Pendaftaran Murid Tahun 1 dan Jualan Buku 2014

Pendaftaran Tahun Satu sesi 2014 telah diadakan pada 31 Disember 2013.  Murid-murid diberikan ujian saringan untuk menentukan tahap kebolehan mereka. Ibubapa pula telah diberikan taklimat berkaitan Program Linus dan KSSR. Selain itu ibubapa juga diberikan panduan berkaitan pengisian kad kesihatan dan juga kad gigi oleh oktor yang berkaitan. Jualan buku juga telah diadakan selama dua hari iaitu pada 30 dan 31 Disember 2013 untuk semua kelas.

 Pertama kali masuk ke kelas..termenung
 Ibubapa mendengar taklimat dan ceramah kesihatan ketika anak-anak mengambil ujian saringan.
 Tekun mendengar arahan guru ketika ujian dijalankan.
 Ibubapa khyusuk mendengar taklimat yang diberikan.
 Guru Tahun 1 sedang memberi penerangan.
 Ceramah pendek berkaitan kesihatan pelajar & gigi disampaikan oleh dua doktor berkaitan.
 Bimbingan kepada pelajar yang kurang faham.
 Lawatan di persekitaran kawasan sekolah.
 Mewarna dan mencari benda tersembunyi sementara menunggu ibubapa mentelesaikan pembelian buku.

 Suasana di tempat penjualan buku tulis dan buku aktiviti

Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri

Sekolah kamu telah mengadakan kempen menjaga kebersihan diri. Kamu sebagai ketua murid diminta menyampaikan ucapan tentang cara-cara menjaga kebersihan diri.


***   ***   ***   ***   ***

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Tajuk ucapan saya pada pagi ini ialah  "Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri".

Hadirin sekalian,

Menjaga kebersihan diri amat penting untuk kebahagiaan hidup kita. Kita mesti memastikan telinga sentiasa bersih kerana telinga juga boleh mengalami pelbagai penyakit jika tidak dibersihkan dengan sebaiknya. Kita perlu membersihkan telinga sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan menggunakan putik kapas yang lembut.

Selain itu, kita mesti mandi pada setiap hari supaya badan kita bersih serta mengelakkan daripada terkena penyakit kulit dan berbau. Badan yang bersih akan menjadi kita sihat dan selesa.

Kita perlu menggosok gigi sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Kebersihan gigi amat penting untuk mengelakkan daripada kerosakan gigi serta menjadikan kita lebih berkeyakinan semasa bergaul dengan orang ramai.

Kita hendaklah memotong kuku kerana kuku yang panjang boleh menyimpan kekotoran. Kotoran yang melekat pada kuku yang panjang itu mengandungi kuman yang boleh tersebar ke dalam badan kita semasa kita makan. Ini akan menyebabkan kita terkena penyakit seperti cirit-birit dan sebagainya.

Hadirin sekalian,

Kita perlu menjaga kebersihan rambut dengan menggunakan syampu untuk membersihkan rambut kita. Rambut yang bersih tidak mudah dihinggapi kelemumur, kutu dan penyakit kulit kepala.

Kesimpulannya, menjaga kebersihan diri amat penting kepada manusia. Oleh itu, kita mestilah mengambil berat tentang kebersihan diri untuk keselesaan dan kebahagiaan hidup kita.

Sekian, terima kasih.

Tanggungjawab Anak-anak Terhadap Ibu Bapa

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru, serta rakan-rakan sekalian. Tajuk Ucapan saya pada pagi ini ialah  "Tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa".

Hadiran sekalian,

Anak-anak mestilah bertanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa yang telah membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang. Antara tanggungjawab tersebut ialah menghormati ibu bapa dengan sepenuh hati.

Kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada ibu bapa seperti bersalaman dengan mencium tangan apabila berjumpa atau semasa ingin berpisah dengan mereka. Bertuturlah dengan sopan apabila berbual dengan ibu bapa sebagai tanda menghormati mereka.

Sebagai anak, kita mestilah menjaga nama baik ibu bapa dengan menjaga tingkah laku atau moral. Elakkan daripada memalukan ibu bapa seperti melanggar disiplin sekolah dan sebagainya.

