Melengkapkan cerita: Menolong Nurul

Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di tepi jalan. Aku berasa simpati .....


***   ***   ***   ***   ***

Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di tepi jalan. Aku berasa simpati melihat budak itu.

Aku terus menghampiri budak tersebut sambil menuntun basikalku. Rupa-rupanya budak itu ialah anak jiranku, Nurul. Aku memujuk Nurul supaya berhenti menangis. Aku menyuruh Nurul menceritakan apa yang telah berlaku. Rupa-rupanya Nurul ketinggalan bas. Aku cuba mententeramkannya dan berjanji akan membawanya pulang.

Kemudian, aku menyuruh Nurul membonceng basikalku. Nurul kelihatan gembira dengan pelawaanku itu. Selepas itu, aku pun mengayuh basikalku di bawah terik cahaya matahari menuju ke rumahnya yang terletak kira-kira 5 kilometer dari situ. Walaupun memenatkan kerana terpaksa mengayuh basikal lebih berat daripada hari-hari biasa tetapi aku gembira kerana dapat menolongnya.

Setiba di rumahnya, bajuku telah basah lencun dengan peluh. Aku memberhentikan basikalku lalu menyuruhnya turun. Nurul kelihatan amat gembira sekali lalu mengucapkan terima kasih kepadaku sebelum masuk ke rumahnya. Selepas itu, aku terus menuju ke rumahku yang hanya beberapa meter sahaja dari rumahnya.

Setibanya di rumah, aku ditegur oleh ibu bapaku kerana pulang lewat. Namun, selepas aku menceritakan peristiwa tersebut, mereka kelihatan gembira akan sikapku itu. Kata ayahku. "Kita haruslah menolong orang yang kesusahan. Apatah lagi, jika orang itu ialah jiran atau saudara mara sendiri".

Melengkapkan cerita: Membantu Mak Cik Nadia

Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat, aku terus menuju ke pintu pagar sekolah untuk pulang cepat. Ketika dalam perjalanan .....

***   ***   ***   ***   ***

Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat, aku terus menuju ke pintu pagar sekolah untuk pulang cepat. Ketika dalam perjalanan pulang, aku terdengar suara wanita menjerit. Rupa-rupanya beg tangan wanita itu diragut oleh dua orang lelaki bermotosikal. Apa yang mengejutkan wanita itu ialah jiranku Mak Cik Nadia.

Aku terus mencatat nombor plat motosikal yang ditunggang oleh dua orang peragut tersebut. Aku memujuk Mak Cik Nadia supaya bersabar. Nasib baik Mak Cik Nadia tidak mengalami kecederaan yang teruk.

Aku terus ke pondok telefon yang berhampiran untuk menelefon pihak polis. Tidak lama kemudian, beberapa orang polis datang. Meraka membawa aku dan Mak Cik Nadia ke balai polis untuk membuat laporan. Aku memberitahu nombor plat motosikal dan jenis motosikal peragut itu. Aku juga memberitahu yang mereka melarikan diri  ke Jalan Sulaiman. Pihak polis mengucapkan terima kasih kepadaku.

Setelah beberapa jam, pihak polis berjaya memberkas dua orang lelaki tersebut. Pihak polis menghantar aku dan Mak Cik Nadia pulang ke rumah. Ibu bapaku berasa terkejut sebaik sahaja melihat aku keluar daripada kereta polis. Pihak polis menceritakan kepada ibu bapaku apa yang terjadi.

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah 2011