Cara-cara Mengelakkan Kepupusan Haiwan Liar

Kepupusan spesies haiwan semakin membimbangkan. Oleh itu, haiwan liar wajarlah dilindungi untuk mengelakkan nasib yang sama seperti dinosaur berulang.

Antara langkah untuk mengelakkan perkara ini adalah dengan mengekalkan atau menambahkan lagi hutan simpan sedia ada. Haiwan-haiwan ini perlu berada dihabitatnya bagi pembiakan yang berterusan .

Di samping itu, undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan menghukum sesiapa sahaja yang memelihara, menangkap atau membunuh haiwan-haiwan ini tanpa kebenaran pihak kerajaan.

Selain itu, aktiviti pemburuan mestilah diluar kawasan rizab sahaja. Penguatkuasaan ini dapat mengelakkan aktiviti pemburuan yang tidak terkawal.

Seterusnya usaha pembiakan spesies terancam perlulah dipergiatkan. Haiwan yang berjaya dibiakkan juga perlu dibebaskan ke habitat asal dengan dipantau dari semasa ke semasa.

Penubuhan pusat kajian haiwan-haiwan liar juga perlu diwujudkan bagi membekalkan maklumat secukupnya untuk penyelidikan dan pendidikan pada masa akan datang. Ini akan membolehkan usaha-usaha perlindungan haiwan ini lebih berkesan.

Akhir sekali, hidupan liar yang menceroboh kawasan kebun umpamanya perlulah dipindahkan segera ke zoo atau sebagainya. Ini kerana apabila keadaan ini terjadi, haiwan berkenaan akan ditangkap atau dibunuh.

Kesimpulannya, hidupan liar yang kian terancam perlulah dilindungi sebaik mungkin bagi memastikan generasi akan datang terus dapat menikmati keindahan alam yang tidak ternilai ini.

Majlis Perpisahan Tahun Enam

Anda selaku ketua darjah diminta menyampaikan ucapan dalam majlis perpisahan untuk murid-murid Tahun Enam.
____________________________________________________________________________

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini.

Hadirin sekalian,

Sudah hampir 6 tahun kami berada di sekolah ini. Jika menghitung hari persekolahan, bermakna tinggal 6 hari lagi kami menjadi warga sekolah ini. Justeru, kami terpaksa mengucapkan  selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi walaupun kami masih terlalu sayang untuk meninggalkan sekolah ini.

Kami amat menghargai akan jasa guru-guru di sekolah ini yang mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan megira. Kami akan sentiasa mengingati pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara.

Hadirin sekalian .

Budi yang guru-guru taburkan tidak mampu kami membalasnya. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru itu. Kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti.

Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Kami berasa sangat sedih kerana terpaksa meniggalkan sekolah ini. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat kami.

Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap pantun daripada saya;

Ramai orang menanam padi,
Padi ditanam hingga ke seberang,
Banyak budi perkara budi,
Budimu guru dikenang orang.

Sekian, terima kasih.