Joseph Edward Murray pelopor teknik pemindahan organ

Murray (kiri) ketika menerima Hadiah Nobel pada tahun 1990.

JASA pemenang Hadiah Nobel 1990, Joseph Edward Murray sangat besar dalam dunia perubatan kerana kejayaannya memperkenalkan teknik pemindahan organ dan tisu. Murray juga bertanggungjawab memperkenalkan teknik pembedahan bagi membetulkan kecacatan di kepala dan juga muka yang disebabkan masalah kelahiran ataupun kemalangan yang teruk. Kerana kehebatannya itu, beliau diiktiraf sebagai antara pakar bedah yang paling dihormati pada abad ke-20.

Anugerah Nobel tersebut diterima bersama rakannya, E. Donnal Thomas bagi kategori perubatan. Murray, rakyat Amerika Syarikat yang dilahirkan pada 1 April 1919 di Mildford, Massachusetts, pernah menjadi ketua pakar pembedahan plastik di Brigham, Boston, selain menjadi profesor dalam bidang pembedahan di Sekolah Perubatan Harvard pada 1970.

Semasa beliau bertugas sebagai doktor pada Perang Dunia Ke-2, Murray mendapati, kepingan kulit hanya boleh disesuaikan dengan pesakit kembar. Murray kemudiannya menggunakan pengetahuan dan pengalamannya itu untuk mencuba pemindahan buah pinggang ke atas anjing.

Pada tahun 1954, Murray telah menjalankan pemindahan buah pinggang kepada sepasang kembar yang secara sukarela mahu pembedahan tersebut dijalankan ke atas mereka. Penerima buah pinggang itu hidup selama beberapa tahun selepas pemindahan tersebut. Pada tahun 1962, menggunakan ubat immunosuppressive, beliau buat pertama kalinya melakukan pemindahan buah pinggang pertama dengan jayanya menggunakan buah pinggang daripada pesakit yang tidak langsung mempunyai pertalian saudara.

Sepanjang kerjayanya, Murray telah menjelajah ke negara-negara luar untuk membantu pesakit-pesakit yang mengalami kecacatan. Sebenarnya, kepakaran dan kemahiran Murray ini banyak dibantu oleh pengalamannya sebagai doktor bedah di U.S. Armys Valley Forge General Hospital di Philadelphia, Amerika Syarikat. Hospital itu merupakan pusat utama bagi pembedahan plastik yang merawat mangsa mangsa Perang Dunia Kedua.

Di sinilah Murray mula menanam minat dalam bidang pemindahan tisu dan organ. Ketika ini juga Murray mula berjinak-jinak dengan pembedahan plastik dan rekonstruktif. Antara pengalaman beliau ketika itu ialah semasa merawat pemandu kapal terbang berusia 22 tahun iaitu Charles Woods yang mengalami kebakaran teruk setelah ditimpa kemalangan ketika menjalankan tugas. Hidung, kelopak mata dan juga telinganya hancur sama sekali.

Ketika dihantar ke hospital di mana Murray bertugas, nyawa Woods di hujung tanduk. Atas kepakaran Murray dan kumpulan bedahnya, Woods telah dibedah sebanyak 24 kali dalam masa dua tahun untuk membentuk semula wajahnya. Selepas pembedahan itu, Woods berjaya menerbangkan semula pesawatnya dan kini adalah antara mereka yang berjaya dalam kerjayanya.

Murray pernah menerima anugerah 350 orang warga kota Boston yang paling berjasa sempena ulang tahun ke 350 tahun bandar raya itu. Walaupun bersara daripada dunia pembedahan pada 1987, Murray terus aktif memberi syarahan, menulis dan memberi khidmat kaunseling.

0 comments: