sampai kepangkalannya seraya menambat perahu dan naik ke rumah. Shahadan, apabila dilihat oleh isterinya akan muka suaminya masam dan diam tiada berkata-kata, maka ia pun menyeru akan Pak Kadok, katanya apakah agak sebabnya orang pergi memakan lembu dan kerbau ini masam sahaja? Apa lagi yang kekurangan? Perut sudah kenyang makan daging.


Maka berbagai-bagai bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun naiklah metanya, serta mengambil kayu api dan berkata, kenyang memakan kepala bapa engkau. Lalu ia memalu kepala isterinya. Dengan takdir Allah, sungguh pun sekali pukul sahaja, isteri Pak Kadok pun rebah lalu mati. Setelah dilihat oleh Pak Kadok isterinya sudah mati, ia pun merebahkan dirinya disisi isterinya itu lalu menangis mengolek-golekkan dirinya seraya berkata, aduhai malang nasibku ini, sudahlah penat berkayuh kehulu kehilir, mana kebuluran, sampai kerumah isteriku pula mati oleh perbuatanku juga. Maka berbagai-bagailah bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun menjemput segala pegawai akan menanamkan isterinya itu.


Setelah selesai daripada pekerjaan itu, maka Pak Kadok pun berniat hendak pindah dari rumahnya, bertandang duduk barang kemana-mana rumah yang lain, asalkan boleh ia meninggalkan kampung halamannya itu sudahlah, kerana fikirannya dari sebab ia tinggal di rumah dan kampungnya itulah, maka ia beroleh kemalangan yang begitu sialnya. Setelah tetaplah fikirannya yang demikian, maka Pak Kadok pun mengemaskan sekalian harta bendanya lalu diangkatnya turun keperahu. Serta bersedia ia pun melangkah dengan tauhid hatinya meninggalkan kampung halaman dengan rumah tangganya, akan berpindah ke kuala sungai itu menumpang duduk di rumah seorang handainya disana.


Arakian, Pak Kadok pun membabarkan layarnya seraya menujukan haluan perahunya ke kuala. Tetapi kasihan. Percumalah penat jereh Pak Kadok membentang layar dan mengemudikan perahunya itu, dari kerana sungguh pun pada masa ia menarik layar tadi angin paksa sedang kencang bagus, tetapi serta layarnya sudah sedia, angin pun mati seperti direnti-rentikan oleh yang hasad akan Pak Kadok lakunya. Maka perahu Pak Kadok pun hanyutlah terkatong-katong kehulu kehilir, ketengah dan ketepi menantikan angin. Beberapa lamanya dengan hal yang demikian, hari pun hampirlah akan petang, tubuh Pak Kadok terlalu amat letih dan lesunya. Lama kelamaan datang bebal hatinya serta merampas lalu ia menurunkan layer dan melabuh sauhnya seraya membentangkan kajang berbaring-baring melepaskan jerehnya.


Maka dengan kudrat Allah yang maha kaya menunjukkan kemalangan nasib Pak Kadok, angin paksa pun turunlah berpuput dengan ugahari kencangnya seolah-olah khianatkan Pak Kadok lakunya. Tetapi sia-sialah sahaja puputan bayu yang sedemikian itu moleknya hingga menjadi paksa yang maha baik dengan sebab kemalasan menjadi kemalangan bagi diri Pak Kadok, hingga ditaharkan perahunya ulang-aling di palu oleh ombak dengan gelombang ditengah sungai itu, seraya berkata Cheh! Angin bedebah ini sahajakan ia hendak menunjukkan makarnya kepada aku. Sedanglah sudah sehari suntuk aku hanyut, tak mahu turun, agaknya oleh tegar hatiku. Biarlah tak usah aku belayar, asalkan puas rasa hati ku. Jangan aku menurutkan kehendak engkau.


Kemudian ia pun tidurlah dengan terlalu amat lenanya kerana lelah dan kelaparan. Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi Pak Kadok pun bangunlah membongkar sauhnya seraya berkayuh perlahan-lahan seharian itu, hingga petang barulah ia sampai kerumah sahabatnya itu, seraya mengangkat sekalian barang-barangnya naik kesitu. Maka tinggallah Pak Kadok menumpang di rumah handainya itu selama-lamanya dengan tiada sekali-kali ingatannya hendak kembali kekampung halamannya dari sebab bodohnya.


Maka dari kerana kemalangan diri Pak Kadok itu sentiasa di perbuat orang akan bidalan oleh sekalian mereka pada zaman sekarang dengan seloka, demikianlah bunyinya: Aduhai malang Pak Kadok! Ayamnya menang kampung tergadai Ada nasi di curahkan Awak pulang kebuluran Mudek menongkah surut Hilir menongkah pasang Ada isteri di bunuh Nyaris mati oleh tak makan Masa belayar kematian angin Sudah di labuh bayu berpuput Ada rumah bertandang duduk.