Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri

Sekolah kamu telah mengadakan kempen menjaga kebersihan diri. Kamu sebagai ketua murid diminta menyampaikan ucapan tentang cara-cara menjaga kebersihan diri.


***   ***   ***   ***   ***

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Tajuk ucapan saya pada pagi ini ialah  "Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri".

Hadirin sekalian,

Menjaga kebersihan diri amat penting untuk kebahagiaan hidup kita. Kita mesti memastikan telinga sentiasa bersih kerana telinga juga boleh mengalami pelbagai penyakit jika tidak dibersihkan dengan sebaiknya. Kita perlu membersihkan telinga sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan menggunakan putik kapas yang lembut.

Selain itu, kita mesti mandi pada setiap hari supaya badan kita bersih serta mengelakkan daripada terkena penyakit kulit dan berbau. Badan yang bersih akan menjadi kita sihat dan selesa.

Kita perlu menggosok gigi sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Kebersihan gigi amat penting untuk mengelakkan daripada kerosakan gigi serta menjadikan kita lebih berkeyakinan semasa bergaul dengan orang ramai.

Kita hendaklah memotong kuku kerana kuku yang panjang boleh menyimpan kekotoran. Kotoran yang melekat pada kuku yang panjang itu mengandungi kuman yang boleh tersebar ke dalam badan kita semasa kita makan. Ini akan menyebabkan kita terkena penyakit seperti cirit-birit dan sebagainya.

Hadirin sekalian,

Kita perlu menjaga kebersihan rambut dengan menggunakan syampu untuk membersihkan rambut kita. Rambut yang bersih tidak mudah dihinggapi kelemumur, kutu dan penyakit kulit kepala.

Kesimpulannya, menjaga kebersihan diri amat penting kepada manusia. Oleh itu, kita mestilah mengambil berat tentang kebersihan diri untuk keselesaan dan kebahagiaan hidup kita.

Sekian, terima kasih.

Tanggungjawab Anak-anak Terhadap Ibu Bapa

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru, serta rakan-rakan sekalian. Tajuk Ucapan saya pada pagi ini ialah  "Tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa".

Hadiran sekalian,

Anak-anak mestilah bertanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa yang telah membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang. Antara tanggungjawab tersebut ialah menghormati ibu bapa dengan sepenuh hati.

Kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada ibu bapa seperti bersalaman dengan mencium tangan apabila berjumpa atau semasa ingin berpisah dengan mereka. Bertuturlah dengan sopan apabila berbual dengan ibu bapa sebagai tanda menghormati mereka.

Sebagai anak, kita mestilah menjaga nama baik ibu bapa dengan menjaga tingkah laku atau moral. Elakkan daripada memalukan ibu bapa seperti melanggar disiplin sekolah dan sebagainya.

Rakan-rakan sekalian,

Ibu bapa terlalu banyak tugas dalam mengurus keluarga setiap hari. Oleh itu, kita mesti membantu ibu bapa seperti membasuh pinggan, mengemas rumah, dan sebagainya lagi. Dengan ini, beban kerja yang ditanggung oleh mereka akan menjadi lebih ringan, di samping dapat menambahkan kasih sayang antara setiap ahli keluarga.

Anak-anak juga perlulah berusaha mengembirakan hati ibu bapa. Antara caranya ialah dengan belajar bersungguh-sungguh kerana ibu bapa sudah pasti ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Janganlah mengecewakan harapan mereka dengan bermain-main semasa belajar dan sebagainya.

Di samping itu, anak-anak mestilah senantiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa. Sesungguhnya jasa mereka tidak akan terbalas dengan apa cara sekalipun. Oleh hal yang demikian, amat wajarlah kita mendoakan kesejahteraan mereka terutamanya setiap kali selepas sembahyang.

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyeru rakan-rakan agar hormatilah dan sayangilah ibu bapa kita. Janganlah kita lupa akan jasa mereka apabila besar atau berjaya dalam kehidupan nanti. Ingatlah, pemergian ibu bapa kita tidak akan ada gantinya.

Sekian, terima kasih.