KISAH MENGUTAMAKAN ISTERI DARI IBU SENDIRI

Dalam kitab al-Kabir, karangan Syamsuddin al-Zahabiy, ada kisah seorang yang derhaka kepada orang tuanya. Ceritanya: Pada zaman Rasulullah s.a.w. ada
seorang lelaki bernama Alqamah. Orangnya taat kepada Allah, rajin mengerjakan solat,puasa dan bersedekah.

Suatu hari lelaki itu sakit parah (sakaratulmaut). Melihat penyakitnya yang teruk itu, isterinya segera memberitahu
Rasulullah. Mendengar aduan perempuan itu. Rasulullah s.a.w.
menyuruh Ammar, Bilal dan Suhaib pergi melihat lelaki berkenaan untuk mengajarnya mengucap Lailaha Illallah.

Sahabat-sahabat Rasulullah itu pun pergi melihatnya. Penyakitnya memang teruk sehingga sampai ke peringkat ghargharah. Mereka menuntunnya mengucap, tetapi lidahnya kaku dan tidak dapat menuturkannya..

Setelah puas menuntunnya dan tidak juga berhasil, mereka segera mengirim utusan untuk menceritakan keadaan lelaki tersebut kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w. menanya apakah ibunya masih ada. Sahabat-sahabat mengatakan ibunya masih hidup, lalu Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki seraya berpesan kepadanya: “Katakan kepada orang tua itu begini: Kalau ibu sanggup kita boleh menjumpai Rsulullah s.a.w., tetapi kalau tidak sanggup berjalan, di sini sajalah nanti Rasulullah akan datang.”

Perempuan tua itu berfikir: “Barangkali diriku ini sebagai penebusnya, lebih baik aku mendatangi Rasulullah daripada beliau yang datang di sini.” Perempuan itu berdiri sambil berjalan memakai tongkat menuju rumah Rasulullah s.a.w. Sesampainya di sana, Rasulullah bertanya kepadanya: “Wahai ibu Alqamah, aku ingin bertanya dan tolong jawab dengan jujur. Kalau berdusta, nanti wahyu Allah akan turun menjelaskannya. Sekarang aku bertanya, bagaimana sebenarnya anakmu yang bernama Alqamah itu?” Jawabnya: “Ya Rasulullah, anakku itu rajin mengerjakan solat, puasa dan bersedekah.” Rasulullah bertanya lagi, “Apakah ibu ada berasa sakit hati kepada anak ibu itu?” “Saya memang sakit hati. Kerana ia terlalu sayang dan mengutamakan isterinya, terkadang dia kurang memerhatikan hak ku sebagai ibunya.”

Rasulullah s.a.w. berkata: “Sekarang sudah jelas Alqamah tidak pandai mengucap kerana menyakiti hati ibunya.” Rasulullah menyuruh Bilal mengumpulkan kayu api. Mendengar perintah itu, orang tua tersebut bertanya, “Ya Rasulullah, untuk apa kayu itu?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Biar ku bakar Alqamah dihadapan ibu.” Orang tua itu terkejut dan berkata, “Jangan ya Rasulullah, aku tidak sanggup melihat anak ku dibakar.”

Rasulullah s.a.w. berkata: “Wahai ibu Alqamah, sebenarnya seksa Allah di akhirat lebih dahsyat lagi. Kalau ibu ingin supaya dosanya terampun, maafkanlah kesalahannya. Demi Allah, yang diri ku ini berada dalam kekuasaan-Nya, semua ibadat Alqamah akan sia-sia selama ibunya masih marah kepadanya.”

Perempuan itu berkata: “Ya Rasulullah, saya persaksikan kepada Allah dan malaikat-Nya, serta bersaksi dihadapan kaum Muslimin yang hadir ini, bahawa aku memaafkan kesalahan Alqamah.”

Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata: “Wahai Bilal, sekarang pergilah ke rumah Alqamah dan lihat apakah dia sudah sanggup menucap atau belum. Mudah-mudahan ucapan maaf daripada ibunya itu bukan hanya kerana segan kepada ku.” Tatkala Bilal sampai di halaman rumah Alqamah, dari dalam rumahnya terdengar suara Alqamah mengucapkan kalimat Lailaha Illallah. Rupanya Alqamah menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan kalimat syahadat itu.”

Kedudukan ibu bapa sangat tinggi dalam Islam. Kewajiban berbakti kepada mereka diletakkan seiring dengan kewajibpan menyembah Allah menerusi firman-Nya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau berbakti kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.” (al-Isra: 23)
Daripada Al-Islam – 1999.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“Sesungguhnya, telah Kami lempar kedalam neraka banyak sekali jin dan manusia yang tidak sanggup berfikir dengan hatinya, tidak mahu melihat dengan matanya dan tidak cakap mendengar dengan telinganya. Mereka itu sama dengan binatang, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itu adalah orang alpa.”
(al-A’raf: 179)

Disusun oleh :
Ustazah Hayati bt Samsudin
Guru Pendidikan Islam

0 comments: