Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama

Tun Abdul Razak bin Datuk Husain atau dikenali dengan gelaran “Bapa Pembangunan” adalah Perdana Menteri Malaysia kedua. Beliau banyak melibatkan diri dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang membangun.

Beliau turut memegang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negara. Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Pelajaran Tanah Melayu dan membentuk Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Pada tahun 1970, beliau telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Tun Abdul Razak banyak menyumbang tenaga dalam membangunkan negara. Pelbagai rancangan dan projek kemajuan dilaksanakan seperti Rancangan Pembangunan Tanah Persekutuan iaitu FELDA. Beliau juga telah menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia.

Bidang perindusterian juga tidak dilupakan. Seiring dengan kepesatan pembangunan dalam bidang pertanian, beliau telah menjadikan bidang perindusterian atau perusahaan sebagai asas untuk memajukan negara ini.

Pada tanggal 14 Januari 1976 beliau telah meninggal dunia. Kehilangannya benar-benar dirasai. Dengan sumbangan dan usaha beliau dalam membangunkan Malaysia yang begitu besar, tidak hairanlah jika namanya sentiasa diingati bak kata pepatah, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.’

0 comments: