
Si
Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si
Tanggang. Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu
berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Pada suatu hari, Si
Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang
berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda
kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu
terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan
bekerja.
Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si
Tanggang belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah.
Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya. Si
Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda.
Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang
pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si
Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda
Tanggang. Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi
terkenal. Oleh itu dia dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama
kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang
membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.
Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung
asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang.
Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya. “ Anak kita sudah pulang.
Marilah kita pergi tengok” kata Si Talang. “ Ya, aku rindukan Si
Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, “ kata Deruma dengan
gembira. Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke
kapal Nakhoda Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si
Tanggang, iaitu pisang salai. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal
melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan
isterinya.
“ Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya Si Tanggang kepada anak
kapalnya. “ Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,” jawab anak kapal itu.
“ Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ?” tanya isteri Si Tanggang.
Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu
bapanya. Kesusahan dan kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma
kelihatan begitu uzur dan daif sekali. “ Ibu bapa kanda? Oh, tidak!
Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan ibu bapa kanda.
Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal !” herdik Si Tanggang.
Mukanya merah padam kerana malu dan marah.
“ Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai kegemaranmu, nak “ kata Si Deruma.
“ Pergi! “ tengking Si Tanggang. Dia memukul jari ibunya yang bergayut
pada bahagian tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya, dibuang ke
laut. Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh
tidak disangka anak kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun
berdayung ke tepi. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke
langit. Sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dia berseru “ Oh,
Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya.”
Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang
berlabuh itu terumbang-ambing. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal.
Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima
balasannya kerana telah menderhaka.
“ Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!' teriak Si Tanggang.
Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat
memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang menjadi
batu. Semua anak kapal juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan
isterinya turut menjadi batu.