Rakan-rakan sekalian,

Ibu bapa terlalu banyak tugas dalam mengurus keluarga setiap hari. Oleh itu, kita mesti membantu ibu bapa seperti membasuh pinggan, mengemas rumah, dan sebagainya lagi. Dengan ini, beban kerja yang ditanggung oleh mereka akan menjadi lebih ringan, di samping dapat menambahkan kasih sayang antara setiap ahli keluarga.

Anak-anak juga perlulah berusaha mengembirakan hati ibu bapa. Antara caranya ialah dengan belajar bersungguh-sungguh kerana ibu bapa sudah pasti ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Janganlah mengecewakan harapan mereka dengan bermain-main semasa belajar dan sebagainya.

Di samping itu, anak-anak mestilah senantiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa. Sesungguhnya jasa mereka tidak akan terbalas dengan apa cara sekalipun. Oleh hal yang demikian, amat wajarlah kita mendoakan kesejahteraan mereka terutamanya setiap kali selepas sembahyang.

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyeru rakan-rakan agar hormatilah dan sayangilah ibu bapa kita. Janganlah kita lupa akan jasa mereka apabila besar atau berjaya dalam kehidupan nanti. Ingatlah, pemergian ibu bapa kita tidak akan ada gantinya.

Sekian, terima kasih.

Cara-cara Mengelakkan Kepupusan Haiwan Liar

Kepupusan spesies haiwan semakin membimbangkan. Oleh itu, haiwan liar wajarlah dilindungi untuk mengelakkan nasib yang sama seperti dinosaur berulang.

Antara langkah untuk mengelakkan perkara ini adalah dengan mengekalkan atau menambahkan lagi hutan simpan sedia ada. Haiwan-haiwan ini perlu berada dihabitatnya bagi pembiakan yang berterusan .

Di samping itu, undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan menghukum sesiapa sahaja yang memelihara, menangkap atau membunuh haiwan-haiwan ini tanpa kebenaran pihak kerajaan.

Selain itu, aktiviti pemburuan mestilah diluar kawasan rizab sahaja. Penguatkuasaan ini dapat mengelakkan aktiviti pemburuan yang tidak terkawal.

Seterusnya usaha pembiakan spesies terancam perlulah dipergiatkan. Haiwan yang berjaya dibiakkan juga perlu dibebaskan ke habitat asal dengan dipantau dari semasa ke semasa.

Penubuhan pusat kajian haiwan-haiwan liar juga perlu diwujudkan bagi membekalkan maklumat secukupnya untuk penyelidikan dan pendidikan pada masa akan datang. Ini akan membolehkan usaha-usaha perlindungan haiwan ini lebih berkesan.

Akhir sekali, hidupan liar yang menceroboh kawasan kebun umpamanya perlulah dipindahkan segera ke zoo atau sebagainya. Ini kerana apabila keadaan ini terjadi, haiwan berkenaan akan ditangkap atau dibunuh.

Kesimpulannya, hidupan liar yang kian terancam perlulah dilindungi sebaik mungkin bagi memastikan generasi akan datang terus dapat menikmati keindahan alam yang tidak ternilai ini.

Majlis Perpisahan Tahun Enam

Anda selaku ketua darjah diminta menyampaikan ucapan dalam majlis perpisahan untuk murid-murid Tahun Enam.
____________________________________________________________________________

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini.

Hadirin sekalian,

Sudah hampir 6 tahun kami berada di sekolah ini. Jika menghitung hari persekolahan, bermakna tinggal 6 hari lagi kami menjadi warga sekolah ini. Justeru, kami terpaksa mengucapkan  selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi walaupun kami masih terlalu sayang untuk meninggalkan sekolah ini.

Kami amat menghargai akan jasa guru-guru di sekolah ini yang mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan megira. Kami akan sentiasa mengingati pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara.

Hadirin sekalian .

Budi yang guru-guru taburkan tidak mampu kami membalasnya. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru itu. Kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti.

Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Kami berasa sangat sedih kerana terpaksa meniggalkan sekolah ini. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat kami.

Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap pantun daripada saya;

Ramai orang menanam padi,
Padi ditanam hingga ke seberang,
Banyak budi perkara budi,
Budimu guru dikenang orang.

Sekian, terima kasih.

Sambutan Hari Kemerdekaan ke 53






















Majlis Persaraan Pn Hjh Haslinda bt Halid ( Guru Besar )


 Kenangan bersama sebahagian guru besar( perempuan ) Daerah Manjung
 Bersama guru-guru & kakitangan SK St Francis
 Hadiah kenangan daripada murid-murid
 Bersalaman dengan murid-murid
 Jasamu dikenang cikgu!
 Lambaian terakhir kepada murid-murid SK St Francis
Semoga berjumpa lagi..jauh di mata dekat di hati..

Cara-cara Memperoleh Kejayaan Cemerlang Dalam Pelajaran

Setiap pelajar mempunyai impian untuk berjaya dalam pelajaran. Bagaimanapun, ramai pelajar gagal menggunakan cara-cara yang sesuai untuk mencapai hasrat tersebut.

Antara cara untuk memperoleh kecemerlangan dalam pelajaran ialah membuat jadual aktiviti harian. Jadual ini akan memudahkan pelajar menguruskan aktiviti harian dan membolehkan mereka memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin.

Selain itu, para pelajar perlulah rajin mengulang kaji pelajaran bagi memastikan mereka terus mengingati dan memahami topik pelajaran yang telah dipelajari. Mereka juga harus rajin membaca kerana membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan pembendaharaan kata.

Di samping itu, pelajar juga mestilah menghadiri aktiviti-aktiviti kecemerlangan yang diadakan oleh pihak sekolah seperti kelas tambahan, kelas motivasi dan sebagainya. Aktitivi seperti ini akan memantapkan pemahaman dan kemahiran para pelajar dalam pelajaran.

Seterusnya pelajar juga hendaklah menumpukan perhatian kepada pengajaran guru di kelas bagi mengelakkan ketinggalan dalam pelajaran. Jika kurang faham akan sesuatu topik, pelajar harus segera bertanyakan guru supaya masalah tersebut dapat diselesaikan segera.

Kesimpulannya, setiap pelajar inginkan kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Oleh itu, pelajar haruslah bijak  memilih cara-cara yang sesuai, selain berusaha dengan tekun dan gigih demi mencapai impian tersebut.

Kebaikan Menyimpan Wang di Bank

Kita amat digalakkan untuk menyimpan wang di bank kerana banyak kebaikannya. Bagi membolehkan kita menyimpan wang di bank, kita perlulah membuka akaun bank di mana-mana bank seperti Bank Simpanan Nasional, MayBank, Tabung Haji dan lain-lain bagi.

Antara kebaikan menyimpan wang di bank ialah simpanan kita dijamin selamat. Kita tidak perlu risau tentang keselamatan wang simpanan kita daripada kecurian dan kehilangan kerana semua itu akan ditanggung oleh pihak bank. Begitu juga jika sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran dan banjir, wang kita dijamin selamat di bawah tanggungjawab pihak bank.

Menyimpan wang di bank juga boleh menjamin masa depan kita. Contohnya, kita boleh membiayai perbelanjaan untuk melanjutkan pelajaran di universiti daripada wang simpanan tersebut. Oleh itu, kita mestilah menyimpan wang secara tetap supaya boleh digunakan pada masa yang memerlukan.

Selain itu, kita dapat berjimat-cermat apabila menyimpan wang di bank. Kita tidak akan boros berbelanja kerana sebahagian wang akan disimpan di bank. Ini akan melatih kita menjadi seorang yang pandai menguruskan wang perbelanjaan. Amalan perbelanjaan yang baik akan mengelakkan seseorang itu terjebak dalam masalah hutang dan sebagainya.

Kesimpulannya, amalan menyimpan wang di bank haruskan kita amalkan kerana cara ini amat banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap untuk menyimpan wang di bank demi kehidupan yang lebih terjamin.

Corat-coret Hari Guru 2013