KEKALKAN BUDAYA SALING MENGHORMATI
.

MENGHORMATI dan memuliakan saudara Islam amat dituntut demi keharmonian dan kerukunan hidup bermasyarakat. Rasulullah sendiri berusaha mempereratkan silatulrahim diantara kaum Muhajirin dan Ansar selepas penghijrahan baginda dan sahabat dari Makkah ke Madinah. Seseorang yang tidak menghormati dan memuliakan saudaranya akan membawa kekecuhan dalam masyarakat. Lebih dahsyat lagi ia akan membawa kepada pengwujudan sifat mementingkan diri sendiri dan tindas menindas.

Pada zaman dulu, orang takut kepada ibu bapa, guru, suami dan orang yang lebih tua. Perasaan takut ini sebenarnya timbul daripada hormat dan memuliakan orang yang lebih dewasa atau berpengetahuan. Bagaimana pun, rasa hormat itu kian luntur dihati sesama manusia. Mungkin kerana terlalu didedahkan kepada budaya bukan Islam yang kurang sihat atau semakin mundurnya pendidikkan agama dikalangan hari ini. Ramai sudah berani mencela orang lain, kadangkala rakannya sendiri pun dicela. Bahkan ramai berani mempersoalkan alim ulamak yang benar-benar mengabdikan diri kepada agama. Ibu bapa, orang-orang yang lebih tua, keluarga dan kanak-kanak sudah tidak lagi dihormati atau diabaikan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bukanlah dia daripada pengikut ku yang tidak menghormati orang tua, tidak belas kasihan kepada kanak-kanak dan tidak menghormati alim ulamak.” (Ahmad).

Golongan tua yang uzur sering diumpamakan kanak-kanak. Jika ketika kanak-kanak makan bersuap, membuang air besar dan kecil yang tidak teratur, perkara yang sama juga akan muncul apabila seseorang itu menjangkau usia lapan puluhan. Bezanya, jika kanak-kanak boleh ditenking, orang tua pula hanya dinasihat selembut mungkin kerana hati mereka mudah tersinggung. Jestru itu amat perlu menghormati dan menjaga mereka dengan baik, terutama apabila orang tua itu adalah ibu bapa sendiri. Kata pepatah Melayu, ‘seorang ibu dapat menjaga sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu dapat menjaga ibu seorang.’ Firman Allah s.w.t.: “Kami perintah manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapa, ibu mengandungkannya dengan susah payah.” (al-Ahqaaf: 15) Jika berkata ‘cis’ sekali pun terhadap ibu bapa sudah cukup untuk menjauhkan kita dari syurga, apalagi menderhaka sehingga menyebabkan mereka tersinggung.

Kewajibpan menghormati ibu bapa tidak sekadar meliputi ibu bapa Islam saja tetapi juga bukan Islam. Jika ingin berdakwah kepada mereka perlulah dengan sopan dan beradab.

Menghormati ibu bapa sangat dituntut kerana sebelum mendapat keredhaan Rasulullah s.a.w. dan Allah s.w.t., seseorang itu perlu mendapat keredhaan ibu bapa. Itulah sebabnya disebut bahawa syurga dibawah tapak kaki ibu. Selain ibu bapa, orang yang lebih tua perlu dihormati sebagaimana dikehendaki oleh agama. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Allah berfirman kepada Jibril: ‘Bahawa barang siapa yang terlanjur umur ke peringkat tua sedangkan ia seorang Muslim, jika Aku ingin mengazabkan dengan sebab amal perbuatannya yang tidak baik, maka kerana umurnya yang tua itu, Aku malu lalu memaafkannya.” (Aisyah). Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda bahawa doa seorang tua tidak akan ditolak kerana Allah malu menolak doa hambaNya yang tua.

Kita juga patut memberi kemuliaan terhadap alim ulamak kerana ulamak adalah warisan nabi. Tugas mereka menjaga dan menyampaikan ilmu agama, amat tinggi pengorbanannya dan dengan itu, mereka layak mendapat penghormatan. SabdaRasulullah s.a.w.: “Barang siapa membenci tiga orang yang berikut ini bukanlah dia seorang Islam bahkan dia adalah seorang munafig. Iaitu orang Islam yang tua, ulamak dan raja (peminpin) yang adil.” (Tabrani-Abi Umamah r.a.).

Amalan memberi salam kepada sesama Islam adalah sifat hormat-menghormati. Berilah salam dulu dan jangan mengharapkan orang lain memberi salam kepada kita.
Sahabat Nabi sering berebut memberi salam kepada baginda. Namun selalunya baginda yang terlebih dulu memberi salam walaupun baginda seorang nabi. Pangkat dan kedudukan seseorang itu janganlah menyebabkannya berasa malu memberi salam kepada orang bawahan. Memberi salam bukan terhad kepada orang yang kita kenal saja, tetapi juga kepada orang yang tidak dikenali, sesuai dengan kehendak nabi yang memerintahkan umatnya supaya menyebarkan salam.

Anak-anak yang masih kecil patut diasuh supaya menghormati orang yang lebih tua. Mereka hendaklah diajar supaya mengutamakan, misalnya tempat duduk dan jalan untuk orang yang lebih tua, khasnya yang uzur.
Oleh: Ahmad Kassim.

Kita Tidak Boleh Takabur Mencari Nama,
Tetapi Kita Tidak Dilarang Berusaha Mencari Kehormatan
Dengan Memperbaiki Budi Sendiri.
Gila Hormat, Jangan Sekali.
Tetapi Menjadi Orang Yang Terhormat,
Haruslah Jadi Tujuan Hidup.
Oleh:Prof.Dr.HAMKA.

“Hari ini telah Ku sempurnakan agama mu dan nikmat Ku telah Ku lengkapkan untuk mu, dan telah Ku relakan Islam menjadi agama mu.”
(al-Maidah:3).

Disusun oleh :
Ustazah Hayati bt Samsudin
Guru Pendidikan Islam

0 comments: